Diterbitkan pada 4 Mac 2026, 11:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Tumpat – “Bahasa menjadi asas bagi jati diri kerana bahasa mencerminkan budaya yang diungkapkan dalam peribahasa, pantun, dan karya sastera yang menggambarkan nilai masyarakat. Bahasa juga membina pemikiran, menyatukan bangsa dan melambangkan maruah. Sekiranya kita kehilangan bahasa, maka hilanglah identiti bangsa.”

Demikian menurut Munsyi Dewan (Bahasa), Encik Muhammad Daud dalam program “Bersama-sama Munsyi” di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yuk Tze yang disertai oleh 250 orang murid dan guru.

Menurut beliau semasa sesi bimbingan tersebut,  jati diri bangsa ialah identiti yang unik bagi sesuatu bangsa yang merangkumi nilai, kepercayaan, budaya, agama, dan warisan yang membezakan mereka daripada bangsa lain.

Tambah beliau lagi,

Gunakanlah bahasa Melayu dengan betul dalam semua urusan. Jadilah juara kepada bahasa ibunda kita sejak dari bangku sekolah hingga ke alam pekerjaan. Bahasa mencerminkan keperibadian. Tinggi rendah martabat seseorang terlihat daripada kata-katanya.

Munsyi Dewan (Bahasa), Encik Muhammad Daud dalam program “Bersama-sama Munsyi” di SJKC Yuk Tze yang disertai oleh 250 orang murid dan guru.

Beliau menegaskan bahawa setiap pilihan berada pada tangan kita. Jangan sesekali merosakkan bahasa dengan mencampuradukkan bahasa rojak dan bahasa slanga ke dalam bahasa Melayu. Bahasa ialah jiwa bagi bangsa. Tanpa bahasa yang dipelihara dan dimartabatkan, jati diri bangsa akan menjadi lemah dan terhakis.

Kesantunan dan ketepatan berbahasa bukan sekadar peraturan tatabahasa, tetapi juga merupakan cerminan budi dan identiti kita sebagai anak Malaysia. Beliau juga mengajak seluruh peserta dan pihak penganjur untuk bersama-sama memartabatkan dan meninggikan citra bahasa Melayu.

Program bertemakan Citra Bahasa Melayu anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Tumpat dan SJKC Yuk Tze ini disertai oleh murid dan guru dari tujuh buah sekolah yang berdekatan. Majlis telah dirasmikan oleh Puan Ariza Che Ismail, Pengarah DBP Wilayah Timur.

Antara tetamu yang hadir termasuklah Pegawai Pendidikan Daerah Tumpat, Encik Rozeman Din, Guru Besar SJKC Yuk Tze, Puan Ong Sheau Tyng dan Yang Dipertua PIBG SJKC Yuk Tze, Encik Wee Cheng Chin.

Kredit Foto: WEE SIOK FUNG
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi