Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPagoh – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Pagoh dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Raja telah menganjurkan program Jom Kenali Bahasa di Dunia semalam bagi memenuhi keperluan dunia tanpa sempadan yang menuntut pendedahan awal terhadap kepelbagaian bahasa.
Program tersebut melibatkan murid tahun satu hingga tahun enam dengan memperkenalkan pelbagai bahasa termasuklah bahasa Melayu, Inggeris, Arab, Jepun dan Mandarin sebagai asas terhadap pemahaman mereka tentang keluasan dunia linguistik.

Guru Besar SK Kota Raja, Puan Norhaimi Said menjelaskan bahawa program ini membantu murid memahami kepentingan bahasa global dalam kehidupan masa ini dan masa hadapan.
Jelas beliau,
Pendedahan awal seperti ini dapat menanam minat pelajar terhadap bahasa dan budaya luar yang bukan sahaja menyeronokkan, malah memberikan nilai tambah terhadap pembangunan diri mereka.
Para guru turut berpendapat bahawa pengenalan awal terhadap bahasa asing dapat mencetuskan rasa ingin tahu murid melalui pendekatan pembelajaran yang bersifat interaktif.
Program ini dikendalikan oleh sekumpulan pensyarah UIAM Kampus Pagoh yang menyampaikan ceramah dalam lima bahasa bagi memberikan pengalaman langsung kepada murid tentang kepelbagaian bahasa dunia. Usaha ini juga menunjukkan peranan UIAM sebagai penganjur bersama.
Program tersebut turut disemarakkan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti kuiz, nyanyian, soal jawab bersama-sama murid serta aktiviti mencipta tanglung yang mencetuskan suasana pembelajaran yang ceria dan interaktif.
Sambutan dan pelibatan aktif murid sepanjang program menunjukkan kerjasama yang baik serta minat mereka yang mendalam terhadap penerokaan bahasa dan budaya baharu.
Penganjuran program ini diharapkan dapat meneruskan agenda bagi memperluas pengetahuan bahasa dalam kalangan generasi muda, sekali gus menjadikan sekolah sebagai ruang awal untuk memupuk kecintaan terhadap kepelbagaian bahasa di dunia.