Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSerdang – “Teknologi digital perlu menjadi wahana bagi memperkasakan bahasa dan bukan untuk menggantikan peranannya dalam bidang ilmu, komunikasi dan bidang lain.
Inovasi teknologi juga tidak sepatutnya disalahgunakan oleh pengguna untuk meniru, ‘mencedok’ atau mengubah maklumat yang diperoleh tanpa usul periksa daripada mana-mana kemudahan yang menggunakan aplikasi kecerdasan buatan.”
Demikian ujar Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Dato’ Dr. Haji Megat Sany bin Megat Ahmad Supian semasa berucap mewakili Menteri Pendidikan Tinggi selaku perasmi dalam Majlis Perasmian Seminar Antarabangsa Leksikografi, Ensiklopedia dan Terminologi (SELEKSI) 2025 di Auditorium Za’ba, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) pada pagi ini.
“Kebimbangan kita adalah apabila generasi muda tidak lagi bimbang dan prihatin terhadap ketelusan ilmu.”
“Penggunaan bahasa dalam kalangan anak muda mutakhir ini merupakan sesuatu yang perlu diambil perhatian serius oleh semua pihak,” ujar beliau.

SELEKSI 2025 yang berlangsung pada 4 November hingga 5 November 2025 merupakan seminar antarabangsa anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera bersama-sama Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM.
Menurut YBhg. Dato’ Dr. Haji Megat Sany bin Megat Ahmad Supian lagi, KPT sentiasa menyokong inisiatif yang menyeimbangkan antara kemajuan sains dengan teknologi melalui keindahan bahasa, etika, dan budaya.
Beliau menyifatkan tema seminar “Melestarikan dan Menginovasi Bahasa dalam Era Digital” bertepatan dengan keperluan semasa.
Ulas beliau, dalam era transformasi digital, bidang leksikografi, ensiklopedia dan terminologi yang menjadi elemen penting dalam bahasa perlu berkembang secara harmoni dengan memanfaatkan kecerdasan buatan dan korpus digital tanpa mengabaikan identiti bangsa.
“Bahasa ialah jantung kepada ilmu, dan ilmu tanpa nilai tidak akan pernah membentuk peradaban yang beradab.”

Pada masa yang sama, beliau melahirkan rasa bangga melihat peranan aktif universiti seperti UPM dan institusi unggul seperti DBP dalam memperkukuh jalinan akademik dan industri.
“Kerjasama ini membuktikan bahawa institusi pengajian tinggi negara bukan hanya gedung ilmu tetapi juga taman yang menyuburkan pemikiran, budaya dan nilai kemanusiaan.
Yang turut hadir menyerikan majlis tersebut termasuklah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar bin Ridhwan; Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami bin Jahari; Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM, YBrs. Prof. Madya Dr. Hazlina binti Abdul Halim serta pengerusi bersama SELEKSI 2025, Ketua Jabatan Bahasa Asing UPM, YBrs. Prof. Madya Dr. Abd Rauf bin Tan Sri Hassan dan Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin bin Dato’ Paduka Mohamed.
Seminar antarabangsa ini melibatkan penyertaan dari lapan buah negara, iaitu Malaysia, Lubnan, Jepun, Indonesia, Brunei, China, Thailand dan Uzbekistan di samping mengetengahkan 50 naskhah kertas pembentangan oleh ahli akademik dan pakar bahasa.
Antara objektif penganjuran SELEKSI 2025 termasuklah menggalakkan kerjasama strategik antara institusi tempatan dengan antarabangsa bagi memperkukuh kajian serta pembangunan bahasa selain untuk mendokumentasikan hasil penyelidikan terkini yang berkaitan dengan tiga bidang tumpuan seminar.
Penganjuran SELEKSI 2025 juga sejajar dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, khususnya bagi memperkukuh agenda komuniti serantau dari segi pemeliharaan dan inovasi bahasa menerusi perkongsian ilmu.