Diterbitkan pada 10 Disember 2025, 08:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerima kunjungan hormat daripada Majlis Perundingan Melayu (MPM) untuk membincangkan isu pemerkasaan bahasa Melayu dalam pelbagai sektor penting negara.

Delegasi MPM yang diketuai oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim, iaitu Ahli Majlis Penasihat dan Tokoh Negarawan MPM, bertemu dengan pihak pengurusan DBP untuk menyampaikan pandangan mengenai kepentingan memperkukuh penggunaan bahasa kebangsaan.

Pertemuan yang dipengerusikan oleh YBrs. Dr. Hazami Jahari, iaitu Ketua Pengarah DBP memberi tumpuan kepada langkah-langkah mengukuhkan penggunaan bahasa Melayu khususnya dalam empat sektor utama iaitu pentadbiran, pendidikan, perundangan dan masyarakat.

Yang turut hadir dalam kunjungan itu ialah YBhg. Dato’ Dr. Hasan Mad, iaitu Setiausaha Agung MPM; YBrs. Encik Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, iaitu Pengerusi Biro Perundangan dan Perlembagaan MPM dan YBrs. Encik Kamal Shukri Abdullah Sani, iaitu Pengerusi Biro Bahasa MPM.

Kunjungan ini dilihat sebagai satu usaha penting dalam memastikan bahasa Melayu terus relevan dan kukuh kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan. Ia selaras dengan peranan bahasa Melayu sebagai wadah perpaduan negara yang menyatupadukan rakyat pelbagai kaum. Kerjasama antara DBP dengan MPM ini dijangka akan melahirkan inisiatif dan program yang lebih berkesan untuk memartabatkan bahasa Melayu pada masa hadapan, sekali gus mengukuhkan jati diri bangsa dan negara.

Pemerkasaan bahasa Melayu dalam sektor pentadbiran dan perundangan amat penting bagi memastikan segala urusan rasmi negara dapat dijalankan dengan lancar dalam bahasa kebangsaan. Manakala dalam sektor pendidikan, pengukuhan bahasa Melayu akan membantu melahirkan generasi yang mahir dan bangga menggunakan bahasa ibunda mereka.

Kredit Foto: Telegram DBP
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi