Diterbitkan pada 13 Februari 2026, 07:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur — Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersama-sama dengan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) terus menyahut seruan kerajaan untuk mempercepat usaha pendigitalan urusan perkhidmatan awam apabila Ujian Pemantapan Bahasa bagi Kursus Pembinaan Munsyi Muda Bahasa Siri 55 Bilangan 1 Tahun 2026 buat julung kalinya dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian.

Ujian yang berlangsung pada hari ini merupakan komponen penilaian utama kursus yang telah diadakan dari 9 hingga 13 Februari 2026 di INTAN Jalan Elmu, melibatkan sebanyak 35 orang peserta dalam kalangan penjawat awam.

Pendekatan digital ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan pengurusan peperiksaan, malah berjaya mengurangkan penggunaan kertas secara drastik, selaras dengan agenda kerajaan ke arah pentadbiran yang lebih lestari dan berimpak tinggi.

Pelaksanaan ujian secara dalam talian ini memperlihatkan komitmen DBP sebagai badan berautoriti bahasa negara bagi menyesuaikan fungsi pembinaan dan pemantapan bahasa selaras dengan keperluan era pendigitalan. Transformasi ini juga memperkukuh integriti sistem penilaian melalui pengurusan data yang lebih sistematik, telus dan efisien.

Bacaan doa sebelum ujian bermula pimpinan Encik Mohamad Ikhwan Al Syahid bin Abdullah Tahir.

Pengurus kursus, Encik Mohamad Ikhwan Al Syahid bin Abdullah Tahir yang merupakan Perunding Latihan, Pusat Pengajian Komunikasi dan Bahasa, INTAN menyifatkan pelaksanaan ujian secara digital ini sebagai langkah strategik yang selari dengan aspirasi kerajaan untuk mendigitalkan urusan kerajaan sepenuhnya.

Menurut beliau, inisiatif ini bukan sahaja menjimatkan kos percetakan dan logistik, malah mempercepat proses pemarkahan serta analisis pencapaian peserta.

Sementara itu, Ketua Bahagian Pembinaan Bakat dan Kepakaran DBP, Puan Nurul Aina binti Borhan pula menegaskan bahawa transformasi digital bagi pelaksanaan ujian ini mencerminkan kesiapsiagaan DBP untuk mendepani perubahan landskap pentadbiran negara. Beliau turut dibantu oleh Puan Zulfa binti Abdul Aziz, Perancang Bahasa dan Puan Siti Hajar binti Mohd Shukri, Penolong Eksekutif Bahasa bagi memastikan kelancaran pengendalian ujian berkenaan.

Program Munsyi Muda Bahasa merupakan inisiatif kolaborasi strategik antara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan DBP bagi melahirkan perujuk bahasa dalam kalangan penjawat awam. Program ini berperanan memperkukuh kompetensi bahasa Melayu dalam urusan rasmi kerajaan sekali gus meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan awam.

Untuk rekod, Bahagian Pembinaan Bakat dan Kepakaran DBP turut menguruskan Program Munsyi Siswa dan Munsyi Remaja selain Munsyi Muda Bahasa sebagai sebahagian daripada ekosistem pembinaan bakat bahasa yang komprehensif merentas peringkat pendidikan dan perkhidmatan.

Pelaksanaan ujian secara dalam talian ini menandakan satu anjakan signifikan terhadap pengurusan program bahasa sektor awam melalui penggabungan disiplin kebahasaan dengan teknologi digital demi memperkasakan tadbir urus yang cekap, mampan dan berpaksikan masa hadapan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi