Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bertitah bahawa sebarang usul mengiktiraf apa-apa jua sistem pendidikan selain sistem yang sedia ada, mesti menerima bahasa Melayu dan sejarah Malaysia.
Bersempena dengan Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Parlimen Ke-15 di Bangunan Parlimen pada hari ini, KDYMM Seri Paduka Baginda bertitah bahawa sistem pendidikan negara perlu terus diperkasakan sebagai asas pembinaan bangsa, jati diri dan masa hadapan negara.
KDYMM Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa sebarang sistem pendidikan baharu yang ingin dilaksanakan mestilah selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan bahasa Melayu mestilah menjadi bahasa utama memandangkan bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan di negara ini.
Tegas KDYMM Seri Paduka Baginda,
Jika hendak buat sistem pendidikan yang baharu, ianya mesti dibuat selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan, dan bahasa Melayu mesti menjadi bahasa utama kerana bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan.
Sementara itu, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim turut mengingatkan bahawa sesiapa sahaja yang tidak menerima bahasa Melayu, sebaik-baiknya tidak tinggal di Malaysia.
Kalau ada yang tidak menerima bahasa Melayu, lebih baik jangan duduk di Malaysia.
Titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ini menjadi peringatan kepada seluruh warga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar sentiasa berusaha memperkasakan ekosistem pendidikan negara, memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan mengukuhkan penguasaan bahasa Inggeris serta bahasa lain sebagai nilai tambah kepada murid.
Hal ini selaras dengan usaha KPM yang sedang memberikan tumpuan terhadap pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 dan Kurikulum Baharu Prasekolah.