Diterbitkan pada 20 Ogos 2025, 15:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Seberang Jaya – Pertandingan Sahibba Peringkat Negeri Pulau Pinang bersempena dengan Program Semarak Bahasa Kebangsaan dan Sambutan Bulan Kemerdekaan ke-68 Tahun 2025 berjaya mencuri perhatian ramai apabila disertai sebanyak 64 penjawat awam dari pelbagai agensi, semalam.

Pertandingan yang berlangsung di Auditorium Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang  itu menjadi medan peserta menunjukkan minat, semangat dan keazaman untuk merebut kejuaraan dalam suasana santai namun penuh intelektual.

Antara pemenang Pertandingan Sahibba Peringkat Negeri Pulau Pinang.

Kejayaan berpihak kepada Puan Nur Diyana binti Marzuki yang dinobatkan sebagai johan pertandingan dengan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM500.00. Naib johan pula disandang oleh Puan Segullah Chelvi a/p Paul Desmond dengan hadiah wang tunai sebanyak RM400.00, manakala Encik Syawal Abu Haq Ahmad Jelani meraih tempat ketiga dan menerima wang tunai berjumlah RM300.00. Tempat keempat menerima wang tunai sebanyak RM200.00 dan hadiah sagu hati  berjumlah RM150.00 kepada empat orang pemenang.

Menurut Encik Zainal Abidin bin Mohd Zin, iaitu Perancang Bahasa dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara, kali terakhir pertandingan sahibba seumpama ini diadakan adalah pada tahun 2019 sebelum pandemik Covid-19, iaitu lima tahun yang lalu.

“Pihak DBP Wilayah Utara dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin menaikkan semula pertandingan ini supaya masyarakat dapat memperkaya kosa kata secara santai. Malah, Pusat Rujukan Persuratan Melayu turut digunakan untuk menyemak kesahihan perkataan yang dihasilkan oleh peserta,” jelas beliau.

Penganjuran pertandingan ini bukan sahaja mengangkat martabat bahasa kebangsaan, malah berjaya membudayakan ilmu dan kemahiran berbahasa dalam bentuk permainan yang menyeronokkan. Inisiatif ini juga memperlihatkan komitmen kerajaan negeri serta agensi pelaksana demi memastikan bahasa Melayu terus dipelihara dan dimartabatkan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi