Diterbitkan pada 25 Ogos 2025, 14:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bersempena dengan sambutan bulan kemerdekaan, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan menganjurkan Pertandingan Nyanyian Lagu Patriotik Perpaduan (LAPAN 2025) dengan menawarkan menawarkan hadiah wang tunai yang berjumlah RM11 500.00 kepada para pemenang yang bertuah.

Juara bakal membawa pulang wang tunai sebanyak RM3000.00, manakala naib juara akan menerima RM2000.00. Tempat ketiga pula berpeluang memenangi hadiah bernilai RM1000.00. Selain itu, tujuh hadiah sagu hati dengan nilai RM500.00 setiap satu.

Bagi mengiktiraf keunikan persembahan dan kehebatan vokal para peserta, pihak penganjur turut menyediakan kategori khas, iaitu Persembahan Terbaik dan Vokal Terbaik, masing-masing akan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1000.00.

Pertandingan yang berlangsung dari 21 hingga 31 Ogos 2025 (peringkat saringan) ini dijangka menarik penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat, khususnya golongan belia yang berbakat dalam bidang nyanyian. Pertandingan ini dianjurkan bagi memupuk semangat cintakan negara melalui seni suara serta menggalakkan perpaduan antara masyarakat berbilang kaum.

Menurut pihak JKKN, pertandingan ini bukan sahaja menjadi wadah untuk menyerlahkan bakat dalam kalangan peserta, malah akan menjadi platform terbaik bagi memperkukuh lagi semangat patriotisme dalam kalangan rakyat. Lagu patriotik yang didendangkan diyakini mampu untuk menyemarakkan semangat kebangsaan serta mengingatkan orang ramai tentang kepentingan menjaga keamanan dan keharmonian negara.

Orang awam yang berminat untuk menyertai pertandingan ini boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui kod respons pantas (QR code) yang dilampirkan bersama-sama poster rasmi pertandingan: https://docs.google.com/forms/d/e/1FAIpQLSdw6PB5eGx2e7odlcS4OR3jLRN6BX_sHq_ewk3cPofWAh0AEQ/formResponse?pli=1 atau boleh menghubungi Encik Muhammad Rafiq bin Abdul Rahman menerusi talian telefon, 012-675 6055 atau e-mel, [email protected]).

Dengan hadiah berupa wang tunai menanti para pemenang yang bertuah serta semangat patriotik yang diketengahkan, LAPAN 2025 dijangka mampu menjadi satu daripada acara kemuncak dalam meraikan bulan kebangsaan tahun ini.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi