Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangGeorge Town – Peranan dan kelangsungan bahasa Melayu dalam menghadapi arus teknologi kecerdasan buatan (AI) menjadi fokus utama Wacana Generatif Bahasa yang berlangsung bersempena dengan Majlis Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2025 Peringkat Negeri Pulau Pinang di Auditorium A, Kompleks Tun Abdul Razak (KomTAR).
Wacana ilmiah bertajuk “Bahasa Melayu di Pentas Digital: Cabaran dan Peluang dalam Era Teknologi Kecerdasan Buatan” menampilkan dua panel tersohor, iaitu Encik Ahmad Fedtri Yahya, Ikon Bahasa 2024; dan Encik Zulkifli Ismail, pelakon terkenal menerusi siri Gerak Khas. Sesi wacana ini turut dihadiri oleh Dr. Wan Hasmah Wan Teh, Pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM) yang berjaya mengemudi perbincangan dengan penuh berwibawa dan bernas.
Dalam sesi yang berlangsung penuh santai namun sarat dengan ilmu dan renungan bahasa, Encik Ahmad Fedtri Yahya menegaskan bahawa dunia tanpa sempadan pada hari ini memberikan cabaran besar terhadap keutuhan bahasa Melayu. Menurut beliau, pengaruh bahasa asing terutamanya daripada media digital dan kandungan antarabangsa semakin menenggelamkan laras dan jati diri bahasa kebangsaan.

Ujar beliau,
Bahasa ini hanya akan kekal hidup apabila terus digunakan secara aktif dan berterusan. Dalam keluarga ada bahasanya, bersama-sama rakan ada bahasanya, dan dalam urusan rasmi juga ada bahasanya. Kita mesti sentiasa memperkaya kandungan bahasa agar keindahan dan keasliannya tidak lupus.
Beliau turut menyeru agar generasi muda memanfaatkan platform digital dengan bijak bagi memperluas penggunaan bahasa Melayu dalam pelbagai medium komunikasi termasuklah kandungan kreatif, penulisan digital dan wacana intelektual.
Sementara itu, Encik Zulkifli Ismail pula mengupas isu kepupusan kosa kata dan dialek tempatan yang semakin dilupakan. Beliau menegaskan bahawa tanggungjawab memelihara bahasa bukan sekadar tugas ahli bahasa, tetapi menjadi amanah seluruh lapisan masyarakat.
Kita harus tahu di mana kita bercakap dan dengan siapa kita berbicara. Ada perkataan yang semakin pupus, dan rasa tanggungjawab itulah yang mendorong saya menghasilkan video TikTok berkaitan dengan dialek Kedah bagi memastikan warisan bahasa itu terus diingati.

Menurut beliau lagi, penggunaan teknologi kecerdasan buatan perlu diseimbangkan dengan kesedaran nilai bahasa agar tidak membawa kepada kebergantungan yang melampau. AI wajar menjadi alat bantu, bukan menggantikan keupayaan manusia dalam berbahasa.
Moderator wacana, Dr. Wan Hasmah Wan Teh, dalam rumusan beliau menekankan bahawa bahasa Melayu memiliki potensi besar untuk berkembang dalam dunia digital jika dimanfaatkan dengan strategi yang betul. Katanya, penerapan teknologi generatif seperti AI bukan ancaman, sebaliknya peluang untuk memperkukuh kedudukan bahasa Melayu dalam ekosistem global yang semakin pesat berubah.
Wacana tersebut berjaya membuka ruang pemikiran baharu tentang hubungan antara bahasa, teknologi, dan jati diri bangsa. Wacana ini juga menjadi medan intelektual yang menyeru semua pihak agar terus berperanan aktif dalam memastikan bahasa Melayu terus subur di pentas digital dan kekal sebagai wahana ilmu, budaya serta perpaduan bangsa.