Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPagoh – Jabatan Bahasa Melayu, Kuliah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengambil inisiatif dengan menganjurkan Kolokium “Ketika Kecerdasan Buatan (AI) Berbicara, Di Manakah Bahasa Melayu?” bagi membincangkan tentang isu kontemporari berkaitan dengan peranan bahasa Melayu pada era AI.
Wacana akademik ini telah dilaksanakan pada 8 April 2026 di Dewan Kuliah B3, UIAM, Kampus Pagoh dengan sesi forum yang bertajuk “Bahasa Melayu dalam Era Kecerdasan Buatan – Cabaran dan Peluang” sebagai pengisian utama kolokium. Forum ini menghimpunkan tokoh akademik terkemuka, iaitu Rektor UIAM, YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar dan YBrs. Profesor Madya Dr. Azreen Azman dari Universiti Putra Malaysia sebagai panel forum, serta YBrs. Dr. Nurul Jamilah Rosly selaku moderator.

Dalam sesi tersebut, Profesor Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar menekankan bahawa pemerkayaan istilah teknikal dalam bahasa Melayu sangat penting bagi memungkinkan bahasa Melayu digunakan secara menyeluruh dalam bidang AI. Menurut beliau lagi, antara faktor yang menyumbang kepada kemerosotan bahasa Melayu sebagai bahasa teknologi ialah penyusutan penerbitan artikel ilmiah atau separa ilmiah dalam pelbagai bidang ilmu, khususnya bidang AI.
Menyentuh aspek teknikal, Profesor Madya Dr. Azreen Azman menjelaskan bahawa kekurangan data yang berkualiti tinggi dan boleh dibaca oleh mesin merupakan cabaran utama bahasa Melayu untuk bermanfaat dalam pembangunan produk AI. Tambah beliau, model AI bahasa Melayu yang baik turut dipengaruhi oleh beberapa aspek seperti infrastruktur yang mantap dan kepakaran kejuruteraan model di samping data bahasa Melayu yang berkualiti tinggi yang dapat memahami kepelbagaian konteks budaya di Malaysia.
Terdahulu, YBrs. Profesor Madya Dr. Mohd Azrul Azlen, Dekan Kuliah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari menyampaikan ucapan alu-aluan sebagai pembuka tirai kolokium terbabit. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa ancaman AI terhadap bahasa Melayu kian meruncing pada era digital.
“AI telah mengubah cara manusia bekerja, belajar, berkomunikasi dan membuat keputusan. Teknologi AI bukan lagi isu masa hadapan tetapi menjadi isu realiti kini yang perlu cekap ditangani supaya kedaulatan bahasa kita terpelihara. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa peradaban, bahasa sejarah, dan bahasa ilmu perlu dikekalkan dan dimartabatkan,” ujar beliau.