Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Merbok – Bahasa Melayu semakin mendapat perhatian oleh negara maju seperti Rusia, Korea dan China. Namun, pada masa yang sama masih berhadapan dengan cabaran dari segi penghargaan dalam kalangan masyarakat tempatan.
Perkara ini ditegaskan oleh Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBhg. Profesor Dr. Goh Sang Seong dalam ucapannya ketika program Wacana Bahasa “Jiwa Cendekia” bersempena dengan Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun DBP ke-70 Peringkat Zon Utara yang berlangsung di Dewan Perdana, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Merbok, Kedah, hari ini.
Dalam ucapannya, beliau menyentuh isu kedudukan sebenar bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa global. Menurut beliau, terdapat percanggahan ketara antara pengiktirafan terhadap kemajuan bahasa Melayu dengan sikap penuturnya sendiri.
“Kebanyakan orang mengatakan bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa maju, tetapi pada waktu yang sama ramai antara penduduk tempatan yang tidak menghormati bahasa Melayu,” ujar beliau.
Menurut beliau, masyarakat yang bergantung pada penggunaan bahasa asing dalam pertuturan harian bukan sahaja menjejaskan keaslian bahasa Melayu, malah mempengaruhi cara mereka membina ayat dan menyusun idea.
“Mampukah kita berbicara dalam bahasa Melayu secara penuh dan lancar tanpa memerlukan bantuan pengaruh bahasa asing untuk menyampaikan mesej?” soal beliau.

Pada masa yang sama, beliau turut menyatakan bahawa bahasa Melayu kini semakin berkembang di luar negara melalui usaha pengantarabangsaan yang giat dijalankan di Rusia, Korea dan China.
Hal ini telah membuka ruang terhadap penyebaran bahasa Melayu. Hal sekali gus membuktikan bahawa bahasa ini berpotensi besar sebagai bahasa ilmu pada peringkat global.
“Kejayaan ini membuktikan peranan DBP sebagai satu institusi kerajaan yang telah lama memperjuangkan penyeragaman tatabahasa,” ujar beliau.
Langkah ini penting bagi memastikan bahasa Melayu mempunyai sistem yang mantap dan setanding dengan bahasa antarabangsa lain.
Selain itu, beliau turut mengingatkan bahawa teknologi kecerdasan buatan (AI) masih belum mampu menggantikan ketelitian manusia, khususnya dalam aspek bahasa dan makna.
Beliau menyeru rakyat Malaysia agar lebih yakin dan konsisten menggunakan bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi, pendidikan dan komunikasi harian sebagai usaha memartabatkan bahasa Melayu.