Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSelandar – Guru Bahasa Melayu yang mengajar murid Orang Asli berhadapan dengan pelbagai cabaran linguistik dan sosiobudaya bagi memastikan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran (PdP) Bahasa Melayu. Demikian hasil dapatan temu bual lapangan yang dijalankan di Sekolah Kebangsaan Selandar, Melaka, semalam.
Kajian lapangan tersebut melibatkan sesi temu bual bersama-sama kumpulan penyelidik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Pagoh serta beberapa orang guru Bahasa Melayu yang berpengalaman mengajar murid Orang Asli di sekolah berkenaan.

Temu bual ini bertujuan meneliti secara langsung pengalaman, strategi pengajaran serta cabaran sebenar yang dihadapi oleh guru dalam konteks pendidikan komuniti Orang Asli.
Menurut guru Bahasa Melayu, Puan Azizah Wahab, antara cabaran utama yang dihadapi oleh guru termasuklah perbezaan latar belakang bahasa ibunda khususnya murid yang berada pada tahap rendah yang menyebabkan murid sukar memahami kosa kata dan struktur asas Bahasa Melayu standard. Hal ini turut memberikan kesan terhadap kemahiran membaca dan menulis dalam kalangan murid, terutamanya pada peringkat awal persekolahan.
Selain itu, faktor sosiobudaya dan persekitaran keluarga turut dikenal pasti mempengaruhi keberkesanan pembelajaran. Sebahagian murid kurang terdedah terhadap penggunaan bahasa Melayu di luar bilik darjah, namun ada juga murid yang menunjukkan kesungguhannya untuk mempelajari bahasa Melayu.
Menurut guru besar sekolah itu, Encik Mohd Nazri Ahmad, pihak sekolah sentiasa menyokong pembelajaran murid Orang Asli, serta memberikan galakan dan sokongan sepenuhnya terhadap pelaksanaan pengajaran Bahasa Melayu yang bersifat inklusif.
Sokongan ini dizahirkan melalui keprihatinan terhadap keperluan murid, pemberian ruang kepada guru untuk melaksanakan pendekatan pengajaran yang sesuai serta penekanan terhadap kepentingan pembinaan literasi bahasa dalam kalangan murid Orang Asli.
Selain itu, guru juga menunjukkan komitmen tinggi dengan mengaplikasikan pelbagai pendekatan kreatif termasuklah
penggunaan bahan visual, aktiviti berasaskan pengalaman harian murid serta penyesuaian kaedah pengajaran mengikut tahap kefahaman murid. Pendekatan ini dilihat membantu meningkatkan keyakinan dan minat murid terhadap pembelajaran Bahasa Melayu.
Dapatan awal kajian ini diharapkan dapat menyumbang ke arah perbincangan akademik dan dasar pendidikan yang berkaitan dengan pemerkasaan literasi Bahasa Melayu dalam komuniti Orang Asli, selaras dengan usaha memperkukuh pendidikan yang adil dan lestari di Malaysia.