Diterbitkan pada 29 April 2026, 14:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bangi – “Bagi saya, perkara ini sangat menarik, sangat objektif dan tiada prasangka atau prejudis sehingga mereka (istana China) meletakkan bahasa Melayu di bawah Jabatan Bahasa-bahasa Islam.”

YBhg. Profesor Emeritus Datuk Seri Dr. Awang Sariyan ketika menyampaikan syarahan umum di Bangunan Tun Fatimah Hashim,UKM pada pagi tadi.

Demikian ucapan Profesor Emeritus, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), YBhg. Profesor Emeritus Datuk Seri Dr. Awang Sariyan dalam Majlis Syarahan Umum bersempena dengan Kem Interaksi Bahasa dan Budaya Belia China-Malaysia 2026 yang mengangkat tema “Keharmonian dan Kemakmuran China-Malaysia” di Bilik Latihan Aras 2, Bangunan Tun Fatimah Hashim, UKM pada pagi tadi.

Menurut YBhg. Profesor Emeritus Datuk Seri Dr. Awang Sariyan selaku panel jemputan dalam syarahan tersebut, aspek lain yang penting sebagai kesan positif hubungan Malaysia dengan China telah meningkatkan martabat bahasa Melayu apabila istana China memberikan perhatian terhadap bahasa Melayu sebagai satu daripada bahasa asing yang penting.

Selain itu, Maharaja China menubuhkan Biro Jurubahasa (Da Tong Shi) yang terdiri daripada 60 orang jurubahasa, termasuk dua orang untuk Melaka dan Sumatera.

Dalam tahun 1405, Maharaja Ming Cheng Zhu menubuhkan akademi bahasa Si Yi Guan untuk melatih jurubahasa di Ying Tian Fu (Nanjing).

Bahasa Melayu diletakkan di bawah Jabatan Bahasa-bahasa Islam (Hui Hui Guan), bersama-sama dengan bahasa Arab, Parsi dan beberapa bahasa Islam lain. Jadi ertinya, kerajaan China pun sudah mengetahui bahawa bahasa Melayu ini sangat rapat dengan agama Islam.

YBhg. Profesor Emeritus Datuk Seri Dr. Awang Sariyan turut menyatakan bahawa perhatian terhadap bahasa Melayu kemudian disusuli dengan penyusunan kamus Melayu-China yang berjudul Man La Jia Guo Yi Yu (Senarai Perkataan Melaka) dan menjadi rujukan penting hingga abad ke-16.

Terdapat 482 lemma atau entri dalam kamus itu yang mewakili 17 bidang kehidupan di alam Melayu termasuklah astronomi, geografi, cuaca, masa, flora dan fauna, anatomi, istana dan bangunan, barang kemas, sosial, sejarah serta warna.

Pengarah ATMA, YBrs. Profesor Madya Dr. Asyaari Muhamad (kanan) bersama-sama ahli panel syarahan umum pada pagi tadi.

Terdahulu dalam ucapan alu-aluan, Pengarah ATMA, YBrs. Profesor Madya Dr. Asyaari Muhamad menzahirkan rasa kesyukuran atas pengajuran syarahan umum tersebut kerana di samping dapat memperkukuh kefahaman silang budaya, program ini juga dapat memperluas jaringan antarabangsa serta menggalakkan dialog ilmiah dalam konteks hubungan strategik Malaysia–China, khususnya dalam kalangan belia.

Ujar beliau,

Seperti syarahan yang lepas, syarahan pada hari ini kita pasti dapat melihat belia dari kedua-dua buah negara berkongsi banyak maklumat terutamanya yang berkaitan dengan budaya, warisan dan sejarah negara.

Yang turut hadir dalam syarahan tersebut ialah Penyandang Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim, YBbhg. Profesor Dr. Indirawati Zahid; Dekan Fakulti Pengajian Asia dan Pengarah Pusat Pengajian Melayu China, BFSU, China, YBhg. Profesor Dr. Su Yingying; dan Timbalan Pengarah ATMA, YBrs. Dr. Junaini Kasdan.

Kredit Foto: MOHD FARID JANUDIN
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi