Diterbitkan pada 17 Oktober 2025, 18:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sekali lagi menjadi medan ilmu apabila Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) menganjurkan Wacana Ilmu PLM bertemakan “Mekarnya Bahasa Melayu di Bumi Sakura: Kisah yang Terpendam” bersempena dengan Mesyuarat Agung Tahunan ke-46 PLM yang berlangsung di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Wisma DBP.

Program ini menjadi wadah ilmiah bagi mengungkapkan peranan dan perkembangan bahasa Melayu dalam konteks global semasa.

Dr. Norliza ketika menyampaikan wacananya pada pagi tadi.

Ucapan perasmian wacana yang disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Penerbitan, Yang Berusaha (YBrs.) Encik M. Azahari bin Edin selaku wakil rasmi Ketua Pengarah DBP menegaskan komitmen DBP bagi memperkukuh kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang unggul serta bahasa ilmu yang dihormati pada peringkat antarabangsa.

Beliau turut menyeru seluruh warga pencinta bahasa agar berganding bahu bagi meningkatkan aktiviti dan program kebahasaan serta memastikan bahasa Melayu terus berkembang seiring dengan kemajuan teknologi kini.

Wacana ilmu kali ini menampilkan YBrs. Prof. Madya Dr. Norliza binti Jamaluddin dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai pewacana dan YBrs. Dr. Rozaimah binti Rashidin selaku moderator wacana.

Dalam pembentangan wacananya yang bertajuk “Mekarnya Bahasa Melayu di Bumi Sakura: Kisah yang Terpendam”, Dr. Norliza berkongsi tentang hasil penyelidikan yang berkaitan dengan perkembangan dan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat akademik di Jepun.

Beliau turut menyingkap sejarah hubungan antara Tanah Melayu dengan Jepun dari sudut bahasa dan budaya. Beliau menjelaskan bahawa usaha mengenali bahasa Melayu di Jepun bukanlah perkara baharu, bahkan telah bermula sejak abad ke-18 melalui catatan pelaut Jepun bernama Magotaro.

Jelas beliau,

Catatan Aoki Okikatsu dalam Nankai Kibun menunjukkan bahawa sejak 200 tahun dahulu, bahasa Melayu sudah diketahui oleh orang Jepun dan perbendaharaan kata ini merupakan bahan yang amat berharga kerana merupakan kosa kata terawal yang terakam dalam catatan sejarah Jepun.

Menurut Dr. Norliza, minat masyarakat Jepun terhadap bahasa Melayu mulai terserlah selepas era Restorasi Meiji (1868) apabila dua buah institusi bahasa di Tokyo menubuhkan kursus Bahasa Melayu untuk tujuan perdagangan dan diplomasi. Antara karya penting yang dihasilkan ketika itu termasuklah Hogo Taiyaku Mago Kaiwa Hen (1910) dan Bahasa Melayu dalam Ampat Minggu (1937) yang digunakan oleh pegawai dan tentera Jepun yang dihantar ke Tanah Melayu.

Sesi soal jawab yang diadakan selepas pembentangan turut mencetuskan perbincangan yang menarik apabila seorang peserta mengemukakan soalan tentang cabaran pewacana bagi menjalankan penyelidikan di Jepun.

Menjawab soalan tersebut, Dr. Norliza menjelaskan bahawa antara cabaran utama ialah kos penyelidikan yang besar memandangkan nilai mata wang Jepun, iaitu yen yang tinggi berbanding dengan ringgit, selain kesukaran mendapatkan bahan rujukan asal.

Kebanyakan bahan yang berkaitan dengan bahasa Melayu di Jepun hanya dapat diperoleh daripada National Diet Library (Perpustakaan Diet Negara Jepun) yang telah mendigitalkan naskhah koleksi lama. Proses mengaksesnya memerlukan masa, izin khas, dan kos yang agak tinggi.

Wacana ini bukan sekadar memperlihatkan hubungan sejarah antara dua negara Timur, malah membuktikan bahawa bahasa Melayu mempunyai kekuatannya yang tersendiri sebagai bahasa ilmu dan bahasa diplomasi.

Antara peserta yang terlibat dalam majlis Wacana Ilmu PLM di Wisma DBP.

Usaha penyelidikan dan pembelajaran yang berterusan di luar negara membuktikan bahawa bahasa ini terus mekar dan berpotensi besar untuk dikembangkan pada peringkat global.

Kredit Foto: ZAIDAH ZAKARIA
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi