Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangFrasa endosentrik ialah frasa yang mempunyai unsur inti yang dapat menjadi wakil bagi frasanya. Sebaliknya, kata iringannya boleh digugurkan tanpa menjejaskan struktur atau maksud utama frasa. Frasa eksosentrik pula merupakan frasa yang tidak mempunyai satu unsur inti yang dapat mewakili seluruh frasa. Pada umumnya, dikatakan bahawa frasa nama, frasa kerja dan frasa adjektif merupakan frasa endosentrik, manakala frasa sendi nama merupakan frasa eksosentrik. Walau bagaimanapun, hal ini masih perlu kita halusi.
Bentuk binaan frasa sendi nama sememangnya bersifat eksosentrik kerana tiada satu unsur pun dapat mewakili seluruh frasa. Frasa sendi nama terbina daripada kata sendi nama + (kata arah) + kata nama. Sila lihat contoh yang berikut:
1a. Dia berada di dalam dewan.
1b. *Dia berada di.
1c. *Dia berada dewan.
1d. *Dia berada dalam.
Dalam kelompok ayat 1, frasa sendi nama di (dalam) dewan tidak dapat diwakili oleh kata sendi nama di, kata nama dewan atau kata arah dalam sahaja. Oleh itu, frasa sendi nama berstruktur eksosentrik.
Frasa nama dengan struktur inti + penerang biasanya bersifat endosentrik kerana penerang biasanya boleh digugurkan. Sila lihat contoh yang berikut:
2a. Dia guru tadika.
2b. Dia guru.
3a. Itu mesin jahit.
3b. Itu mesin.
4a. Dia mempunyai kulit (yang) cerah.
4b. *Dia mempunyai kulit.
Dalam kelompok ayat 2 dan 3, frasa nama guru tadika boleh diwakili oleh inti guru dan frasa nama mesin jahit dapat diwakili oleh inti mesin tanpa menjejaskan keutuhan struktur ayat. Yang berlaku hanyalah maksud frasa nama itu menjadi lebih umum. Walau bagaimanapun, bagi kelompok ayat 4, inti kulit tidak dapat mewakili frasa nama kulit (yang) cerah dari segi maksudnya walaupun struktur ayatnya masih utuh.
Bagi frasa nama dengan struktur inti + inti yang seerti, struktur ayat yang diduduki sebenarnya merupakan ayat majmuk tanpa kata hubung. Ayat itu berubah kepada ayat tunggal jika salah satu inti digugurkan. Namun begitu, maksud ayat tidak berubah. Sila lihat contoh yang berikut:
5a. Tubuh badannya sihat.
5b. Tubuh atau badannya sihat.
5c. Tubuhnya sihat.
5d. Badannya sihat.
Ayat 5a yang ada frasa nama inti + inti tubuh badan sebenarnya berada dalam ayat majmuk gabungan tanpa kata hubung (lihat ayat 5b). Dalam hal ini, salah satu inti tubuh atau badan dapat mewakili seluruh frasa nama tubuh badan.
Bagi frasa nama dengan struktur inti + inti yang berlawanan maksud, struktur ayat yang diduduki sebenarnya merupakan ayat majmuk tanpa kata hubung. Struktur ayatnya berubah kepada ayat tunggal jika salah satu inti digugurkan. Selain itu, maksud ayat turut berubah. Sila lihat contoh yang berikut:
6a. Pinggan mangkuk itu pecah.
6b. Pinggan dan mangkuk itu pecah.
6c. Pinggan itu pecah.
6d. Mangkuk itu pecah.
Ayat 6a yang ada frasa nama inti + inti pinggan mangkuk sebenarnya berada dalam ayat majmuk gabungan tanpa kata hubung (lihat ayat 6b). Dalam hal ini, tiada mana-mana inti pinggan atau mangkuk yang dapat mewakili seluruh frasa nama pinggan mangkuk dari segi maksudnya.
Frasa adjektif biasanya bersifat endosentrik kerana kata iringannya biasanya dapat digugurkan tanpa menjejaskan keutuhan struktur ayat, walaupun maksudnya mungkin berubah sedikit. Sila lihat contoh yang berikut:
7a. Dia sangat cantik.
7b. Dia cantik.
8a. Dia riang gembira.
8b. Dia riang.
8c. Dia gembira.
9a. Bajunya merah jambu.
9b. Bajunya merah.
10a. Dia kurus kering.
10b. Dia kurus.
Dalam kelompok ayat 7, 8, 9 dan 10, frasa adjektif sangat cantik dapat diwakili oleh kata adjektif cantik, frasa adjektif dengan dua inti yang seerti riang gembira dapat diwakili oleh kata adjektif riang atau gembira, frasa adjektif keserupaan merah jambu dapat diwakili oleh kata adjektif merah dan frasa adjektif dengan dua inti berima kurus kering dapat diwakili oleh kata adjektif kurus.
Walau bagaimanapun, frasa adjektif yang bermaksud kiasan tidak dapat diwakili oleh mana-mana unsurnya dengan makna yang sama. Sila lihat contoh yang berikut:
11a. Dia panjang tangan.
11b. Dia panjang.
11c. Dia tangan.
12a. Dia ringan tulang.
12b. Dia ringan.
12c. Dia tulang.
Dalam kelompok ayat 11, frasa adjektif bermaksud kiasan panjang tangan tidak dapat diwakili oleh kata adjektif panjang atau kata nama tangan. Dalam kelompok ayat 12, frasa adjektif bermaksud kiasan ringan tulang tidak dapat diwakili oleh kata adjektif ringan atau kata nama tulang.
Frasa kerja yang berbentuk endosentrik ialah frasa kerja dengan kata kerja tak transitif tanpa pelengkap. Sila lihat contoh yang berikut:
13a. Dia sering bersedih.
13b. Dia bersedih.
14a. Dia berseluar jean.
14b. Dia berseluar.
15a. Dia bermain bola.
15b. Dia bermain.
Dalam kelompok ayat 13, 14 dan 15, kata kerja tak transitif bersedih, berseluar dan bermain sebagai inti frasa kerja dapat mewakili seluruh frasa kerja sering bersedih, berseluar jean dan bermain bola.
Walau bagaimanapun, frasa kerja yang ada kata kerja tak transitif dengan pelengkap atau kata kerja transitif dengan objek tidak dapat diwakili oleh kata kerja sahaja. Sila lihat contoh yang berikut:
17a. Dia menjadi kaya.
17b. *Dia menjadi.
18a. Dia menyirat jala.
18b. *Dia menyirat.
Dalam kelompok ayat 17, kata kerja menjadi tidak dapat mewakili frasa kerja menjadi kaya yang terbina daripada kata kerja tak transitif menjadi dengan pelengkap kaya. Dalam kelompok ayat 18, kata kerja menyirat tidak dapat mewakili frasa kerja menyirat jala yang terbina daripada kata kerja transitif menyirat dengan objek jala. Oleh itu, frasa kerja menjadi kaya dan menyirat jala merupakan frasa eksosentrik.