Diterbitkan pada 29 Disember 2025, 12:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

“Pemenangnya ialah Zarul daripada Sekolah XXX!”

“Eh, sekejap! Dari atau daripada?” detik hati pengacara majlis.

Persoalan dari atau daripada sering menjadi tanda tanya dalam kalangan pengacara majlis, terutamanya ketika mengumumkan nama pemenang atau memperkenalkan tetamu kehormat dalam sesuatu. Kesilapan kecil terhadap pemilihan kata sendi nama berupaya memberikan kesan besar terhadap khalayak penonton atau pendengar. Hal ini dikatakan demikian kerana pengacara majlis merupakan cerminan pengguna bahasa yang bijak memilih kata yang tepat sesuai dengan konsep majlis sama ada majlis rasmi atau sebaliknya.

Kamus Dewan Perdana (2020) mendefinisikan kata sendi nama dari dengan beberapa maksud, iaitu;

  1. Menyatakan atau menunjukkan tempat, arah seseorang atau sesuatu mula bergerak, bertolak, muncul, jatuh dan lain-lain.
  2. Menyatakan atau menunjukkan permulaan sesuatu jangka waktu.
  3. Menyatakan atau menunjukkan titik permulaan sesuatu jarak yang diukur.

Manakala kata sendi nama daripada didefinisikan sebagai;

  1. Menyatakan atau menunjukkan asal atau punca sesuatu diperoleh atau diterima.
  2. Menyatakan atau menunjukkan sumber bahan yang digunakan untuk menghasilkan sesuatu.

Di samping itu, menurut buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2015), kata sendi nama dari dan daripada ialah dua kata sendi yang mempunyai fungsi yang berbeza dan perbezaannya dijelaskan secara khusus dalam bab yang membincangkan tentang peraturan penggunaan kata sendi nama.

  • Dari digunakan di hadapan frasa nama yang menyatakan arah, tempat, masa atau waktu.
  • Daripada pula digunakan di hadapan frasa nama yang menyatakan punca bagi manusia, haiwan, benda, asal kejadian, sumber, atau dalam konteks perbandingan atau perbezaan.

Kata sendi nama dari lebih cenderung terhadap hal yang berbentuk konkrit, terutamanya yang berkaitan dengan tempat, arah, masa dan jarak.

Sebagai contoh seperti ayat yang berikut:

  1. Ali datang dari Johor.
  2. Surat itu sampai dari pejabat daerah.
  3. Pertandingan berlangsung dari pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang.

Ayat di atas menunjukkan contoh penggunaan kata sendi nama dari yang menunjukkan arah dan tempoh masa.

Kesalahan yang sering berlaku ialah penggunaan kata sendi nama daripada dalam konteks yang sepatutnya menggunakan kata sendi nama dari contohnya:

“Ali datang daripada Johor”  yang sebenarnya tidak tepat.

Sebaliknya, kata sendi nama daripada digunakan apabila melibatkan manusia, punca, atau sumber yang bersifat abstrak seperti contoh yang berikut:

  1. Pemenangnya ialah Zarul daripada Sekolah XXX.
  2. Cadangan itu datang daripada guru besar.
  3. Meja ini diperbuat daripada kayu jati.

Jelaskan bahawa kata sendi nama daripada menunjukkan perkaitannya dengan manusia atau asal usul sesuatu bahan. Kesalahan biasa yang dilakukan olen pengguna bahasa adalah dengan menggantikan kata sendi nama daripada dengan kata sendi nama dari dalam ayat seperti yang berikut;

  • “Pemenangnya ialah Zarul dari Sekolah XXX” yang kurang tepat kerana merujuk hubungan manusia dengan institusi.

Untuk memahami fungsi kata sendi nama dari dan daripada, pelbagai contoh diberikan dalam buku Tatabahasa Dewan dan laman sesawang Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM).

Yang berikut merupakan huraian mengikut fungsi dan contoh berdasarkan sumber rujukan tersebut.

Fungsi Dari Daripada
Tempat / Arah Ali menurunkan almari dari lori. Tidak sesuai jika menggunakan daripada kerana ia merujuk sumber, bukan lokasi.
Masa / Waktu Ziham mengulang kaji pelajaran dari pukul 1.00 tengah hari hingga 2.00 petang. Daripada tidak sesuai untuk masa kecuali perbandingan.
Punca / Sumber / Asal Kejadian Kurang sesuai. Meja itu diperbuat daripada kayu.

Surat itu datang daripada guru besar.

Manusia / Institusi Kurang tepat: Pemenangnya ialah Zarul dari Sekolah XXX. Tepat: Pemenangnya ialah Zarul daripada Sekolah XXX.

Bagi memudahkan pemahaman, rumus atau formula yang membezakan fungsi kedua-dua kata sendi nama seperti yang berikut boleh digunakan.

ATM untuk dari:

A = Arah

T = Tempat

M = Masa atau Waktu

 

KABOS untuk daripada:

K = keanggotaan, manusia atau institusi

A = Asal atau asal kejadian

B = Bahan atau benda fizikal

O = Organisasi atau orang

S = Sumber atau perbandingan

 

Langkah mudah:

  1. Tanya: Adakah frasa nama selepas “dari” atau “daripada” menunjukkan arah, tempat dan masa?

→ Jika ya, gunakan dari.

  1. Jika frasa tersebut merujuk manusia, institusi, bahan, punca, dan asal.

→ kuah jgn gunakan daripada

 

Kesalahan umum oleh pengacara majlis

Sebagai pengacara majlis, keperluan menyampaikan dengan lancar dan tepat di khalayak ramai, kesalahan yang sering berlaku ialah:

  • 1. Menggunakan dari bagi manusia atau institusi.
  •     Contoh: Pemenangnya ialah Zarul dari Sekolah XXX.
  •     Sepatutnya: Pemenangnya ialah Zarul daripada Sekolah XXX.
  • 2. Menggunakan daripada dalam konteks masa.
  •      Contoh: Majlis bermula daripada pukul 9 pagi.
  •      Sepatutnya: Majlis bermula dari pukul 9 pagi.
  • 3. Tidak meneliti konteks ayat sebelum memilih kata sendi nama.
  • 4. Pengaruh bahasa lisan atau dialek, di mana orang terbiasa menggunakan dari
         untuk semua keadaan.
  • 5. Kurang merujuk kepada sumber rasmi seperti buku Tatabahasa Dewan
    dan PRPM.

Penguasaan perbezaan dari dan daripada amat penting dalam bidang pendidikan, pentadbiran, dan media. Selain itu, kesalahan yang berterusan boleh mengelirukan makna, melemahkan kewibawaan penulis dan menjejaskan mutu bahasa.

Peribahasa Melayu ada menyebut, “bahasa menunjukkan bangsa”, maka itu ketelitian dalam aspek kecil seperti ini mencerminkan tahap kecintaan masyarakat terhadap bahasa ibunda.

Akhirnya, penggunaan dari dan daripada tidak boleh dipandang remeh kerana kedua-duanya mempunyai fungsi yang berbeza.

Dari digunakan untuk arah, tempat, masa, dan jarak. Manakala daripada digunakan untuk manusia, punca, asal kejadian, dan bahan.

Contoh ayat pembuka, “Pemenangnya ialah Zarul daripada Sekolah XXX”, ialah contoh penggunaan yang tepat kerana melibatkan hubungan manusia dengan institusi. Semua penutur bahasa Melayu perlu lebih berhati demi kelestarian bahasa yang indah dan berwibawa.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi