Diterbitkan pada 11 Oktober 2025, 13:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – Tulisan Jawi bukan sekadar sistem tulisan, sebaliknya menjadi akar tunjang yang membentuk tamadun Melayu berteraskan Islam.

YBhg. Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Haji Sariyan, ketika membicarakan forum bertajuk “Kata Pinjaman dalam Manuskrip Jawi”.

Demikian tegas YBhg. Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Haji Sariyan, ketika membicarakan forum bertajuk “Kata Pinjaman dalam Manuskrip Jawi” dalam Forum Lestari Jawi yang berlangsung di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, pada 10 Oktober lalu.

Beliau berkata bahawa Jawi memainkan peranan penting dalam membentuk tradisi persuratan dan pemikiran Melayu-Islam serta menjadi wadah utama penyebaran ilmu, agama dan nilai kemanusiaan di Alam Melayu.

“Tulisan Jawi menjadi alat pembentukan tamadun Melayu baharu yang berteraskan Islam, malah membuka lembaran tradisi persuratan dalam tamadun Melayu,” katanya sambil memetik pandangan Syed Muhammad Naquib al-Attas bahawa “Jawi merupakan alat pembentuk fahaman kebangsaan Melayu.”

Forum anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Tengah melalui kerjasama Akademi Pengajian Melayu (APB), UiTM, ini merupakan pengisian dalam Festival Manifestasi Cinta Bahasa bersempena dengan sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) 2025 peringkat UiTM.

Forum berkenaan menampilkan dua ahli panel, iaitu YBhg. Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Haji Sariyan dan Dr. Muhammad Irfan Mhd Rusdi, serta Dr. Ibrahim Abdullah sebagai moderator. Persembahan sajak bertajuk “Jawi Warisan Leluhur” oleh YBhg. Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Haji Sariyan membuka tirai forum tersebut.

Dalam ucapan perasmian, Dekan APB UiTM, Prof. Ts. Dr. Janudin Sardi @ Haji Mohd Yusop menegaskan bahawa keperluan mengadakan forum seumpama itu bertujuan untuk memperkenalkan sejarah dan kepentingan tulisan Jawi kepada generasi muda.

Ujar beliau, UiTM melalui APB amat komited dalam memartabatkan tulisan Jawi, malah usaha itu dizahirkan apabila Jawi dimasukkan sebagai satu daripada enam ketetapan dalam Konvensyen 152 yang diadakan pada 9 Oktober lalu.

Moderator forum menjelaskan, pembicaraan tentang kata pinjaman dalam manuskrip lama memperlihatkan pertembungan ilmu dan budaya dalam sejarah persuratan Melayu.

Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Haji Sariyan, turut menyorot mesej penting dalam manuskrip Tajussalatin (Mahkota Raja-raja) yang bertulisan Jawi. Menurut beliau, manuskrip tersebut wajar dijadikan panduan oleh pemimpin negara dalam meneladani kepemimpinan berlandaskan ajaran Islam.

Sementara itu, Dr. Irfan Mhd Rusdi, pensyarah dan penyelidik tulisan Jawi klasik, berkongsi bahawa cabaran dalam mentransliterasikan manuskrip lama yang lazimnya ditulis bersambung dan memerlukan penguasaan bahasa Arab.

“Transliterasi manuskrip Jawi memerlukan kemahiran yang tinggi. Namun begitu, kajian ini harus diteruskan terutama sekali bagi memperkaya tulisan Jawi agar dapat disepadukan dengan teknologi kecerdasan buatan (AI),” katanya.

Antara kata pinjaman yang dibincangkan termasuklah kosa kata dalam Hukum Kanun Melaka serta istilah berkaitan perkahwinan seperti “wali”, “ijab”, “balu” dan “nikah”.

Dalam sesi soal jawab, para peserta mencadangkan usaha melestarikan Jawi bermula dengan perancangan analisis manuskrip Jawi secara sistematik dalam tempoh lima tahun, diikuti dengan penerbitan hasil transliterasi dalam bentuk bacaan moden seperti buku atau komik bagi menarik minat generasi baharu.

Forum turut diselitkan dengan ujian membaca teks Jawi lama yang memperlihatkan kebanyakan peserta sukar membacanya dengan tepat, sekali gus mencerminkan keperluan memperkukuh pembelajaran tulisan Jawi pada pelbagai peringkat.

Program itu dihadiri oleh pensyarah, pelajar UiTM dan para pengkaji tulisan Jawi, yang bersama-sama berkongsi pandangan dalam usaha menghidupkan kembali warisan persuratan Melayu-Islam yang kian terpinggir.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi