Diterbitkan pada 26 April 2026, 08:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terus mengorak langkah proaktif bagi memasyarakatkan bahasa kebangsaan melalui penganjuran program Eksplorasi Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) bersempena dengan acara Kota Baca 2026 yang berlangsung pada 24 April 2026 hingga 26 April 2026.

Inisiatif ini berjaya menarik penyertaan komuniti menerusi tujuh stesen aktiviti yang menggabungkan permainan tradisional dengan elemen kebahasaan bagi menyemarakkan lagi kecintaan terhadap bahasa kebangsaan.

Di stesen pertama yang terletak di Bangunan Sultan Abdul Samad, para peserta diuji dengan aktiviti fizikal Timbang Bulu Ayam sebelum perlu menyelesaikan aktiviti Cari Pantun.

Dalam aktiviti tersebut, para peserta dikehendaki menggunakan portal Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) untuk mencari rangkap pantun berdasarkan kata kunci khusus seperti “KOTA”.

Seterusnya, di stesen Perpustakaan Kuala Lumpur, aktiviti Susun Suai Gambar disusuli dengan cabaran Biasakan yang Betul, Betulkan yang Biasa memfokuskan ketepatan sistem masa.

Keunikan warisan tulisan turut diangkat di stesen Jambatan Masjid Jamek melalui aktiviti Pembudayaan Jawi apabila peserta perlu menukarkan rangkap pantun daripada tulisan Rumi kepada Jawi.

Sementara itu, di stesen LED Pentas Utama, semangat sastera disuburkan menerusi aktiviti Suluh Sasterawan yang memerlukan peserta menyenaraikan barisan penerima Anugerah Sastera Negara setelah selesai bermain dalam acara Batu Seremban.

Aspek bahasa ilmu dan istilah teknikal pula ditekankan di stesen Kelah Buku melalui aktiviti Istilah Sains apabila kesemua peserta perlu mencari padanan bahasa Melayu yang tepat bagi istilah sumber seperti main cluster dan herd mentality selepas melakukan aktiviti Tampi Kacang (Asingkan Kacang Hijau).

Aktiviti Tampi Kacang (Asingkan Kacang Hijau) yang disertai oleh peserta sebelum perlu mencari padanan bahasa Melayu yang tepat bagi istilah sains dalam PRPM.

Program diteruskan lagi di pinggir sungai dengan cabaran Lingkaran Kata dan permainan Kon Piramid Bola, sebelum berakhir di stesen ketujuh berdekatan Gereja St. Mary yang menampilkan aktiviti Teka Simpulan Bahasa dan permainan Baling Selipar.

Para peserta melengkapkan permainan Baling Selipar sebelum menjawab aktiviti Teka Simpulan Bahasa.

Melalui gabungan aktiviti fizikal dan rujukan digital PRPM ini, DBP berjaya memperkaya kosa kata dan pengetahuan sastera masyarakat dalam suasana yang cukup interaktif kepada komuniti yang hadir.

Selepas tamat aktiviti tersebut, sidang editor JendelaDBP berkesempatan menemu ramah salah seorang peserta program Eksplorasi PRPM, iaitu Denish Kamil, pelajar Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia dari Kajang High School yang berkongsi pengalaman sepanjang penyertaan program tersebut.

Dalam sesi temu bual tersebut, Denish menyatakan bahawa program ini berjaya menguji ketajaman minda peserta untuk mengimbas kembali sukatan pelajaran bahasa Melayu yang pernah dipelajari sebelum ini.

“Aspek penulisan Jawi merupakan antara cabaran yang paling besar yang menuntut ketelitian dan ingatan yang kuat,” jelasnya.

Pada masa yang sama, Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Puan Roziah Md. Yunus menyempurnakan  majlis penyampaian hadiah kepada para peserta yang menyertai program tersebut.

Kumpulan Munsyi Muda Bahasa (MMB) muncul  sebagai Johan Eksplorasi PRPM dengan berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM800.00, baucar buku DBP bernilai RM200.00, serta pakej percutian eksklusif ke DBP.

Kumpulan MMB dinobatkan sebagai johan bagi program Eksplorasi PRPM.

Naib Johan dimenangi oleh kumpulan Trio Tenang apabila berjaya membawa wang tunai berjumlah RM600.00 dan baucar buku DBP bernilai RM200.00.

Sementara itu, tempat ketiga disandang oleh kumpulan Bestari yang menerima hadiah wang tunai sebanyak RM500.00 berserta baucar buku DBP bernilai RM100.00.

Selain hadiah utama, lima kumpulan turut diiktiraf sebagai penerima hadiah sagu hati, iaitu kumpulan Samudera Kasih, Gemala Sakti, Satria Pujangga, Tiga Srikandi dan Jejak Leksikal yang masing-masing membawa wang tunai sebanyak RM400.00 berserta baucar buku DBP.

Kredit Foto: Mohd Farid Januddin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi