Diterbitkan pada 30 November 2025, 11:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Klang — Usaha memupuk budaya membaca dalam kalangan masyarakat terus diperluas apabila Hotel Wyndham Acmar, Klang menjadi antara hotel bertaraf antarabangsa terawal melaksanakan Program Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) 2025 di peringkat sektor perhotelan pada Jumaat lalu. Program yang dianjurkan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu menandakan komitmen bersama dalam mengangkat kegiatan literasi sebagai sebahagian ekosistem pelancongan dan hospitaliti negara.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai, yang mewakili Ketua Pengarah DBP. Dalam ucapannya, beliau memuji kesungguhan pengurusan hotel kerana tampil menyahut seruan kerajaan untuk memperluas pelaksanaan DMK ke sektor swasta, khususnya dunia perhotelan yang dekat dengan masyarakat dan pelancong.

Pengurus Besar Hotel Wyndham Acmar, YBhg. Datin Sheena Mak (tengah) bergambar bersama-sama dengan Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai dan YBhg. SN Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh serta barisan Pengurusan Hotel Wyndham Acmar, Klang selepas menerima penyerahan buku 101 Malay Love Pantuns terbitan DBP.

Beliau turut menjelaskan bahawa DBP berdepan cabaran tersendiri dalam menjalinkan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak. Justeru, pelaksanaan program bersama Hotel Wyndham Acmar ini membuktikan bahawa ruang dan peluang masih luas untuk memperhebat program literasi merentas sektor.

Pengarah Pembangunan Perniagaan dan Komunikasi Pemasaran Hotel Wyndham Acmar, YBrs. Puan Hafiza Salim, dalam ucapannya pula menegaskan bahawa kedudukan hotel di Bandar Klang, iaitu sebuah bandar bersejarah, menjadikan pihaknya komited untuk meraikan budaya tempatan dalam operasi dan pengalaman tetamu.

Katanya, usaha sebegini bukan sahaja memenuhi tuntutan identiti setempat, bahkan mencerminkan penghargaan terhadap warisan pelbagai kaum di Malaysia.

101 Malay Love Pantuns.

Beliau menyatakan bahawa pantun sebagai khazanah bangsa sarat dengan kehalusan budi, hikmah dan seni sastera Melayu yang kekal relevan. Atas dasar itu, pihak hotel memilih karya 101 Malay Love Pantuns terbitan DBP untuk diketengahkan kepada para tetamu sebagai bahan bacaan di setiap bilik.

Program turut diserikan dengan kehadiran YBhg. Sasterawan Negara Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, yang menyampaikan ucapan dan membaca beberapa rangkap pantun daripada buku beliau. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak hotel atas inisiatif memperluas akses kepada karya sastera tempatan dalam ruang perhotelan.

Acara berkenaan dimeriahkan lagi dengan persembahan oleh Fazleena Hishamudin bersama-sama anaknya, Kesuma Hati, berusia empat tahun, yang mempersembahkan fragmen memupuk budaya membaca sebagai asas pembentukan generasi celik ilmu.

Kesuma Hati, 4, dan ibunya, Fazleena Hishamudin mencuit hati hadirin dengan keletah bersahaja mengajak semua orang mengamalkan budaya membaca.

Turut hadir dalam program itu ialah Pengurus Besar Hotel Wyndham Acmar Klang, YBhg. Datin Sheena Mak; Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP, YBrs. Puan Roziah Md Yunus;  Pengarah Operasi Hotel Wyndham Acmar Klang, YBrs. Encik Ooi Meng Liang; Pengarah Jualan dan Pemasaran Hotel Wyndham Acmar Klang, YBrs. Encik Ho Weng Kheong; Pengarah Penginapan Hotel Wyndham Acmar Klang, YBrs. Encik Charles Ratnasingam A/L Kanagasundra serta barisan kakitangan hotel.

Kredit Foto: Khairul Azhar Baharuddin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi