Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 30 Oktober 2025, 08:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menegaskan bahawa sebarang perkara, aktiviti, program dan projek yang dianjurkan atau diuruskan kerajaan Malaysia hendaklah menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya.

Ketetapan tersebut dimaklumkan menerusi Surat Edaran daripada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), YBhg. Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Wan Abdul Aziz pada Rabu mengenai penggunaan bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi.

Memetik kenyataan surat berkenaan, pelaksanaan arahan tersebut adalah selaras dengan komitmen dan ketetapan kerajaan bagi memperkasakan dan memartabatkan bahasa Melayu.

Menurutnya lagi, JPA sebelum ini telah menjelaskan tentang keperluan memperkasakan penggunaan bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi perkhidmatan awam melalui surat yang dikeluarkan oleh jabatan itu bertarikh 9 Ogos 2022.

Seiring dengan keperluan tersebut, Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM), Ceraian PO.1.1.1: Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Melayu dalam Perkhidmatan Awam turut diperkenalkan.

“Bahasa Melayu hendaklah diberikan keutamaan dan digunakan secara menyeluruh dari aspek nama, tema, tajuk, latar belakang, isi kandungan dan apa-apa maklumat yang berkaitan dengan urusan rasmi perkhidmatan awam,” katanya.

Sehubungan dengan itu, pihak yang berkenaan dimohon untuk meneliti, menyemak dan mengambil tindakan yang sesuai berhubung dengan ketetapan tersebut.

Ujarnya, hal ini bagi memastikan pelaksanaannya tidak menjejaskan kelancaran penyampaian perkhidmatan serta tidak memberikan implikasi perundangan kepada kerajaan.

“Perhatian serius hendaklah diberikan, terutamanya bagi sebarang perkara yang melibatkan kepentingan awam dan negara,” jelasnya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi