Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSungai Petani – Program “Semarak Bahasa: Bahasa Jiwa Bangsa, Bahasa Warisan Bangsa” melakar sejarah penting dalam usaha memperkasakan bahasa ibunda masyarakat minoriti di Malaysia.
Program yang dianjurkan bersempena dengan Majlis Penyerahan Dana Bantuan Sekolah Bahasa Ibunda Siam anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Persatuan Siam Malaysia (PSM) pada 4 Oktober 2025 bertempat di Hotel Park Avenue ini dihadiri oleh kira-kira 500 masyarakat Siam dari seluruh Malaysia.
Program tersebut telah disempurnakan oleh Pengarah DBP Wilayah Utara, YBrs. Encik Sharrul Rizal Hashim yang hadir mewakili Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami bin Jahari.

Dalam ucapannya, Encik Sharrul menegaskan bahawa kerajaan melalui DBP sentiasa memberikan perhatian terhadap kelestarian bahasa etnik dan peranan komuniti minoriti dalam pembangunan bahasa di Malaysia.
Ujar beliau,
Inisiatif ini membuktikan bahawa bahasa dan budaya kaum minoriti terus mendapat perhatian kerajaan. Bahasa etnik bukan hanya milik satu komuniti, tetapi milik seluruh Malaysia.
Beliau turut menyatakan bahawa melalui peruntukan khas kerajaan di bawah Belanjawan 2025, DBP diberi mandat sebagai agensi pelaksana dalam usaha memartabatkan bahasa ibunda, termasuk bahasa Siam sebagai sebahagian daripada wajah kepelbagaian linguistik Malaysia.
Dalam konteks ini, DBP melihat usaha memperkukuh bahasa etnik sebagai satu strategi nasional yang sistematik dan berjangka panjang. Bahasa etnik seperti bahasa Siam, Iban, Kadazandusun dan Orang Asli merupakan aset budaya negara yang perlu dilestarikan.
Encik Sharrul turut menzahirkan penghargaan kepada Persatuan Siam Malaysia (PSM) atas peranan penting mereka demi memperjuangkan kepentingan bagi sekolah bahasa Siam sehingga berjaya memperoleh dana khas bagi pembangunan sekolah dan bahan pengajaran bahasa ibunda.
Sementara itu, Presiden Persatuan Siam Malaysia, YBrs. Encik Sam Maark, dalam ucapannya menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada DBP dan kerajaan atas perhatian yang diberikan kepada masyarakat Siam.
“Kehadiran lebih 500 masyarakat Siam dari seluruh Malaysia, khususnya dari Kedah yang merupakan negeri dengan komuniti Siam terbesar merupakan tanda terima kasih kami kepada DBP. Bantuan ini menjadi bukti bahawa usaha memperkasakan bahasa ibunda sentiasa mendapat tempat dalam agenda kebangsaan,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa dana yang diterima akan dimanfaatkan bagi memperkukuh kurikulum sekolah bahasa Siam, membaik pulih kemudahan pembelajaran serta menyediakan bahan mengajar yang lebih sistematik dan menarik minat generasi muda untuk mempelajari bahasa ibunda mereka.
DBP dan PSM kini sedang merangka mekanisme pengiktirafan rasmi terhadap sijil persekolahan bahasa ibunda Siam. Pengiktirafan ini bukan sahaja akan memberikan nilai tambah kepada pelajar, tetapi juga menjadi motivasi kepada guru dan komuniti untuk terus memperjuangkan pendidikan bahasa ibunda di Malaysia.
Majlis yang turut diserikan dengan kehadiran pemimpin komuniti, guru dan pelajar bahasa Siam ini menjadi simbol semangat kebersamaan antara kerajaan, DBP dan masyarakat Siam bagi memastikan bahasa ibunda terus hidup dan berkembang di bumi Malaysia.