Diterbitkan pada 31 Mac 2026, 14:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pengunaan kata “darat” dapat dilihat dalam simpulan bahasa “lupa daratan”. Akibat gelaran yang membawa maksud penghinaan terhadap orang yang pada asalnya merupakan orang yang lahir dan membesar di darat yang ditujukan kepada asal usulnya sendiri, terhasillah simpulan bahasa “lupa daratan”.

Simpulan bahasa ini ialah jawapan balas terhadap orang yang terlalu angkuh dan lupa asal usulnya sebagai orang darat. Setelah berjaya sebagai pedagang di laut dan bergelar nakhoda yang kaya, orang itu memandang rendah asal usulnya, iaitu tanah atau darat.

Dalam hal ini, kata “darat” diistilahkan sebagai sesuatu yang hina, kolot, ketinggalan dan pelbagai lagi konotasi yang buruk yang menggambarkan kemunduran. Kisah Tanggang benar-benar menggambarkan secara jelas dan tepat tentang seseorang yang berasal daripada darat yang akhirnya menjadi kaya kerana berdagang di laut, lalu lupa daratan. Tanggang menghina dan menghalau ibunya sendiri yang kelihatan selekeh dan miskin di hadapan isterinya.

Filem Pulang (2018) arahan Kabir Bathia pula ialah adaptasi kisah sebenar seorang kelasi Melayu dari Melaka yang pergi belayar untuk mengubah keadaan ekonomi diri dan keluarga kecilnya. Dalam filem itu, Alias (Remy Ishak) pergi belayar sekitar tahun 1948 setelah tamat era Perang Dunia Kedua.

Alias yang tidak pulang setelah lebih enam dekad digambarkan antara lain oleh isterinya Che Thom (Puteri Aishah Sulaiman) sebagai seorang yang telah lupa daratan. Tanggapan itu berterusan sebelum Che Thom mengetahui kisah sebenar yang dilalui oleh suaminya. Terdapat sisipan dialog watak antara Che Thom dengan Cikgu Hassan (yang sedang cuba memikat Che Thom) seperti yang berikut:

Che Thom: Orang laut ni semua sama saja!
Cikgu Hassan: Tapi, saya orang darat Che Tom.

Che Thom meluahkan kekecewaannya terhadap keengganan Alias untuk pulang ke kampung halamannya. Alias dirujuk sebagai orang laut, manakala Cikgu Hassan menggelar dirinya sebagai orang darat. Menurut konteks ini, kata “darat” mempunyai makna yang positif.

Cikgu Hassan bahkan berbangga dengan gelaran orang darat. Orang darat ditafsirkan sebagai seseorang yang masih kenal asal usul dan tidak lupa diri seperti orang laut. Cikgu Hassan cuba menggambarkan dirinya sebagai orang darat dan bukan orang laut. Orang darat ialah orang yang masih berpijak di bumi nyata dan berdiri teguh di atas tanah asal usulnya.

Namun begitu, pada hari ini, selari dengan peredaran zaman, istilah “lupa daratan” mengalami adaptasi makna, iaitu merujuk manusia yang lupa diri atau sombong setelah berjaya. Kejayaan tersebut sama ada berjaya sebagai pedagang dan nakhoda di lautan, juruterbang di angkasa atau apa-apa saja bentuk kejayaan yang menjadikannya sombong, angkuh, bongkak dan menghina asal usulnya.

Selain itu, seseorang itu dikatakan sebagai lupa daratan jika pada asalnya merupakan seorang pekerja biasa yang gemar membuat kerja kebajikan, rajin ke masjid dan kerap bergotong royong, tetapi setelah mencapai kejayaan, orang tersebut tidak lagi melakukan apa-apa yang biasa dilakukannya suatu masa dahulu. Bukan setakat itu, orang tersebut mula memandang rendah terhadap orang yang seperti dirinya sendiri seketika dahulu. Oleh itu, terciptanya istilah “lupa daratan” ini dan kekal digunakan hingga hari ini.

Kata “darat” (darak) juga merupakan suatu kata yang amat sesuai untuk dipopularkan penggunaannya kepada seluruh penutur bahasa Melayu kerana tidak mempunyai makna yang menghina mana-mana suku kaum. Hal ini dikatakan demikian kerana dalam kalangan sebahagian penutur bahasa Melayu, terdapat kecenderungan untuk menggunakan istilah yang merujuk suku kaum tertentu yang dinisbahkan maksudnya sebagai seseorang yang kolot dan ketinggalan zaman.

Walaupun istilah yang tidak baik ini tidak diiktiraf oleh mana-mana badan berautoriti bahasa, penggunaannya agak meluas dalam kalangan penutur bahasa Melayu tanpa diketahui asal usulnya. Hal ini dikatakan demikian kerana perbuatan menisbahkan sesuatu bangsa atas satu subjek yang bermaksud menghina bukan sahaja merupakan perbuatan yang tidak beradab, malah berdosa besar dalam agama Islam.

Noorhisyam Jasmin merupakan pensyarah bahasa di Jabatan Bahasa-bahasa Asia dan Eropah, Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi