Diterbitkan pada 24 Disember 2025, 07:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Sebanyak 541 aktiviti pemerkasaan bahasa dan kesusasteraan berjaya dilaksanakan di Kelantan sepanjang tahun 2025 menerusi kerjasama strategik Kerajaan Negeri, agensi Persekutuan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), serta syarikat swasta sekali gus memperkukuh peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan teras pembinaan jati diri masyarakat.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (Pengurusan), YBhg. Dato’ Azi Rahimee Mohamed berkata, daripada jumlah kumulatif tersebut, sebanyak 54 program dilaksanakan oleh 17 anggota Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Melayu Peringkat Negeri Kelantan (JPBMK) sebagai sebahagian daripada usaha pelaksanaan dasar pemerkasaan bahasa Melayu peringkat negeri.

Menurutnya, antara inisiatif teras yang digerakkan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan termasuklah pengurusan dan penyelarasan bagi Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Melayu (JKPBM) Bil. 1/2025 yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, YBM Tengku Kaya Perkasa Dato’ Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Al-Haj Tengku Feisal, pada 11 Mei 2025.

YBhg. Dato’ Azi Rahimee turut mempengerusikan mesyuarat JPBMK Bil.2/2025 di Bilik Gerakan Negeri Kompleks Kota Darulnaim pada 21 Disember 2025 dan memaklumkan pelantikan 56 ahli JKPBM Peringkat Negeri Kelantan melibatkan pelbagai sektor strategik yang merangkumi 12 wakil jabatan dan agensi negeri, 12 wakil pihak berkuasa tempatan (PBT), 16 wakil jabatan dan agensi Persekutuan, 7 wakil institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) serta 9 wakil daripada sektor swasta dan NGO.

Pelantikan Ahli Jawatankuasa Bahasa Melayu Peringkat Negeri Kelantan ini berkuat kuasa mulai 26 Ogos 2025 dan berfungsi merancang serta memantau pelaksanaan program kebahasaan di seluruh negeri sepanjang tahun.

Komitmen agensi kerajaan negeri bagi memartabatkan bahasa Melayu turut dizahirkan melalui pelibatan Yayasan Islam Kelantan (YIK) dengan penganjuran Pertandingan Syarahan Bahasa Melayu melibatkan pelajar institusi YIK dari 19 hingga 22 Mei 2025 sebagai usaha membudayakan penguasaan bahasa dan membina keyakinan diri menerusi program pidato dalam kalangan generasi muda.

Pemerkasaan bahasa Melayu turut diperkukuh menerusi penganjuran Syarahan Perdana Penghayatan Membangun Bersama Islam anjuran Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) pada 4 Oktober 2025 yang sepenuhnya menggunakan bahasa Melayu baku dan merangkumi kategori dewasa serta kanak-kanak. Program berprestij itu turut menampilkan juri bahasa yang diundang khas dari Jabatan Bahasa Melayu, Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu.

Selain itu, UPKN juga memainkan peranan penting demi memastikan ketepatan dan kualiti bahasa melalui penggunaan khidmat semakan ejaan dan tatabahasa oleh pegawai di Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) untuk manuskrip Dasar Penerangan Negeri Kelantan.

Sementara itu, Pengarah DBPWT, YBrs. Puan Ariza Che Ismail memaklumkan bahawa pihaknya telah melaksanakan 95 kegiatan yang berfokus terhadap bahasa, sastera dan ilmu, selain merealisasikan 392 siaran radio sepanjang tahun 2025, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan DBPWT untuk mengembangkan sastera kebangsaan pada peringkat wilayah.

Menurutnya, keseluruhan inisiatif tersebut dirangka secara strategik bagi memastikan bahasa Melayu terus berfungsi sebagai bahasa ilmu, wahana pemikiran dan asas pembinaan jati diri masyarakat, merentas kelompok usia serta latar sosial.

Antara tumpuan utama termasuklah pelaksanaan program pembangunan bahasa dan sastera yang melibatkan kanak-kanak, remaja serta masyarakat umum, di samping pengukuhan ekosistem penulisan, pembacaan dan apresiasi karya kreatif.

Jelas beliau lagi, pendekatan berkenaan dilaksanakan melalui program galakan, kerjasama strategik, pembudayaan tulisan Jawi, penganjuran wacana ilmiah serta usaha yang sistematik bagi membina bakat penulis baharu.

Pada masa yang sama, saluran radio kekal sebagai saluran efektif yang digunakan bagi mendekati rakyat. Sebanyak 392 siaran Radio Kelantan FM disiarkan menerusi pelbagai segmen khusus yang menekankan pengayaan kosa kata, keindahan bahasa, pemikiran sastera serta nilai budaya tempatan dalam kalangan masyarakat.

DBPWT turut merekodkan pencapaian dalam bidang penerbitan apabila 74 artikel dan karya berjaya diterbitkan termasuk penerbitan digital menerusi platform e-Wadah DBP, selain pelaksanaan Gerakan Membaca dan Penyebaran Ilmu serta program sempena Dekad Bahasa Kebangsaan.

Tambahnya, khidmat kepakaran bahasa DBPWT juga digabungkan bersama-sama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) bagi menyemak draf titah ucapan Sultan Kelantan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V dalam Majlis Singgahsana pada 29 September bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Keputeraan baginda yang ke-56.

YBhg. Dato’ Azi Rahimee Mohamed dan Pengarah DBPWT, YBrs. Puan Ariza Che Ismail bersama-sama ahli mesyuarat.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi