Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBandar Baru Bangi – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) telah menganjurkan program Ziarah Jawi Ramadan yang berlangsung di Gerai Juadah Ramadan, Laman Niaga Komuniti Bandar Baru Bangi pada petang tadi.

Pada siri kali ini, program Ziarah Jawi Ramadan telah dihadiri oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Fadhlina Sidek bersama-sama dengan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Yang Berusaha (YBrs.) Dr. Hazami Jahari yang turut mengunjungi gerai juadah Ramadan bagi menyantuni para peniaga serta menyampaikan cenderamata.
Kehadiran YB Fadhlina Sidek dan YBrs. Dr. Hazami Jahari turut memberikan peluang kepada para peniaga dan pengunjung untuk berinteraksi secara santai sambil menyokong usaha memartabatkan penggunaan bahasa Melayu dan tulisan Jawi dalam kehidupan seharian.
Program tersebut diadakan sebagai satu daripada usaha Dewan Bahasa dan Pustaka untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan penggunaan bahasa Melayu yang betul serta memperkukuh penghayatan terhadap tulisan Jawi.

Dalam program tersebut, pihak DBP turut berkongsi pelbagai maklumat berkaitan dengan ejaan makanan, istilah semasa serta pantun yang berkaitan dengan bulan Ramadan kepada pengunjung dan para peniaga di kawasan gerai juadah tersebut.
Selain itu, program Ziarah Jawi Ramadan ini juga bertujuan untuk memastikan penggunaan bahasa Melayu pada papan tanda dan bahan promosi yang digunakan oleh para peniaga di gerai juadah Ramadan adalah betul dan sesuai.
Menerusi temu bual bersama-sama salah seorang peniaga, Encik Farid yang menjual air soya dan taufufah menyatakan bahawa penggunaan papan tanda berbahasa Melayu dapat menarik perhatian pelanggan yang berkunjung ke gerainya.

Menurut Encik Farid, penjaja gerai juadah Ramadan,
“Pelanggan lebih tertarik dengan papan tanda berbahasa Melayu berbanding dengan yang berbahasa Inggeris kerana lebih mudah difahami oleh kebanyakan pengunjung di kawasan ini.”
Sementara itu, seorang pengunjung di tapak gerai juadah Ramadan, Puan Masyitah berpendapat bahawa penggunaan tulisan Jawi juga boleh diperluaskan pada kain rentang agar tulisan tersebut terus dimartabatkan dalam kalangan masyarakat di samping membantu pelanggan menggunakan perkataan bahasa Melayu dengan lebih baik.
Program Ziarah Jawi Ramadan ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran masyarakat untuk menggunakan bahasa Melayu yang betul serta mengangkat kembali tulisan Jawi sebagai warisan bahasa yang wajar dipelihara dan dimartabatkan dalam kehidupan masa ini.