Serdang – Seminar Antarabangsa Leksikografi, Ensiklopedia dan Terminologi (SELEKSI) 2025 pada hari ini melabuhkan tirainya dengan mengemukakan 10 resolusi yang menggariskan hala tuju bidang tumpuan dalam era digital pada masa ini.
Sesi pembentangan resolusi seminar inidiadakan di Auditorium Za’ba, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), yangdikendalikan oleh Ketua Bahagian Perkamusan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Tuan Haji Mohd Riduwan bin Wahab.
Ketua Bahagian Perkamusan DBP, Tuan Haji Mohd Riduwan bin Wahab semasa mengendalikan pembentangan resolusi SELEKSI 2025 di Auditorium Za’ba, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM, pada pagi ini.
10 resolusi SELEKSI 2025 yang digagaskan adalah seperti yang berikut:
Pembaharuan bahan rujukan lama: Menggiatkan usaha untuk mewujudkan kamus, istilah dan ensiklopedia versi digital untuk memudahkan pelbagai lapisan masyarakat mengakses bahan tersebut
Penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara bertanggungjawab: Memanfaatkan penggunaan AI untuk memudahkan kerja penyusunan kamus dan istilah, dengan semakan pakar dan garis panduan yang jelas supaya kandungan tepat dan boleh dipercayai
Penyeragaman istilah teknologi: Mengorak langkah awal untuk mewujudkan pasukan kecil serantau bagi menyelaras istilah berkaitan dengan AI, teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) dan teknologi kewangan (Fintech) supaya mudah difahami pada peringkat tempatan dan ASEAN
Pemeliharaan bahasa warisan dan dialek: Memberikan sokongan kepada komuniti setempat untuk merekodkan dan berkongsi istilah serta sebutan bahasa etnik atau dialek, termasuk rakaman suara dan cerita lisan supaya warisan ini tidak hilang ditelan masa
Penyemakan panduan ejaan serapan Arab–Melayu: Mengemas kini panduan ejaan istilah serapan bahasa Arab dalam bahasa Melayu berdasarkan amalan semasa untuk menjadi panduan kepada pelbagai lapisan masyarakat
Penyebaran penggunaan tulisan Jawi: Menggalakkan sokongan tulisan Jawi dalam aplikasi dan permainan digital, termasuk panduan ringkas untuk pembangun dan ujian pengguna supaya mudah digunakan
Pengukuran keberkesanan aplikasi pembelajaran: Menjalankan kajian susulan yang mudah dan berkala untuk menilai keberkesanan kamus pintar, laman dwibahasadan aplikasi pembelajaran Bahasa dengan indikator mudah seperti peningkatan kosa kata dan kepuasan pengguna
Kerjasama penyelidikan: Menjalinkan kerjasama antara DBP dengan universiti tempatan dalam penyelidikan tentang kesedaran serta galakan penggunaan kamus dalam kalangan pelajar sekolah di Malaysia
Penerbitan buku atau monograf dan jurnal serantau: Menggiatkan kerjasama antara DBP dengan universiti tempatan untuk menerbitkan buku dan jurnal berkala di Asia tentang leksikografi, ensiklopedia dan terminologi dengan proses semakan yang mudah difahami dan akses yang memudahkan pembaca
Penetapan persidangan yang berkaitan dengan bidang berkaitan secara berkala: Melaksanakan penganjuran persidangan yang berkaitan dengan bidang perkamusan, peristilahan dan ensiklopedia secara berkala dengan laporan kemajuan resolusi, perkongsian amalan baik dan pameran hasil (kamus, buku, platform digital) supaya impak dapat dirasai secara berterusan
Pada akhir sesi pembentangan resolusi seminar, Tuan Haji Mohd Riduwan turut menekankan bahawa bagi memastikan resolusi ini tercapai, sesi tindakan susulan yang praktikal perlu diambil.
Menurut beliau, pihak industri, universiti dan institusi yang berkepentingan seperti DBP perlu berganding bahu untuk merancakkan lagi wacana akademik dan perkongsian ilmu agar bidang leksikografi, ensiklopedia dan terminologi terus diperkasa.
Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM, YBrs. Prof. Madya Dr. Hazlina binti Abdul Halim.
Majlis Penutupan SELEKSI 2025 yang berlangsung selepas sesi pembentangan resolusi seterusnya disempurnakan oleh Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM, YBrs. Prof. Madya Dr. Hazlina binti Abdul Halim.
Dalam ucapan penutupan, beliau menyeru agar usaha untuk memartabatkan khazanah ilmu bahasa terus dipergiat.
Penganjuran seminar ini menjadi permulaan baharu untuk terus memperjuangkan kesarjanaan linguistik yang berakar pada tradisi namun tetap tangkas menyahut cabaran inovasi pada hari ini.
Terdahulu, perkara ini turut disebut oleh Ketua Jabatan Bahasa Asing UPM, YBrs. Prof. Madya Dr. Abd Rauf bin Tan Sri Hassan dalam ucapan beliau yang berharap agar SELEKSI 2025 menjadi batu asas dan membuka ruang kepada penyelidikan bersama dalam bidang bahasa yang terus berkembang dalam arus digital pada masa ini.
Ketua Jabatan Bahasa Asing UPM, YBrs. Prof. Madya Dr. Abd Rauf bin Tan Sri Hassan merangkap Pengerusi Bersama SELEKSI 2025.
Sebagai catatan, SELEKSI 2025 berlangsung selama dua hari, iaitu pada 4 November hingga 5 November 2025 di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM yang mengumpulkan pengamal bahasa, para sarjana dan penyelidik dalam bidang tumpuan dari dalam dan luar negara.
Seminar anjuran bersama DBP dan UPM ini diadakan antaranya bertujuan untuk membincangkan kaedah, teknologi dan inovasi terkini dalam bidang leksikografi, ensiklopedia dan terminologiselain untuk merangka hala tuju yang bersepadu serta menerokapotensi baharudalam tiga bidang tumpuan tersebut.
Sidang Pleno II, SELEKSI 2025 yang berlangsung pada 5 November 2025 di Auditorium Za’ba, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM. Dari kiri (duduk): Prof. Madya Dr. Abd Rauf bin Tan Sri Hassan (UPM), Prof. Madya Dr. Yabit Alas (Universiti Brunei Darussalam) dan Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Sukki bin Othman (Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang). Atas (secara dalam talian): Prof. Madya Dr. Azim Yuldashev Abdurakhmonovich (Uzbekistan State University of World Language).