Diterbitkan pada 15 Oktober 2025, 19:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bukit Kiara – Sebanyak 12 orang Munsyi Muda Bahasa (MMB) Perkhidmatan Awam menerima Sijil Penghargaan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) dalam satu majlis penghargaan yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Bukit Kiara, semalam.

Sijil penghargaan tersebut telah disampaikan bersempena dengan Majlis Perasmian Konvensyen Munsyi Muda Bahasa Tahun 2025 dan Kemuncak Pesta Sayembara Pantun MADANI, yang dianjurkan oleh Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Majlis yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Yang Berbahagia (YBhg.) Dato’ Mohd Shaiful bin Ibrahim itu diadakan bagi menghargai sumbangan dan kepakaran Munsyi Muda Bahasa dalam memartabatkan serta memperkasakan penggunaan bahasa Melayu dalam sektor perkhidmatan awam.

Sejak tahun 2021, kepakaran khidmat khusus Munsyi Muda Bahasa dibangunkan oleh JPA dengan kerjasama DBP sebagai usaha memperkukuh penguasaan dan penggunaan bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi kerajaan.

Menurut kenyataan JPA, kepakaran khidmat khusus merujuk bidang kemahiran dan keilmuan yang diperlukan dalam perkhidmatan awam bagi tujuan pengislahan serta pemartabatan penggunaan bahasa Melayu secara menyeluruh.

Antara penerima sijil penghargaan tersebut termasuklah Yang Berusaha (YBrs.) Dr. Mohd Haz Hairul bin Amran Rajadran (MMB Kementerian Kesihatan Malaysia), Puan Nor Shima binti Othman (MMB Kementerian Pendidikan Tinggi), Puan Mek Eshah binti Awang (MMB Kementerian Sumber Manusia), Puan Nor Liyana binti Mohd Bokti (MMB Kementerian Dalam Negeri), Encik Mohamad Ikhwan Al Syahid bin Abdullah Tahir (MMB Jabatan Perkhidmatan Awam) dan YBrs. Tuan Syed Hisham Shah bin Syed Hilmi (MMB Jabatan Penerangan Malaysia).

Turut menerima penghargaan ialah Puan Wan Nina Naddia binti Wan Abas (MMB Jabatan Perkhidmatan Awam), Puan Nor Wahida binti Sahrir (MMB Agensi Antidadah Kebangsaan), Puan Zaridah binti Mat Tazan (MMB Jabatan Perkhidmatan Awam), Encik Ahmad Burhan Sidqi bin Dato’ A. Rahim (MMB Majlis Daerah Besut), YBrs. Dr. Rozanah binti Haji Abd Hamid (MMB Kementerian Kesihatan Malaysia) dan Cik Soon Ban Yee (MMB Biro Pengaduan Awam).

Dalam tempoh dari tahun 2023 hingga tahun 2025, kesemua 12 MMB ini telah menabur khidmat rundingan bahasa, khususnya dalam penyemakan dan penyuntingan dokumen rasmi kerajaan, selaras dengan Ceraian P.O.1.1.1: Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Melayu dalam Perkhidmatan Awam.

Objektif utama pewujudan MMB adalah untuk melahirkan pegawai perkhidmatan awam yang memiliki kepakaran linguistik serta mampu menjadi rujukan dalam penggunaan bahasa Melayu yang betul, indah dan baku. Usaha ini sekali gus menyokong dasar kerajaan dalam memastikan bahasa Melayu kekal sebagai bahasa ilmu, bahasa pentadbiran dan bahasa perpaduan negara.

Selain kepakaran dalam bidang rundingan bahasa, MMB turut berperanan dalam aspek juruaudit bahasa, pengucapan awam, pengacaraan majlis, penyuntingan, terjemahan dan penulisan kreatif. Hal ini menjadikan peranan mereka semakin relevan dalam ekosistem komunikasi sektor awam.

MMB dijalankan selaras dengan Pelan Tindakan Program Kebahasaan Jawatankuasa Kecil Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan 2015–2017, khususnya Strategi 5: Mewujudkan Unit Khas Pelaksanaan Bahasa bagi memastikan penggunaan bahasa Melayu yang baik, betul dan santun dalam kalangan penjawat awam.

Sejak itu, program latihan dan pengiktirafan Munsyi Muda Bahasa terus dilaksanakan secara berfasa agar setiap kementerian dan jabatan mempunyai pegawai pakar rujuk bahasa sendiri.

Majlis penghargaan ini menunjukkan betapa komitmen kerajaan sangat tinggi dalam memastikan setiap urusan rasmi kerajaan dijalankan dengan penggunaan bahasa Melayu yang berkualiti tinggi serta selaras dengan identiti kebangsaan.

Tetamu yang turut hadir dalam majlis tersebut termasuklah Pengarah INTAN, YBhg. Datuk Dr. Mohd Zamri bin Yusoff dan Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami bin Jahari.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi