Diterbitkan pada 2 April 2026, 23:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Pilah – Bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang ke-70, satu program Wacana Za’ba bertajuk “Pahlawan Bahasa” telah diadakan hari ini di Kompleks Rakan Muda, Kuala Pilah bagi mengenang jasa serta pemikiran tokoh naskhah agung Pendeta Za’ba.

Program yang memfokuskan ketokohan Pendeta Za’ba sebagai “guru bangsa” ini menampilkan Pengerusi Akademi Jawi Malaysia (AJM), Encik Muhammad Syukri Rosli sebagai moderator berserta dua ahli panel, iaitu Ketua Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN), Puan Nisah Haron dan Presiden Benevolent Malaysia, Encik Muhamad Hanapi Jamaludin bagi mengupas relevansi pemikiran tokoh tersebut bagi mendepani cabaran pada era digital.

Moderator bersama-sama barisan panel Wacana Za’ba bertajuk “Pahlawan Bahasa” bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun DBP ke-70 yang berlangsung di Kompleks Rakan Muda, Kuala Pilah.

Pada sesi wacana tersebut, Encik Muhammad Hanapi menekankan tentang kepatuhan konsisten Za’ba dalam usaha mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. 

Beliau merujuk konsep “madrasah besar” yang dicetuskan oleh Za’ba sejak tahun 1913, iaitu penubuhan universiti dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai perantara ilmu sains dan agama.

Memetik kata-kata keramat Za’ba, beliau menyatakan bahawa,

 Tidak ada mana-mana bangsa yang besar dengan memakai bahasa orang lain dan tidak ada mana-mana penciptaan kelengkapan teknologi yang dapat dihasilkan daripada bahasa orang lain.

Selain bahasa, wacana ini turut menyentuh peranan Za’ba sebagai seorang moralis yang berusaha memulihkan perangai dan pemikiran masyarakat Melayu. Buku Za’ba yang berjudul Kemiskinan Melayu (1923) diangkat sebagai rujukan penting bagi membincangkan kemiskinan dari sudut harta benda serta kelengkapan minda. 

Menurut Encik Muhamad Hanapi Jamaludin, Za’ba bukan sekadar ahli bahasa, malah dianggap oleh Profesor Diraja Ungku Aziz sebagai pengarang tertua dalam bidang ekonomi Melayu.

Peserta Program Wacana Za’ba yang bertajuk “Pahlawan Bahasa” di Kompleks Rakan Muda, Kuala Pilah.

Menyentuh isu semasa, Puan Nisah Haron membicarakan tentang pengaruh naskhah Ilmu Mengarang Melayu bagi mendepani gelombang kecerdasan buatan atau disebut juga sebagai artificial intelligence (AI). Beliau menegaskan bahawa meskipun AI mampu memproses data dengan pantas, namun teknologi ini tidak mempunyai kemampuan mengarang yang sebenar kerana AI dianggap sekadar mesin peniru.

“AI ialah alat yang tidak ada kemampuan mengarang, tetapi mempunyai kemampuan untuk menyalin,” ujar beliau. 

Tambah beliau lagi, elemen manusiawi dan retorik yang diajarkan oleh Za’ba tetap relevan untuk mewujudkan suatu penulisan yang mempunyai jiwa dan makna yang mendalam. Beliau menyarankan agar penulis masa ini menggunakan teknologi sebagai alat bantuan tanpa memperhambakan akal kepada mesin.

Wacana ini turut menyasarkan golongan muda, iaitu Generasi Z dan Alpha agar tidak melihat karya Za’ba sebagai sesuatu yang kaku atau sukar. Encik Muhamad Hanapi Jamaludin percaya bahawa bahasa Za’ba mempunyai nilai estetika yang tersendiri, sekali gus mampu menarik minat generasi baharu jika diperkenalkan dengan cara yang betul.

“Setidak-tidaknya walaupun mereka membesar dengan zaman alat teknologi, jika mereka membaca tulisan Za’ba, mereka masih boleh berfikir dan menikmati kelazatan sasterawinya,” tambah beliau.

Wacana “Pahlawan Bahasa” ini diakhiri dengan harapan agar konsep wira yang dibawa oleh Za’ba terus dihayati oleh semua lapisan masyarakat, khususnya para pendidik, demi kelangsungan maruah dan bahasa bangsa.

Kredit Foto: Mohd Farid Janudin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi