Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – “Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif yang diumumkan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Fadhlina Sidek, dalam Majlis Amanat YB Menteri Pendidikan 2026 yang meletakkan bahasa Melayu sebagai teras jati diri dan wahana ilmu, sekali gus mengukuhkan kedudukan strategik DBP sebagai institusi bahasa negara,” demikian kenyataan media yang dikeluarkan oleh DBP, hari ini.
DBP menjelaskan bahawa mandat Pentauliahan Munsyi Dewan dalam kalangan guru Bahasa Melayu di Institut Pendidikan Guru (IPG) yang akan dilaksanakan bagi memperkukuh profesionalisme dan kepakaran bahasa Melayu akan disambut baik.
Selain itu, Program Munsyi Remaja diperkenalkan untuk murid Tingkatan 4 hingga Tingkatan 6 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Tingkatan 6.
Jelas DBP lagi, pembangunan kepakaran dalam bidang kebahasaan akan bermula dari sekolah rendah dengan program Munsyi Murid sehinggalah ke program pentauliahan para pelajar institut pendidikan guru.
Usaha ini diyakini mampu membentuk budaya kecemerlangan bahasa dalam sektor pendidikan negara.
Di samping itu, DBP menyambut baik mandat penganjuran Pertandingan Pidato Diraja khas untuk murid Tingkatan Enam sebagai suatu usaha strategik bagi memperkasakan penggunaan bahasa Melayu tinggi dalam wacana intelektual pelajar prauniversiti.
Bagi memastikan pelaksanaan yang menyeluruh dan berimpak tinggi, DBP akan bekerjasama dengan Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH), Kementerian Pendidikan (KPM) untuk merangka, menyelaras dan melaksanakan pertandingan tersebut.
Selain pertandingan pidato, kerjasama strategik ini turut merangkumi penganjuran pertandingan berbentuk konvensyen bagi pelajar Tingkatan 6 yang memberikan tumpuan terhadap pembentangan idea, perbahasan ilmiah dan wacana pemikiran kritis dalam bahasa Melayu.
Menerusi kenyataan media itu lagi, pendekatan konvensyen ini akan membuka ruang kepada pelajar untuk mengemukakan gagasan, hasil kajian dan pandangan bernas secara berstruktur, sekali gus mengasah keupayaan kepemimpinan, pemikiran analitis dan keterampilan berkomunikasi dalam konteks akademik dan profesional.
Inisiatif ini diyakini dapat memperkukuh peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa wacana intelektual peringkat tinggi, selaras dengan aspirasi pendidikan negara dan agenda pemerkasaan bahasa kebangsaan.
Bagi memperkukuh pembudayaan membaca dan menggalakkan kefahaman silang budaya, DBP akan memanfaatkan peruntukan geran sebanyak RM250,000 bagi Program Silang Budaya dan RM250,000 bagi pelaksanaan program sempena Dekad Membaca Kebangsaan secara berfokus dan berimpak tinggi. Program tersebut akan dirangka bagi meningkatkan minat membaca merentas lapisan masyarakat, memperluas apresiasi terhadap kepelbagaian budaya melalui bahasa dan sastera, serta memperkukuh ekosistem literasi negara.
Bagi memastikan pelaksanaan yang lebih menyeluruh dan memberikan kesan nasional, DBP akan bergerak bersama-sama dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) untuk merancang dan melaksanakan program literasi ini di seluruh negara.
Kerjasama strategik ini akan memanfaatkan jaringan perpustakaan awam, kepakaran kandungan dan sumber bacaan bagi memastikan akses yang lebih luas kepada masyarakat, sekali gus memperkasakan budaya membaca sebagai amalan berterusan.
Tambah DBP lagi, pelaksanaan inisiatif ini selaras dengan aspirasi nasional demi melahirkan masyarakat berpengetahuan, berbudaya ilmu dan berdaya saing, dengan bahasa Melayu sebagai wahana utama penyatuan, ilmu dan pembinaan jati diri bangsa.