Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSerdang – Bahasa Melayu perlu terus diperkukuh sebagai teras pembinaan peradaban bangsa, khususnya untuk mendepani cabaran era digital dan globalisasi.
Demikian kenyataan yang menjadi inti pati penting dalam Majlis Penangguhan Seminar Antarabangsa Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu ke-12 (SALPBM XII) yang berlangsung di Auditorium Za’ba, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.
Majlis penangguhan SALPBM XII ini disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Tuan Haji Mohd. Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed, mewakili Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari.
Dalam ucapan perasmian penangguhannya, beliau menzahirkan penghargaan kepada penganjur utama, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM bersama-sama DBP melalui Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan seminar ini.

Menurut beliau, bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi, sebaliknya merupakan wahana penting dalam pembinaan tamadun dan jati diri bangsa.
Bahasa Melayu bukan sahaja berperanan sebagai alat komunikasi mekanikal tetapi merupakan wahana pemikiran, penyampaian ilmu tinggi dan pembinaan tamadun yang mencerminkan jati diri bangsa.
Pada masa yang sama, beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh kedudukan bahasa Melayu pada era teknologi dan kecerdasan buatan (AI).
Menurut beliau, bahasa berisiko untuk terpinggir sekiranya tidak mempunyai terma digital yang kukuh pada era teknologi masa ini, khususnya apabila kurang digunakan dalam platform digital, kandungan dalam talian serta sistem teknologi AI. Hal ini sekali gus mengehadkan peranannya sebagai bahasa ilmu dan komunikasi global.
Kita harus sedar bahawa dalam dunia algoritma hari ini, bahasa yang tidak mempunyai kehadiran digital yang kuat berisiko untuk terpinggir,” ujarnya.
Mengulas usaha pemerkasaan bahasa, beliau memaklumkan bahawa kerajaan telah meluluskan pelaksanaan Kurikulum Standard Bahasa Melayu (KSBM) yang akan digerakkan di pelbagai kementerian serta institusi pendidikan tinggi.
Inisiatif ini disifatkan sebagai satu pencapaian besar dalam usaha memperkukuh penggunaan bahasa Melayu secara lebih menyeluruh dan sistematik di negara ini.
Selain itu, DBP turut memperkenalkan pelbagai inisiatif baharu termasuk program Sekolah Angkat, pengenalan geran penyelidikan untuk universiti serta kerjasama penterjemahan hadis bagi memperkaya khazanah ilmu dalam bahasa Melayu.
Usaha ini turut disokong oleh kerajaan melalui peruntukan khas bagi memastikan pelaksanaannya berjalan dengan lancar dan berimpak tinggi.
Beliau juga menekankan tentang kepentingan jaringan kerjasama antara institusi pendidikan, agensi kerajaan dengan rakan sinergi antarabangsa bagi memastikan bahasa Melayu terus berkembang sebagai bahasa ilmu pada peringkat global.
Potensi bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan turut diberi perhatian melalui pelbagai program pengantarabangsaan yang dirancang secara strategik, termasuklah program pengukuhan jaringan kerjasama dengan institusi pendidikan luar negara, perluasan Kursi Bahasa Melayu serta penganjuran program akademik dan kebudayaan pada peringkat serantau dan global demi meningkatkan pengiktirafan bahasa Melayu di persada antarabangsa.
Mengakhiri ucapannya, beliau menyeru agar resolusi dan dapatan seminar ini diterjemahkan kepada tindakan yang lebih konkrit demi kelangsungan bahasa Melayu sebagai bahasa peradaban.
Usaha kolektif kita dalam seminar ini bukanlah sekadar rutin akademik, melainkan satu tanggungjawab sejarah untuk memastikan obor tamadun Melayu tetap ampuh dan bercahaya,” ujar beliau.