Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – “Sebarang perbincangan berkaitan dengan pengiktirafan sijil pendidikan perlu berpaksikan Perlembagaan Persekutuan dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, serta memperkukuh bahasa Melayu dan sejarah sebagai teras,” tegas Timbalan Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi dalam majlis Konvensyen Memperkasakan Pendidikan Melayu di Hotel Seri Pacific, semalam.
Menurut YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, bahasalah yang menentukan individu yang dapat menguasai universiti, sektor awam dan ekonomi.
Ujar beliau,
Apabila bahasa Melayu dilemahkan, anak Melayu yang melalui aliran kebangsaan akan paling terkesan.
Selain itu, bagi mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu masa hadapan, beliau menyatakan bahawa beliau akan terus memperjuangkan usaha bagi memastikan bahasa Melayu terus berkembang sebagai bahasa sains, bahasa teknologi dan bahasa pemikiran aras tinggi.
Langkah ini dilihat penting bagi menjamin kelangsungan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang berdaya saing, meskipun perkara ini memerlukan pelaburan yang besar dalam pembangunan bahan ilmiah, penghasilan kandungan digital dan latihan guru.
Jelas beliau lagi, terdapat pelbagai cabaran dalam landskap pendidikan dan mobiliti sosial termasuklah soal kebolehpasaran graduan, jurang pembangunan bandar dan luar bandar serta keperluan memperkukuh peranan sekolah kebangsaan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
Tambah beliau,
Melalui penyelarasan sistem pendidikan yang lebih menyeluruh, pemerkasaan TVET dan Tahfiz, pengukuhan sekolah kebangsaan serta pemartabatan bahasa Melayu, saya yakin kita sedang membina asas yang lebih kukuh bagi masa hadapan pendidikan dan kemajuan anak bangsa.
Terdahulu dalam Konvensyen 152 Peringkat Kebangsaan yang berlangsung pada 9 Oktober 2025 di Dewan Agung Tuanku Canselor, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam tahun lalu, Timbalan Perdana Menteri dalam ucap utamanya pernah menyatakan bahawa,
Angka 152 tidak dijelmakan tanpa sebarang makna. Hal ini merupakan “pengertian sakral”, yang mengikat martabat watan terhadap bahasa yang dipertuturkannya. Apa-apa yang penting jua, bahasa Melayu ini bukan hanya warisan, tetapi wahana penyatuan, tunjang jati diri dan landasan kemajuan bangsa Malaysia.
Menurut beliau lagi,
Kita tidak boleh tunduk kepada dualisme bahasa yang mengaburkan identiti. Bahasa Melayu harus menjadi bahasa ilmu, bahasa profesional dan bahasa negara.
Pastinya, tugas membina negara bangsa ini ialah tugas semua rakyat Malaysia. Hal ini jelas termaktub dalam Perlembagaan yang telah disepakati secara kolektif. Oleh hal yang demikian, saya menyeru kepada semua, terutamanya Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), serta agensi yang berkaitan agar sentiasa senada bagi menggerakkan arus dasar nasional negara yang berkaitan dengan bahasa Melayu sebagai bahasa identiti nan paling utama.
Konvensyen 152 Peringkat Kebangsaan tersebut merupakan anjuran bersama antara UiTM melalui Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (IMPAK), DBP dengan Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) yang menghasilkan enam ketetapan penting sebagai usaha memperkukuh kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.