Diterbitkan pada 1 November 2025, 16:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Tulisan Jawi terkenal selepas kedatangan Islam di Nusantara. Bukti terawal penggunaan tulisan Jawi dapat dikesan pada batu bersurat di Terengganu yang bertarikh 1303 Masihi. Menurut Hashim Haji Musa (1999) dalam Sejarah Perkembangan Tulisan Jawi, kebanyakan pengkaji berpendapat bahawa huruf Arab yang digunakan untuk mengeja bahasa Melayu ialah tulisan Jawi yang mula digunakan sejak abad ke-13 Masihi walaupun huruf Arab sudah ditemukan pada kepingan duit syiling di Kelantan sejak abad ke-12 Masihi. Tulisan ini digunakan pada pelbagai medium.

Amat Juhari Moain (1996) dalam Perancangan Bahasa: Sejarah Aksara Jawi menyatakan bahawa tulisan Jawi digunakan pada prasasti atau batu bersurat, batu hidup, batu nisan, mata wang, surat kiriman antara raja, kitab dan buku, surat-surat perjanjian antara raja dan negara di alam Melayu, catatan pemilikan dan perdagangan, surat khabar dan majalah, serta piagam dan teks pemasyhuran. Penggunaan tulisan Jawi pada pelbagai medium ini khususnya mata wang mempunyai fungsi yang tersendiri. Duit syiling atau wang kertas pada umumnya berfungsi sebagai penggerak ekonomi, namun tulisan Jawi pada mata wang tersebut mempunyai fungsi yang berbeza.

Tulisan Jawi sebagai Medium Perpaduan

Tulisan Jawi pernah digunakan pada mata wang Thailand. Thailand sewaktu di bawah pemerintahan Raja Rama V pernah mengeluarkan wang kertas yang menggunakan tulisan Jawi pada bahagian hadapan kanan kertas. Tulisan Jawi tersebut digunakan untuk menunjukkan denominasi sesuatu wang. Sebagai contoh, tulisan Jawi yang tertulis “wang siam lima kop” atau واڠ سيام ليما کوف dapat dilihat pada bahagian kanan wang kertas yang dikeluarkan pada tahun 1902. Wang kertas siri pertama tersebut dapat dilihat melalui laman sesawang Bank of Thailand. Dalam Dialek Melayu Patani, perkataan kop, kob, atau kok merujuk mata wang Thailand, iaitu Baht.

Tindakan Raja Rama V, Raja Chulalongkorn yang mengeluarkan wang kertas dengan tulisan Jawi ini seolah-olah mengiktiraf atau mengakui penduduk Melayu yang beragama Islam atau lebih dikenali sebagai orang Melayu Patani di bahagian Selatan Thailand. Tulisan Jawi yang digunakan ini juga menunjukkan bahawa kerajaan Siam ketika itu tidak mahu mengetepikan mana-mana penduduknya yang berlainan bangsa. Penggunaan tulisan Jawi ini juga dilihat sebagai satu daripada tindakan kerajaan bagi mengukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat yang berbilang bangsa.

 Tulisan Jawi sebagai Penulisan Undang-Undang

Di Indonesia, tulisan Jawi pernah digunakan pada mata wang semasa era penjajahan. Penggunaan tulisan Jawi pada wang kertas Indonesia ini dapat dilihat pada mata wang yang dikeluarkan oleh De Javasche Bank (DJB). Menurut Salsabila Nurmaulida Syifa et al. dalam Sejarah dan Evolusi Bank Indonesia: dari De Javasche Bank Menuju Bank Sentral Modern, DJB didirikan oleh pemerintah Hindia-Belanda pada tahun 1828. Menurut Kementerian Keuangan Republik Indonesia dalam Edisi Khusus Jelajah Sejarah Rupiah, pemerintah membentuk DJB pada tahun 1828 untuk mengatur pembuatan dan peredaran wang.

Sebagai contoh, terdapat tulisan Jawi pada mata wang yang dikeluarkan oleh DJB pada tahun 1937. Pada bahagian belakang mata wang tersebut, sebutan atau penulisan undang-undang ditulis dalam tulisan Jawi. Tulisan Jawi tersebut tertulis “Di dalam Pasal 244, 245 dan 249 dari kitab undang-undang hukuman ditetapkan hukuman untuk yang meniru atau memalsukan wang kertas dan untuk yang mengeluarkan dengan sengaja menyimpan atau memasukkan wang kertas lancung atau yang dijadikan lancung ke Hindia Belanda”. Tulisan Jawi itu terlihat seperti yang berikut:

ددالم فص ٢٤٤، ٢٤٥ دان ٢٤٩ در کتاب اوندڠ٢ حکومن دتتفکن حکومن انتق يڠ منيرو اتو مملسوکن اواڠ قرطاس دان انتق يڠ مڠلوارکن دڠن سڠاج مچمفن اتو مماسقکن اواڠ قرطاس لنچوڠ اتو يڠ دجديکن لنچوڠ کهندي بلند

Menurut Kamus Bahasa Indonesia (2008), lancung merujuk sesuatu yang tidak tulen, tidak murni, palsu, tiruan, dan imitasi. Menurut Kamus Dewan Perdana (2020) pula, lancung merujuk sesuatu yang berkaitan dengan emas, perak, dan wang yang tidak tulen atau bukan yang asli. Oleh hal yang demikian, wang kertas lancung merujuk wang kertas yang palsu dan tidak asli. Istilah “Hindia Belanda” pula merujuk tanah jajahan Belanda khususnya di Indonesia ketika era pemerintahan Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC).

Secara ringkasnya, tulisan Jawi itu menjelaskan tentang undang-undang yang berkaitan dengan pemalsuan mata wang dan wang kertas yang tertera dalam Pasal 244, 245, dan 249 Undang-undang Hukum Pidana Indonesia. Undang-undang tersebut menerangkan salah laku pemalsuan wang dan hukuman yang akan dikenakan terhadap pesalah. Penggunaan tulisan Jawi pada wang kertas tersebut menunjukkan fungsi tulisan Jawi dalam penulisan undang-undang. Selain itu, penggunaan tulisan Jawi itu juga menunjukkan bahawa kebanyakan penduduk Indonesia pada zaman penjajahan Belanda menggunakan bahasa Melayu dan tulisan Jawi.

 Tulisan Jawi sebagai Identiti Bangsa

Negara Brunei menggunakan tulisan Jawi pada mata wangnya. Wang kertas negara Brunei yang dikeluarkan pada tahun 1967 mempunyai tulisan Jawi. Tulisan Jawi “Kerajaan Brunei” atau کراجاءن بروني tertulis pada belakang kertas. Tulisan tersebut kekal sehingga tahun 1988. Pada tahun 1989, negara Brunei telah mengeluarkan wang kertas yang baharu. Tulisan Jawi “Negara Brunei Darussalam” atau نݢارا بروني دارالسلام tertulis pada belakang wang kertas yang baharu tersebut. Frasa “Kerajaan Brunei” telah berubah kepada frasa “Negara Brunei Darussalam”.

Negara Brunei juga pernah mengeluarkan satu siri wang kertas khusus bagi menyambut ulang tahun ke-25 pertabalan Sultan Hassanal Bolkiah. Tulisan Jawi yang tertulis “wang kertas ini sah diperlakukan dengan nilai dua puluh lima ringgit” atau

واڠ کرتس اين صح دڤرلاکوکن دڠن نيلاي دوا ڤوله ليم ريڠݢيت terdapat pada bahagian hadapan wang kertas tersebut. Pada bahagian belakang pula, terdapat tulisan Jawi yang bertuliskan “Ulang Tahun ke-25 Menaiki Takhta” atau اولڠ تاهون ك-25 مناءيقکي تخت dan “Negara Brunei Darussalam” atau نݢارا بروني دارالسلام.

Pada tahun 1996, negara Brunei menggunakan tulisan Jawi untuk menyebut nilai denominasi pada mata wang kertas. Sebagai contoh, wang kertas satu dolar ditulis dalam tulisan Jawi sebagai “Satu Ringgit” atau ساتو ريڠݢيت. Pada tahun 2025 pula, perkataan “Ringgit” itu ditukarkan kepada “Dolar”. Sebagai contoh, wang kertas 500 dolar ditulis sebagai “Lima Ratus Dolar Brunei” atau ليم راتوس دولر بروني.

Perkembangan penggunaan tulisan Jawi pada mata wang Brunei ini menunjukkan bahawa negara Brunei amat menjunjung tinggi penggunaan tulisan Jawi. Menurut Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik Brunei Darussalam dalam Laporan Anggaran Penduduk Tahun 2023, bangsa Melayu merupakan komuniti terbesar di negara Brunei, iaitu 73.8 peratus atau sebanyak 332,100 orang daripada jumlah penduduk berjumlah 450,500 orang pada tahun 2023. Hal ini membuktikan bahawa tulisan Jawi dan bangsa Melayu memang tidak dapat dipisahkan. Tulisan Jawi pada mata wang Brunei ini juga menjadi identiti dan lambang bangsa terbesar di Brunei.

Secara ringkasnya, tulisan Jawi mempunyai fungsi yang tersendiri. Fungsi tersebut dapat dilihat pada mata wang di beberapa negara di Asia Tenggara dari abad ke-19 hingga abad ke-21. Di Thailand, tulisan Jawi pada mata wang digunakan pada tahun 1902. Penggunaan tulisan Jawi itu dilihat sebagai pengiktirafan terhadap masyarakat Melayu di Selatan Thailand bagi meningkatkan perpaduan masyarakat. Di Indonesia, mata wang “Gulden Hindia Belanda” pernah menggunakan tulisan Jawi. Tulisan itu digunakan untuk menyatakan undang-undang. Negara Brunei pula dilihat memartabatkan tulisan Jawi pada mata wangnya. Hal ini memperlihatkan bangsa Melayu merupakan komuniti terbesar di negara Brunei.

Sebagai kesimpulan, tulisan Jawi perlu dijaga dan diwarisi kerana tulisan ini mempunyai fungsi yang tersendiri. Jika tulisan Jawi ini tidak dipertahankan, tulisan ini akan lenyap ditelan zaman. Masyarakat Melayu perlu berusaha meningkatkan martabat tulisan Jawi dan memperjuangkan penggunaan tulisan Jawi ini dalam pelbagai medium. Ibu bapa juga perlu memainkan peranan untuk mengajar anak-anak mereka tulisan Jawi. Tulisan Jawi juga seharusnya menjadi sebahagian daripada silibus pendidikan di Malaysia.

Mata wang Gulden Hinda Belanda denominasi 5 dan 10 gulden tahun 1939.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi