Diterbitkan pada 19 Mac 2026, 08:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sekali lagi membuka peluang kepada ahli akademik di seluruh negara untuk dicalonkan sebagai penerima Anugerah Akademik Bahasa Melayu (AABM) Tahun 2026, dengan tempoh pencalonan bermula dari 16 Mac hingga 15 Mei 2026.

Anugerah berprestij ini merupakan acara tahunan sejak tahun 2012 lagi telah menjadi  sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu pada peringkat pengajian tinggi. Sehingga kini, sebanyak 12 orang ahli akademik terkemuka telah dinobatkan sebagai penerima anugerah ini sejak mula diperkenalkan.

Pencalonan dibuka kepada semua ahli akademik di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dalam pelbagai bidang, termasuklah mereka yang berkhidmat di Hospital Pengajar Universiti (HPU). Hal ini bermakna bahawa pensyarah dan penyelidik dalam bidang sains, kejuruteraan, perubatan mahupun sains sosial layak untuk dicalonkan, selagi memenuhi syarat umum penyertaan yang ditetapkan.

Terdapat tiga kategori utama anugerah yang dipertandingkan, iaitu Anugerah Terbaik Akademik Bahasa Melayu, Anugerah Harapan Akademik Bahasa Melayu, serta Anugerah Sektor Teknikal Bahasa Melayu. Setiap kategori diwujudkan bagi menghargai sumbangan akademik yang berbeza-beza, daripada mereka yang sudah lama berdedikasi kepada bahasa Melayu sehinggalah kepada individu muda yang mempunyai potensi besar pada masa hadapan.

Calon yang terpilih dan dinobatkan sebagai penerima anugerah akan membawa pulang hadiah dalam bentuk wang tunai, trofi, serta sijil penghargaan sebagai pengiktirafan atas jasa dan komitmen mereka demi mengangkat martabat bahasa Melayu dalam arena akademik.

Anugerah ini selaras dengan Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di Institusi Pendidikan Tinggi Awam 2023–2030 yang sedang dilaksanakan oleh kementerian.

Mereka yang berminat untuk menyertai anugerah ini boleh mengimbas kod QR yang dilampirkan bersama-sama dengan poster penyertaan untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai syarat permohonan dan memuat turun borang pencalonan, atau layari laman sesawang rasmi di Anugerah Akademik Bahasa Melayu Tahun 2026 .

Kredit Foto: FACEBOOK KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi