Diterbitkan pada 19 Mac 2026, 13:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Dalam arus pendigitalan yang semakin pesat, surat rasmi terus berdiri sebagai wahana komunikasi yang berwibawa dan tidak lapuk ditelan zaman. Surat rasmi bukan sahaja berfungsi sebagai alat penyampaian maklumat, malah menjadi cerminan imej, integriti dan profesionalisme sesebuah organisasi.
Hakikat ini diperincikan menerusi episod empat bagi program Ratna Kata INTAN: Menutur Ilham, Mencorak Perkhidmatan yang mengangkat tajuk “Surat Rasmi Era Digital: Masih Relevankah?” Program anjuran Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) itu menampilkan Tuan Ahmad Burhan Sidqi bin Dato’ A. Rahim, Penolong Pegawai Undang-undang Majlis Daerah Besut merangkap Munsyi Muda Bahasa PBT sebagai hos.
Perbincangan turut disertai oleh Encik Mohamad Ikhwan Al Syahid bin Abdullah Tahir, Perunding Latihan yang juga merupakan Munsyi Muda Bahasa INTAN, serta Dr. Mohd Haz Hairul bin Amran Rajadran, Pegawai Farmasi Hospital Kuala Lumpur merangkap Munsyi Muda Bahasa Kementerian Kesihatan Malaysia.
Wacana tersebut menyingkap realiti semasa bahawa meskipun medium komunikasi telah beralih daripada bentuk bercetak kepada platform digital seperti e-mel dan sistem dalam talian, prinsip dan struktur surat rasmi tetap kekal sebagai asas penting dalam urusan pentadbiran.
Menurut panel, transformasi digital yang berlaku hari ini mempercepat proses penyediaan dan penghantaran dokumen rasmi. Namun begitu, perubahan ini turut menuntut tahap ketelitian yang lebih tinggi dalam kalangan penjawat awam bagi mengelakkan kesalahan bahasa, kekaburan maklumat serta kecuaian yang boleh menjejaskan kredibiliti penyampaian.
Perbincangan itu juga menekankan kepentingan pematuhan terhadap format penulisan yang standard, penggunaan bahasa Melayu baku serta gaya penyampaian yang sopan dan jelas.
Dalam konteks ini, disiplin penulisan surat rasmi dilihat sebagai elemen yang tidak boleh dikompromi walaupun medium komunikasi telah berubah.
Selain menghuraikan kepentingan surat rasmi, episod tersebut turut mengupas kesalahan lazim dalam penulisan serta menyediakan panduan praktikal bagi meningkatkan kejelasan dan keberkesanan komunikasi rasmi. Usaha ini selari dengan aspirasi untuk memartabatkan bahasa kebangsaan dalam setiap urusan pentadbiran negara.
Program Ratna Kata INTAN mencerminkan komitmen berterusan INTAN dalam usaha memperkasakan kompetensi komunikasi penjawat awam agar kekal relevan, berdaya saing dan berintegriti bagi mendepani cabaran era digital.
Orang ramai serta warga perkhidmatan awam disarankan untuk mengikuti siri ini sebagai medium pembelajaran berterusan bagi memperkukuh kemahiran berbahasa dan berkomunikasi secara profesional.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi