Diterbitkan pada 12 Mac 2026, 11:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bandar Baru Bangi – “Semua genta kebahasaan ini kita dengar pada bulan Januari yang lalu, iaitu genta yang memperkuat semangat dan keyakinan kita terhadap komitmen pelbagai pihak untuk mengangkat darjat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa ilmu dan bahasa pemersatu negara,” ujar Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Yang Berbahagia (YBhg.) Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Anwar Ridhwan.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya dalam Majlis Santunan Budi, Junjungan Kasih yang dianjurkan oleh DBP melalui Bahagian Promosi dan Pengiktirafan di Hotel Tenera, Bandar Baru Bangi, malam tadi.

Majlis tersebut diadakan sebagai wadah mempererat jalinan ukhuwah selain menghargai jasa serta sumbangan tokoh bahasa dan sastera dalam usaha memartabatkan bahasa dan kesusasteraan negara.

Menurut beliau, dalam titah ucapan perasmian Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Parlimen, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dengan tegas menyeru semua rakyat Malaysia agar memartabatkan dan mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara.

Penegasan yang sama turut disuarakan oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada bulan Januari yang lalu bukan sahaja di Parlimen, tetapi juga ketika beliau meluncurkan Rancangan Pendidikan Negara 2026-2030.

Katanya, komitmen Perdana Menteri terhadap perjuangan bahasa Melayu turut dizahirkan dalam buku terbaharunya, Rethinking Ourselves, yang menekankan usaha berterusan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara melalui pengukuhan Akta Bahasa Kebangsaan 1967.

Menteri Pendidikan Malaysia, YB Fadhlina Sidek ketika merasmikan prapelancaran ulang tahun DBP ke-70.

Dalam majlis itu juga berlangsungnya Prapelancaran Sambutan Ulang Tahun DBP ke-70 tahun yang telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Fadhlina Sidek. Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun DBP ke-70 tersebut akan diadakan di Hotel Pullman, Sarawak pada 22 Jun 2026. Lebih 100 kegiatan kebahasaan, kesusasteraan, penerbitan dan budaya akan dilaksanakan sepanjang tahun ini yang merangkumi pelbagai peringkat masyarakat.

Menurut YBhg. SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan lagi, YB Fadhlina Sidek telah merestui langkah DBP untuk memartabatkan bahasa Melayu melalui pelaksanaan 25 buah sekolah angkat DBP demi melahirkan generasi bakat bahasa sejak usia muda dalam kalangan murid, di samping meningkatkan kompetensi guru dalam usaha memperkukuh bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara.

YB Fadhlina Sidek ketika menyampaikan sumbangan kepada sekolah angkat DBP, semalam.

Untuk menjayakan program ini, DBP telah memperuntukkan dana khusus berjumlah RM20,000.00 bagi setiap sekolah angkat DBP untuk melaksanakan pelbagai program bahasa, sastera dan penerbitan di sekolah.

Sementara itu, sumbangan kepada sekolah angkat DBP telah disampaikan oleh YB Fadhlina Sidek kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Maxwell, Kuala Lumpur; SMK Munshi Abdullah, Selangor; SMK Pendeta Za’ba, Negeri Sembilan; Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yok Bin, Melaka dan Sekolah Kebangsaan Sri Lanang, Melaka.

Kredit Foto: KHAIRUL AZHAR
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi