Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTransliterasi Arab merujuk proses pemindahan tulisan daripada satu sistem aksara kepada sistem aksara yang lain khususnya daripada huruf Arab kepada huruf Latin/Roman atau sebaliknya. Proses ini amat penting dalam konteks pembelajaran, pengkomputeran dan komunikasi merentas bahasa terutamanya apabila sesuatu bahasa seperti bahasa Arab digunakan oleh masyarakat bukan Arab. Transliterasi membolehkan sebutan asal perkataan Arab dikekalkan sepersis mungkin dengan fonetiknya walaupun ditulis dalam sistem aksara yang berlainan. Fungsinya turut merangkumi bidang pendidikan, penyelidikan, terjemahan al-Quran serta pembangunan aplikasi digital dan pangkalan data antarabangsa.
Namun begitu, sistem transliterasi Arab sedia ada masih berhadapan dengan pelbagai kekangan. Satu daripada isu utama ialah ketiadaan huruf Arab yang mewakili bunyi asing seperti “p”, “g”, “c” dan “ng”, iaitu bunyi yang lazim digunakan dalam banyak bahasa moden termasuk bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Kekangan ini menyebabkan transliterasi bahasa Arab menjadi tidak tepat, bahkan boleh mengelirukan dari segi sebutan dan pemahaman. Sebagai contoh, perkataan Inggeris professor sering ditulis dalam Arab sebagai بروفيسور, sedangkan sebutan asalnya mengandungi huruf “p” yang tidak wujud dalam sistem tulisan Arab tradisional. Dalam tulisan Jawi, huruf “p” diwakili oleh huruf ڤ, menjadikan ejaan (ڤروفيسور) lebih tepat secara fonetik. Begitu juga dengan nama negeri seperti Pahang yang sering dieja sebagai (باهانج) dalam tulisan Arab biasa, sedangkan ejaan (ڤهڠ) dalam Jawi lebih sesuai dengan sebutan asal. Nama Selangor pula jika ditulis sebagai (سلانجور) menggunakan huruf Arab konvensional, tidak menggambarkan bunyi “ng” dengan tepat, sedangkan dalam tulisan Jawi, ejaan (سلاڠور) menggunakan huruf ڠ yang khusus bagi bunyi tersebut.
Menyedari akan kelemahan tersebut, tulisan Jawi yang merupakan adaptasi huruf Arab dalam konteks bahasa Melayu tampil sebagai satu alternatif yang sangat berpotensi. Hal ini kerana tulisan Jawi mengandungi beberapa huruf tambahan yang mampu mewakili bunyi yang tiada dalam bahasa Arab klasik. Pada era digital masa ini, tulisan Jawi berpotensi besar menjadi solusi praktikal terhadap cabaran transliterasi bahasa Arab moden. Hal ini bukan sahaja memperbaik ketepatan fonetik, malah mampu berperanan sebagai jambatan budaya dan komunikasi dalam ekosistem komuniti pintar global.
Transformasi Jawi Digital: Teknologi, Komuniti dan Arah Antarabangsa
Tulisan Jawi merupakan warisan agung tamadun Melayu-Islam yang memainkan peranan penting dalam sejarah Malaysia dan seluruh Nusantara. Tulisan ini juga bukan sekadar lambang identiti bangsa, bahkan menjadi medium utama bagi penyebaran ilmu, kegiatan dakwah, serta urusan pentadbiran sejak abad ke-14. Bukti kewujudannya yang terawal dapat dilihat pada Batu Bersurat Terengganu yang bertarikh 1303 Masihi (702 Hijrah).
Namun begitu, seiring peredaran masa dan ledakan teknologi moden, penggunaan tulisan Jawi semakin merosot, khususnya dalam kalangan generasi muda dan penduduk bandar. Meskipun begitu, usaha mengangkat semula martabat tulisan ini sedang rancak digerakkan menerusi pelbagai pendekatan kontemporari, termasuklah pembangunan papan kekunci Jawi atas talian yang mesra pengguna dan sesuai dengan keperluan digital masa ini.
Tulisan Jawi juga memiliki keunikan tersendiri dengan menampilkan enam huruf tambahan yang tidak wujud dalam sistem tulisan Arab, iaitu p, g, c, v, ng dan ny. Konsonan tersebut amat penting bagi mewakili bunyi asli dalam perkataan pinjaman atau tempatan yang digunakan dalam kalangan masyarakat Melayu. Inisiatif digital yang menggabungkan huruf ini dalam sistem penulisan moden membuktikan bahawa tulisan Jawi bukan sahaja masih relevan, malah berpotensi besar sebagai pelengkap bagi sistem transliterasi Arab yang lebih fonetik, tepat dan bersifat sejagat.
Jadual 1 Enam huruf Jawi yang tidak terdapat dalam bahasa Arab.

Papan Kekunci Jawi
Kemajuan teknologi digital memberi ruang baharu bagi memartabatkan kembali tulisan Jawi dalam bentuk yang lebih moden dan interaktif. Pensyarah di Pusat Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Dr. Asar Abdul Karim telah membangunkan satu platform penting, iaitu AsarFonts/JawiAT. Platform ini merupakan satu set fon digital yang menyokong input tulisan Jawi secara menyeluruh menggunakan kod Unicode yang sah dan stabil. Perisian ini membolehkan teks Jawi ditaip dan dipaparkan dengan betul dalam pelbagai perisian komputer dan laman sesawang. Perisian ini juga dilengkapi dengan papan kekunci mesra pengguna yang direka berdasarkan susunan QWERTY standard, serta menyokong input huruf Jawi dan transliterasi bahasa Arab–Inggeris.
Dalam kajian yang dibentangkan di International Conference on Computing and Information Technology (ICCIT) papan kekunci transliterasi yang dibangunkan oleh penyelidik ini dilihat mampu mengatasi kekangan penulisan Arab moden dalam konteks digital. Papan kekunci ini turut menyokong transliterasi huruf Arab yang tidak terdapat pada papan kekunci sedia ada. Huruf tersebut termasuklah huruf panjang (huruf makron: Āā, Īī, Ūū) dan huruf tebal (huruf bertitik bawah: Ṣṣ, Ẓẓ, Ḍḍ, Ṭṭ, Ḥḥ).
Reka bentuk papan kekunci ini juga menyokong penulisan Jawi−Arab. Hal ini membolehkan kesemua huruf Arab dan Jawi ditaip tanpa perlu menukar jenis fon. Penambahan huruf Jawi untuk mewakili bunyi yang tiada dalam abjad Arab tradisional bukan sahaja memperkayakan sistem transliterasi bahasa Arab, tetapi juga selari dengan keperluan masyarakat global yang semakin bergantung pada komunikasi digital merentas bahasa dan budaya.
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menerbitkan Pedoman Umum Ejaan Jawi sebagai panduan rasmi dalam penulisan dan transliterasi tulisan Jawi ini. Dengan adanya standardisasi ini, usaha memperluas penggunaan tulisan Jawi dalam sistem pendidikan, pentadbiran dan teknologi menjadi lebih mantap dan tersusun. Pelbagai artikel dan wacana yang diterbitkan dalam portal JendelaDBP dilihat menyokong usaha ini selain memaparkan kisah kejayaan serta cabaran pemuliharaan Jawi dalam pelbagai sektor.
Selain usaha institusi, terdapat juga inisiatif komuniti dan perseorangan dalam memperkenalkan tulisan Jawi kepada pelbagai lapisan masyarakat. Guru seperti Cikgu Lorenica di Sekolah Kebangsaan Bawang, Sabah berjaya mengajar tulisan Jawi kepada murid pelbagai kaum. Hal ini menunjukkan bahawa tulisan Jawi bukanlah bersifat eksklusif bagi orang Melayu atau Muslim semata-mata, sebaliknya pengetahuan dan pengamalan tulisan Jawi ini adalah milik bersama.
Penerapan tulisan Jawi dalam konteks transliterasi Arab moden juga mempunyai potensi antarabangsa. Kajian di ICCIT 2025 menunjukkan bahawa penggunaan tulisan Jawi sebagai medium transliterasi dapat memperbaik komunikasi digital dalam komuniti pintar Islam global. Tulisan Jawi kini berpotensi sebagai standard global papan kekunci dunia Arab kerana hurufnya merangkumi kesemua huruf Arab dengan penambahan huruf Jawi. Inisiatif perisian AsarFonts atau JawiAT tersebut bukan sahaja menyelesaikan isu fonetik bahasa Arab dalam dunia digital, tetapi turut menyumbang terhadap pemeliharaan identiti budaya dan peningkatan kefahaman silang budaya dalam kalangan pengguna Muslim di seluruh dunia.
Kesimpulannya, tulisan Jawi ini bukan lagi warisan semata-mata, tetapi solusi praktikal dan digital bagi menangani cabaran transliterasi Arab moden. Usaha memperkenalkan papan kekunci Jawi dan transliterasi bahasa Arab oleh UMPSA wajar diperluas secara nasional dan antarabangsa. Penulisan Jawi bukan sahaja dapat dihidupkan kembali dalam kalangan rakyat Malaysia, malah berpotensi menjadi standard transliterasi digital bagi dunia Islam moden. Dengan gabungan usaha penyelidikan, sokongan institusi, kemudahan teknologi dan inisiatif komuniti, masa hadapan tulisan Jawi dalam dunia digital kelihatan lebih cerah dan menjanjikan impak yang besar.