Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSerdang – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melihat era digital bukan sebagai ancaman sebaliknya peluang besar untuk memperluaskan pengaruh bahasa Melayu.
Era digital membuka peluang besar bagi bahasa Melayu melalui pembangunan korpus digital, kamus dalam talian dan integrasi teknologi linguistik yang dapat meluaskan penggunaan bahasa Melayu dalam ruang siber dan teknologi maklumat.
Kemajuan teknologi dan inovasi digital perlu dimanfaatkan dalam penghasilan kamus dan ensiklopedia serta dalam pembinaan istilah supaya lebih komprehensif dan mudah diakses oleh masyarakat.
Perkara ini disebut oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar bin Ridhwan dalam ucapan beliau dalam Majlis Perasmian Seminar Antarabangsa Leksikografi, Ensiklopedia dan Terminologi (SELEKSI) 2025 yang berlangsung di Auditorium Za’ba, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.
Majlis Perasmian SELEKSI 2025 disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Dato’ Dr. Haji Megat Sany bin Megat Ahmad Supian, mewakili Menteri Pendidikan Tinggi.
Mengulas lanjut, Dato’ Dr. Anwar bin Ridhwan memaklumkan bahawa DBP sedang giat membangunkan Portal Kamus Dewan Perdana yang memuatkan lebih daripada 120 ribu kata sebagai usaha bagi memperkasakan bahasa Melayu pada era digital.

Beliau turut memberikan penekanan terhadap kepentingan kerjasama strategik antara institusi tempatan dengan antarabangsa yang membolehkan ekosistem ilmu bahasa dapat diperkukuh dan diperkembang secara lebih menyeluruh.
Jelas beliau, “Pertemuan antara pemikir, pengkaji dan penggiat ilmu dari pelbagai negara ini bukan sahaja melambangkan semangat kerjasama global, tetapi juga menunjukkan iltizam kita untuk memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di persada antarabangsa.”
Dalam majlis yang sama, Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM, Prof. Madya Dr. Hazlina Abdul Halim dalam ucapan alu-aluannya berkata bahawa masyarakat berhadapan dengan cabaran baharu untuk mengekalkan “roh” makna dan nilai budaya di sebalik kepantasan teknologi.

Beliau yang berucap mewakili Naib Canselor UPM menyifatkan bahawa bahasa ibarat makhluk yang hidup kerana sentiasa berkembang seiring dengan perubahan zaman.
Bahasa ialah jambatan antara tradisi dengan inovasi – menghubungkan masa silam yang berakar sejarah dan masa depan yang berlandaskan pengetahuan.
Beliau menyeru agar para sarjana dan penggiat bahasa menjadi “penjaga” agar bahasa tidak sekadar sebagai alat komunikasi, tetapi juga sebagai wadah peradaban hidup yang berkembang sepanjang zaman.
Sebelum majlis perasmian berlangsung, SELEKSI 2025 membuka tirai hari pertamanya dengan pembentangan kertas kerja oleh empat orang panel sidang pleno dari dalam dan luar negara serta pembentangan kertas ucap utama oleh pakar leksikografi dan ensiklopedia dari Universiti Lubnan, YBbg. Profesor Dr. Emile Badih Yaacoub.
Dengan tajuk kertas kerja “Kamus Sejarawi Bahasa Arab: Suatu Tinjauan dan Penilaian Kritis”, beliau mengupas tentang sorotan sejarah pembangunan Kamus Sejarah Bahasa Arab yang diiktiraf sebagai kamus sejarah paling lengkap dalam dunia leksikografi Arab.
Kamus ini mencatat sejarah apabila berjaya disiapkan dalam tempoh yang singkat, iaitu dari tahun 2020 hingga 2024 dengan melibatkan lebih 300 orang pakar bahasa, peneliti dan editor.

Keistimewaan kamus ini turut terserlah melalui kandungan khazanah puisi yang tidak pernah terkandung dalam mana-mana karya bahasa Arab sebelum ini serta melalui pendokumentasian sejarah perkembangan makna bagi setiap perkataan merentas pelbagai era kesusasteraan yang dapat memudahkan pengguna untuk memahami evolusi bahasa Arab.
Untuk rekod, SELEKSI 2025 dianjurkan oleh DBP melalui Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera dengan kerjasama Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM berlangsung selama dua hari bermula pada 4 November hingga 5 November 2025, bertempat di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM.
Seminar antarabangsa ini mengangkat 50 naskhah kertas pembentangan dalam sidang pleno dan sidang selari yang berkaitan dengan leksikografi, ensiklopedia dan terminologi di samping memperincikan pelbagai bidang seperti bahasa, sastera dan budaya.