Diterbitkan pada 7 Ogos 2025, 15:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Usaha untuk memartabatkan tulisan Jawi dilihat terus relevan melalui pendidikan, penerbitan bahan bacaan moden serta pendedahan teknologi digital meskipun tulisan Rumi semakin mendominasi. Hal ini membuktikan bahawa tulisan Jawi memainkan peranan penting dalam membina identiti bangsa dan menyatukan masyarakat pelbagai latar.

Sehubungan dengan itu, Perpustakaan Dato’ Jaafar Hassan, UiTM Cawangan Perlis dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara telah menganjurkan program bual bicara ilmiah bertajuk “Pelestarian Tulisan Jawi: Dari Warisan Sejarah hingga Dunia Era Digital” yang berlangsung penuh berinformasi dan sarat dengan nilai budaya.

Program ini mendapat kerjasama Unit Hal Ehwal Islam, UiTM Cawangan Perlis dan disiarkan secara langsung menerusi platform media sosial rasmi perpustakaan berkenaan. Bual bicara ini menampilkan tokoh bahasa terkenal, Ustaz Abdul Karim Aziz, iaitu Munsyi Dewan (Jawi) sebagai pembicara utama, manakala Ustaz Mohd Rizal Hanafi, iaitu Penolong Pendaftar (Hal Ehwal Islam), UiTM Cawangan Perlis bertindak sebagai moderator.

Seorang peserta program bual bicara “Pelestarian Tulisan Jawi: Dari Warisan Sejarah hingga Dunia Era Digital” sedang bertanyakan soalan berkaitan tulisan Jawi kepada ahli panel.

Dalam sesi tersebut, para peserta dibawa menghayati sejarah panjang tulisan Jawi yang bukan sahaja lahir daripada huruf Arab yang diubah suai, bahkan menjadi saksi kepada perjalanan tamadun Melayu-Islam sejak abad ke-13. Tulisan Jawi pernah menjadi nadi pentadbiran kerajaan, perundangan, karya sastera serta penyebaran agama Islam yang meluas di rantau Nusantara.

Menurut Ustaz Abdul Karim,

Tulisan Jawi bukan sekadar sistem tulisan, tetapi lambang jati diri bangsa dan penyambung warisan ilmu. Jika kita kehilangan Jawi, kita juga kehilangan akar sejarah bangsa kita. Transformasi digital ialah peluang keemasan. Sekarang kita ada TikTok, YouTube dan pelbagai aplikasi interaktif yang boleh kita manfaatkan untuk menarik minat generasi muda terhadap tulisan Jawi. Jangan biarkan tulisan ini tenggelam dalam arus modenisasi.

Antara isu yang dibangkitkan dalam sesi bual bicara tersebut termasuklah cabaran semasa tulisan Jawi yang kian terhakis dalam kehidupan seharian disebabkan oleh dominasi tulisan Rumi, kekurangan bahan bacaan moden dalam tulisan Jawi dan kurangnya pendedahan tulisan Jawi pada peringkat sekolah kepada pelajar. Sehubungan dengan itu, pendekatan kreatif seperti pertandingan kaligrafi, penyediaan bahan bacaan berbentuk komik dan animasi pendidikan turut dicadangkan sebagai penyelesaian masalah.

Bual bicara ini diakhiri dengan seruan kepada semua pihak termasuk institusi pendidikan, agensi bahasa dan masyarakat awam agar terus berganding bahu dalam menghidupkan kembali tulisan Jawi sebagai warisan yang hidup dan relevan sepanjang zaman.

Ustaz Abdul Karim Aziz menyampaikan perkongsian ilmu beliau dalam program bual bicara “Pelestarian Tulisan Jawi: Dari Warisan Sejarah hingga Dunia Era Digital”.
Para peserta yang hadir dalam program bual bicara “Pelestarian Tulisan Jawi: Dari Warisan Sejarah hingga Dunia Era Digital”.
Kredit Foto: Urus Setia UiTM Cawangan Perlis
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi