Diterbitkan pada 31 Mac 2026, 14:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dalam dialek Kelantan, kata “darat” (darak) atau (daraʔ: IPA) bermaksud tanah atau daratan, sama seperti makna dalam bahasa Melayu standard. Selain itu, kata ini mempunyai makna yang berbeza yang merujuk seseorang yang dianggap bodoh, kolot dan ketinggalan zaman. Contoh penggunaan kata ini dapat dilihat dalam jadual di bawah:

Dialek Kelantan Maksud
Daud Nasi gapo ni? Sedak do’oh! Dok rajin jupo kawe ni. Nasi apa ni! Sedapnya! Aku tak pernah jumpa.
Salim Aloh darak demo ni! Nasi Arab pun dok kenal. Huh! Darat kau ni! Nasi Arab pun tak pernah jumpa.

Bagi orang sekeliling, makanan tersebut dianggap biasa dan tiada yang istimewa. Oleh itu, keterujaan yang ditunjukkan oleh seseorang terhadap perkara yang biasa bagi orang lain itu menyebabkan dirinya dianggap darat (darak). Gelaran ini boleh bermaksud penghinaan atau gurauan mengikut konteks atau hubungan antara kedua-dua orang tersebut.

Kata ini mempunyai kaitan dengan sejarah lampau masyarakat Melayu sehingga sekitar kurun ke-18. Kebanyakan orang Melayu pada zaman dahulu (sebagaimana kini juga) tinggal di darat, sama ada di pinggir belantara, di desa kecil atau di persisiran pantai. Penempatan di darat itu sememangnya adat dan budaya yang akhirnya dipandang sebagai taraf hidup biasa yang dimiliki oleh sesiapa sahaja. Antara contoh pekerjaan di darat termasuklah bercucuk tanam atau mengambil upah untuk melakukan pekerjaan tertentu, seperti bertukang. Pekerjaan ini merupakan pencapaian biasa.

Pada era tersebut, seseorang itu akan dianggap mencapai status sosial yang lebih tinggi apabila berjaya merantau dan pulang membawa hasil. Hasil tersebut dapat berbentuk harta, emas, wang ringgit dan sebagainya. Selain pencapaian berbentuk material, ada juga orang merantau yang melalui perubahan dari segi gaya bahasa, cara pemakaian dan penampilan diri. Oleh sebab laluan utama perantau pada zaman itu ialah laut, perantau tersebut menganggap dirinya bukan orang darat atau golongan darat. Orang yang hanya berada di darat dianggap sebagai orang yang mundur, ketinggalan, miskin dan kolot.

Topik perbualan sesama orang yang berjaya dalam perniagaan dan bergelar nakhoda ini tentulah berkenaan pencapaian masing-masing. Contohnya, keuntungan yang diperoleh dalam semusim (setahun), jumlah kapal dagangan yang dimiliki, jumlah benua yang dijelajahi dan bahasa baharu yang dipelajari.

Apabila berlabuh di darat dan bertemu dengan penduduk kampung yang pernah sama-sama berlumpur di bendang, topik perbualan masih perkara yang sama, iaitu pencapaian sebagai nakhoda di lautan luas. Kekayaan yang melimpah ruah dan benua yang jauh tidak lagi asing bagi golongan ini.

Kisah Nakhoda Tanggang merupakan contoh dan gambaran seseorang yang asalnya hidup susah dan merempat di darat, lalu berjaya sebagai pedagang dan nakhoda, tetapi akhirnya berubah menjadi orang yang sombong dan lupa diri. Meskipun begitu, terdapat kisah atau hikayat lain yang menggambarkan seorang nakhoda yang tidak pernah lupa asal usulnya seperti yang dipaparkan menerusi Hikayat Nakhoda Muda.

Nakhoda Muda sememangnya lahir sebagai anak nakhoda, iaitu bapanya bergelar Nakhoda Mengkuta. Nakhoda Muda seorang yang berbudi pekerti, tinggi pegangan agamanya, jujur, tidak tamak, gemar menabur jasa, serta tidak mengejar pangkat atau sanjungan manusia. Nakhoda Muda merupakan contoh seorang Melayu yang sentiasa ingat dan cinta akan daratan, iaitu tanah leluhurnya dan tanah tumpah darahnya. Watak lupa diri yang dibawa oleh Tanggang tidaklah mewakili semua golongan pedagang dan nakhoda pada zamannya.

Keadaan ini menjadi kelaziman bagi perantau yang juga pelaut, pedagang atau nakhoda apabila kembali ke kampung halaman. Terdapat kecenderungan untuk menggelar orang yang tidak pernah merantau dan belayar di laut luas sebagai orang yang hanya duduk terkurung atau terpencil di darat. Gelaran darat atau orang darat digunakan sebagai satu bentuk kata yang bersifat merendah-rendahkan, mengejek dan menghina orang lain.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi