Diterbitkan pada 30 Julai 2025, 09:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuching – “Bidang tugas Jabatan Mufti Negeri Sarawak dalam penyediaan rujukan hukum kepada masyarakat memerlukan bahasa yang jelas, betul dan menepati hukum,” ujar Timbalan Pengarah Mufti Sarawak, Yang Berusaha (YBrs.) Ustaz Haji Wan Shaifuddin bin Haji Wan Madihi ketika menerima kunjungan hormat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ke Jabatan Mufti Negeri Sarawak, semalam.

Menurut Timbalan Pengarah Mufti Sarawak lagi, proses pengeluaran fatwa oleh Lembaga Fatwa Sarawak yang diuruskan oleh Jabatan Mufti Sarawak terhadap isu-isu yang timbul dalam masyarakat Islam ditangani teliti dan cukup berhati-hati dengan berpandukan rujukan yang sahih serta melihat isu dalam pelbagai dimensi.

Delegasi DBP yang diketuai oleh Dr. Hazami bin Jahari (tengah) ke Jabatan Mufti Negeri Sarawak bergambar kenang-kenangan bersama-sama Timbalan Pengarah Mufti Sarawak, YBrs. Ustaz Haji Wan Shaifuddin bin Haji Wan Madihi (empat dari kanan).

Beliau turut memaklumkan tidak hanya berkaitan dengan fatwa tetapi juga bidang falak yang merupakan bidang tugas utama Jabatan Mufti dalam penentuan rujukan ibadah seperti jadual waktu solat, rukyah hilal (melihat anak bulan) bagi menentukan awal bulan hijriah terutamanya dalam penetapan tarikh puasa dan hari raya.

Jabatan Mufti Sarawak juga sedang giat memperkasakan perkembangan ilmu falak melalui Pembangunan Pusat Falak Miri, Pusat Falak Bintulu dan akan datang Pusat Astronomi Borneo yang berupaya menjadi pusat Pendidikan dan penyelidikan ilmu falak dirantau ini.

Ketua Pengarah DBP,  YBrs. Dr. Hazami bin Jahari mengalu-alukan kerjasama strategik lebih luas dapat dijayakan dengan Jabatan Mufti Negeri Sarawak khususnya melalui kerjasama penerbitan buku.

Menurut beliau dengan cara menerbitkan buku, fatwa dan pandangan Mufti terhadap isu-isu yang berkaitan dengan hukum-hakam dapat diperluas dalam kalangan masyarakat sekali gus dapat memperkasakan bahasa kebangsaan melalui fatwa dan falak.

Dalam pertemuan tersebut Jabatan Mufti Sarawak telah bersetuju untuk bekerjasama dalam penganjuran Simposium Pemerkasaan Bahasa Kebangsaan melalui Mahkamah Syariah 2025 yang akan diadakan di Sarawak.

Turut hadir dalam kunjungan hormat ini ialah Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, YBrs. Encik Abang Haliman bin Abang Julai; Pengarah DBP Cawangan Sarawak, YBrs. Dr. Azizul bin Haji Ismail; serta Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Puan Roziah binti Md Yunus.

Kredit Foto: NORFAZRIE ISQUANDY
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi