Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangIpoh – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tarcisian Convent mencipta kejayaan yang membanggakan apabila muncul johan dalam Pertandingan Forum Remaja MADANI Peringkat Negeri Perak 2025 yang berlangsung meriah di AEON Mall Klebang, semalam.
Pertandingan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perak ini menghimpunkan lima buah sekolah terbaik dari seluruh negeri bagi merebut gelaran juara dan seterusnya mewakili negeri ke Perak ke peringkat kebangsaan.

Pasukan SMK Tarcisian Convent tampil menyerlah dengan gaya persembahan yang kemas, hujah yang matang serta pengendalian forum yang tersusun dan meyakinkan.
Kemenangan mereka turut diserikan dengan kejayaan wakil sekolah tersebut, Nur Maiza Elisha yang dinobatkan sebagai Pengerusi Terbaik dengan ketokohan dan karisma beliau semasa mengendalikan sesi forum serta penuh profesionalisme.
Tempat kedua pula dirangkul oleh Sekolah Menengah Sains Bagan Datuk yang turut menunjukkan prestasi cemerlang dalam penyampaian isi dan pengolahan hujah yang kritis serta berwibawa.
Lebih membanggakan, ahli panel pasukan ini, Nabell Harith berjaya menggondol anugerah Panel Terbaik, mengatasi peserta lain menerusi gaya penghujahan yang lantang, bernas dan menyakinkan.
Di tempat ketiga, SMK Seri Perak turut memperlihatkan daya saing yang baik dengan kehadiran ahli panel yang aktif dan bersedia menjawab pelbagai provokasi. Tempat keempat disandang oleh SMK Convent Teluk Intan, manakala SMK St. Bernadette’s Convent berada di kedudukan kelima.
Pentas pertandingan yang berlangsung dalam suasana terbuka ini turut menarik perhatian pengunjung pusat beli-belah, sekali gus membuktikan bahawa suara remaja semakin mendapat tempat dalam wacana awam dan mampu menyumbang kepada pembangunan wacana intelektual negara.
Selaku johan, SMK Tarcisian Convent akan mewakili negeri Perak ke Peringkat Kebangsaan Forum Remaja MADANI 2025 yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada Ogos ini. Kemenangan ini bukan sahaja mengangkat nama sekolah tersebut, malah menjadi simbol kebangkitan suara intelektual dalam kalangan generasi muda negeri Perak.