Diterbitkan pada 14 November 2025, 23:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bangi – “Kita sangat bertuah dilahirkan sebagai orang Melayu dan mempunyai bahasa Melayu sebagai satu alat yang menjadi identiti dan jati diri orang Melayu,” ujar Timbalan Pengarah Bahasa Ibunda, Bahagian Perancangan dan Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Singapura, Yang Berusaha (YBrs.) Encik Zafilin bin Abdul Hamid dalam Majlis Syarahan Raja Ali Haji ke-23 di Dewan Perdana, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), hari ini.

Majlis Syarahan Raja Ali Haji ke-23 yang dianjurkan oleh Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) dan Dewan Bahasa Pustaka (DBP) dengan kerjasama FSSK, UKM ini mengupas topik “Memartabatkan Bahasa Melayu dalam Landskap Dwibahasa Singapura: Cabaran, Pertimbangan dan Peluang daripada Perspektif Pembangunan Kurikulum”.

Menurut Encik Zafilin, pembelajaran bahasa harus menghubungkan pelajar dengan akar budaya dan nilai kemanusiaan sejagat. Jelas beliau, kurikulum yang dinamik dan kontekstual mampu membentuk pelajar yang berfikir, berbudaya dan seterusnya berjiwa masyarakat.

Tetamu kehormat, tetamu jemputan dan peserta yang hadir dalam Syarahan Raja Ali Haji ke-23 di Dewan Perdana, FSSK, UKM.

Beliau juga menyatakan bahawa bahasa Melayu tetap dianggap sebagai bahasa kebangsaan sehingga ke hari ini. Walau bagaimanapun, bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa perantaraan dan bahasa perdagangan untuk Singapura bersaing pada peringkat global.

Setiap pelajar di Singapura diwajibkan mengambil subjek bahasa Inggeris dan bahasa ibunda. Bahasa ibunda rasmi di Singapura ada tiga, iaitu bahasa Melayu, bahasa Cina dan bahasa Tamil.

Bahasa ibunda antara kriteria utama yang diperlukan untuk pelajar diterima masuk ke universiti di Singapura.

Selain itu, beliau turut percaya bahawa bahasa bukan sekadar alat komunikasi semata-mata sebaliknya wadah hidup yang menzahirkan identiti, budaya dan nilai.

Mengulas lanjut tentang pembelajaran bahasa Melayu di Singapura, bahasa Melayu diajar di negara tersebut bukan sekadar menyampaikan isi pelajaran atau memastikan kecekapan berbahasa, tetapi merupakan satu daripada usaha kesinambungan budaya dan pembinaan bangsa serta jati diri.

Peserta Syarahan Raja Ali Haji ke-23 yang hadir termasuklah pelajar dari institusi pengajian tinggi awam.

Beliau juga berpaksikan pada hakikat bahawa dwibahasa ialah kekuatan negara itu yang menjadi penghubung antara tradisi dengan kemodenan, dan antara identiti tempatan dengan hubungan pada peringkat global.

Bahasa Melayu berperanan sebagai panduan nilai yang mengakar pelajar terhadap warisan budaya dan jati diri bangsa, manakala bahasa Inggeris pula kunci keterlibatan global dan bahasa yang menyatupadukan pelbagai etnik di Singapura.

Kedua-dua bahasa ini tidak bersaing, sebaliknya saling melengkapi dalam memperkaya kehidupan intelektual dan emosi pelajar di Singapura.

YBrs. Encik Zafilin bin Abdul Hamid (tengah) bergambar bersama-sama Dekan FSSK (kiri) dan Presiden PLM (kanan).

Sementara itu, Visi Arif Budiman Kurikulum Bahasa Melayu yang diperkenalkan oleh pihak Kementerian Pendidikan Singapura juga berpotensi melahirkan insan berilmu yang berbakti kepada masyarakat.

Jelas beliau lagi,

Maksud Arif ialah seorang yang berpengetahuan. Budiman ialah seseorang yang menyumbang semula kepada masyarakat.

Pendidik Bahasa Melayu bukan sahaja bertanggungjawab untuk melahirkan pelajar yang fasih berbahasa Melayu, tetapi turut memiliki jiwa budaya dan berhati budi, sekali gus mampu mengemudi dua bahasa dan dunia dengan penuh empati dan berhikmah.

Kredit Foto: KHAIRUL AZHAR BAHARUDDIN
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi