Diterbitkan pada 27 April 2026, 23:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Keakraban ini direalisasikan atas usaha mendiang Prof. Dr. Wu Zongyu yang telah memperkenalkan jurusan Bahasa Melayu pada tahun 1962 di Beijing Foreign Studies University (BFSU), China.”

YBhg. Profesor Dr. Indirawati Zahid selaku panel dalam sesi Syarahan Umum Pertama “Hubungan Peradaban China-Malaysia dan Dinamik Pembelajaran” bersempena dengan Kem Interaksi Bahasa dan Budaya Belia China-Malaysia 2026.

Demikian ucapan Penyandang Kursi, Pengajian Melayu Sultan Ibrahim, BFSU, China, YBhg. Profesor Dr. Indirawati Zahid selaku panel dalam sesi Syarahan Umum Pertama “Hubungan Peradaban China-Malaysia dan Dinamik Pembelajaran” bersempena dengan Kem Interaksi Bahasa dan Budaya Belia China-Malaysia 2026 di Auditorium Institut Kong Zi, Universiti Malaya (UM), petang tadi.

Ujar beliau,

Jumlah institusi ini terus bertambah, berkembang dan kini sudah ada 18 institusi yang menawarkan Bahasa Melayu bagi peringkat ijazah, diploma dan mata pelajaran elektif.

Profesor Dr. Indirawati turut menekankan bahawa apabila individu mempelajari bahasa Melayu, sebenarnya individu itu turut mempelajari budaya Melayu. Hal ini dikatakan demikian kerana dalam sesuatu budaya ada bahasanya.

Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa Malaysia dan China memperlihatkan persamaan yang signifikan dalam tamadun komunikasi, yang masing-masingnya berteraskan ajaran Islam dan falsafah Konfusianisme.

“Kedua-duanya (Malaysia dan China) menekankan nilai kesantunan, keharmonian serta pengawalan diri dalam interaksi sosial.”

Tambah beliau lagi,

Persamaan ini memperlihatkan bahawa komunikasi dalam kedua-dua budaya tidak sekadar bersifat linguistik, tetapi merupakan manifestasi nilai budaya yang berfungsi untuk mengelakkan konflik dan mengekalkan keseimbangan hubungan sosial.

Majlis perasmian syarahan umum yang berlangsung dengan jayanya di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Putrajaya, Malaysia pada pagi tadi bertujuan untuk memperkasakan lagi hubungan diplomatik antara Malaysia dengan China.

Pengarah (Malaysia), Institut Kong Zi, UM, YBrs. Dr. Nur Shahadah Jamil.

Sesi syarahan umum pertama ini terdiri membawa empat orang ahli panel, iaitu Pengarah (Malaysia), Institut Kong Zi, UM, YBrs. Dr. Nur Shahadah Jamil; Pengarah (China), Institut Kong Zi, UM, YBrs. Cik Zhao Wanzhen; Pensyandang Kursi, Pengajian Melayu Sultan Ibrahim, BFSU, China, YBhg. Profesor Dr. Indirawati Zahid; dan Dekan Fakulti Pengajian Asia dan Pengarah Pusat Pengajian Melayu China, BFSU, China, YBhg. Profesor Dr. Su Yingying.

Pengarah (China), Institut Kong Zi, UM, YBrs. Cik Zhao Wanzhen.

Terdahulu dalam ucapan alu-aluan, Pengarah (China), Institut Kong Zi, YBrs. Cik Zhao Wanzhen menyatakan bahawa tema “Hubungan Peradaban China-Malaysia dan Dinamik Pembelajaran” yang diangkat dalam syarahan umum pertama ini dilihat sangat penting dalam konteks global hari ini.

Walaupun terdapat perbezaan budaya dan bahasa, nilai kemanusiaan serta semangat pembelajaran sentiasa menjadi jambatan yang menghubungkan kita.

Ujar beliau lagi,

“Saya berharap sesi hari ini bukan sahaja memberikan ilmu, tetapi juga memberikan inspirasi dan keseronokan.”

“Saya juga berharap agar program ini dapat memberikan manfaat yang besar kepada semua peserta serta membuka lebih banyak ruang kerjasama dan persefahaman antara belia China dengan belia Malaysia pada masa akan datang.”

Dekan Fakulti Pengajian Asia dan Pengarah Pusat Pengajian Melayu China, BFSU, China, YBhg. Profesor Dr. Su Yingying.
Kredit Foto: Syafiq Selamat
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi