Diterbitkan pada 3 Mac 2026, 09:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bahasa ialah wahana tamadun dan maruah wangsa. Dalam konteks bahasa Melayu, isu ejaan bukan sekadar teknikal tetapi menyentuh disiplin ilmu dan standard yang telah dipersetujui sejak dahulu. Antara kekeliruan yang sering berulang saban tahun ialah ejaan “Ramadan” yang masih dieja sebagai “Ramadhan” sedangkan bentuk yang tepat menurut Kamus Dewan Perdana (KDP) ialah “Ramadan”.

Menurut KDP, Ramadan didefinisikan sebagai bulan kesembilan dalam takwim Hijrah yang diwajibkan berpuasa ke atas umat Islam. Definisi ini jelas dan selaras dengan sistem ejaan Rumi bahasa Melayu yang telah dibakukan. Namun demikian, setiap kali tiba bulan puasa yakni Ramadan, dapat dilihat masih terdapat segilintir masyarakat yang mengeja perkataan ini sebagai “Ramadhan”. Persoalannya, adakah kesalahan ini dilakukan secara sengaja atau kerana tidak mengetahui bahawa ejaan yang tepat dalam bahasa Melayu ialah “Ramadan”?

Kekeliruan ini lazimnya berpunca daripada pengaruh ejaan bahasa Arab. Dalam bahasa Arab, perkataan رمضان mengandungi huruf “ض” (dad) yang bunyinya lebih hampir kepada konsonan tertentu. Apabila ditransliterasikan ke dalam tulisan Rumi, ada yang menulisnya sebagai “Ramadhan” bagi menggambarkan sebutan tersebut. Namun begitu, kita harus sedar bahawa bahasa Melayu menggunakan sistem ejaan Rumi yang tersendiri, bukan sistem transliterasi secara langsung daripada bahasa Arab sepenuhnya.

Dalam sistem ejaan bahasa Melayu moden yang telah diselaraskan sejak tahun 1972, huruf “dh” tidak digunakan sebagai lambang fonem tersendiri. Oleh itu, bentuk yang diterima pakai dan dibakukan ialah “Ramadan”, bukan “Ramadhan”. Prinsipnya mudah, iaitu dengan menyesuaikan kata pinjaman mengikut sistem ejaan Melayu, bukan mengekalkan bentuk asal bahasa sumber secara mutlak.

Hal yang sama dapat dilihat pada contoh lain seperti Aidilfitri dan Aidiladha. Dalam bahasa Arab, istilah tersebut sering ditulis sebagai “Idulfitri” dan “Iduladha”. Namun begitu, dalam bahasa Melayu standard, bentuk yang diterima ialah “Aidilfitri” dan “Aidiladha” selaras dengan penyesuaian fonologi dan morfologi bahasa Melayu.

Penggunaan ejaan Ramadan adalah relevan kerana ejaan ini mencerminkan pematuhan terhadap sistem ejaan standard yang telah dipersetujui oleh pihak berautoriti bahasa, iaitu DBP. Ejaan standard penting bagi memastikan keseragaman dalam pendidikan, pentadbiran, penerbitan dan media. Tanpa keseragaman, kekeliruan akan terus berulang dan mengganggu mutu bahasa.

Dalam ranah penulisan kreatif seperti puisi, cerpen dan novel, ejaan “Ramadhan” juga sering digunakan oleh segelintir penulis. Ada yang beranggapan penggunaan tersebut sebagai lesen puitika atau usaha mengekalkan nuansa Arab bagi tujuan estetika. Walau bagaimanapun, kebebasan kreatif tidak seharusnya mengabaikan tanggungjawab linguistik. Dalam konteks penerbitan arus perdana dan karya yang menjadi rujukan umum, keperluan menggunakan ejaan tepat, yakni “Ramadan” tetap lebih wajar, berilmiah dan profesional.

Hakikatnya, ejaan “Ramadan” telah lama termaktub dalam kamus dan bahan rasmi terbitan DBP. Hal ini bukanlah perkara baharu atau perubahan terkini. Namun begitu, kesalahan tetap berlaku, malah lebih menyedihkan apabila ejaan “Ramadhan” masih tersiar di media massa utama negara. Sebagai pengguna bahasa Melayu, kita harus akur terhadap ejaan yang telah diterima pakai seperti yang tertulis dan tercetak dalam kamus. Kamus bukan sekadar bahan rujukan, tetapi dokumen autoritatif yang menjadi pedoman dalam menentukan bentuk kata yang sah dan baku.

Sudah tentu, perubahan ejaan boleh berlaku sekiranya terdapat keperluan berdasarkan kajian linguistik atau tuntutan semasa. Walau bagaimanapun, perubahan tersebut mesti melalui proses rasmi dan pengesahan pihak berautoriti bahasa. Selagi tiada perubahan yang diumumkan, maka itu bentuk yang standard masih kekal sebagai “Ramadan”.

Kesimpulannya, penggunaan ejaan Ramadan bukanlah isu yang boleh diremehkan, tetapi isu disiplin bahasa dan penghormatan terhadap sistem yang telah dibakukan. Kita sebagai pengguna bahasa Melayu perlu mengambil tahu tentang ejaan standard dan diterima pakai dalam KDP terbitan DBP agar bahasa Melayu terus kekal relevan, bermaruah dan berwibawa.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi