Diterbitkan pada 12 Mei 2026, 16:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bangi – Festival Bitara Melayu 2026 atau FESTIARA 2026 anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Tengah dengan Kelab Pengajian Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berlangsung pada 12 hingga 14 Mei 2026.

Pelbagai acara diadakan sebagai pengisian FESTIARA 2026 termasuklah pameran budaya Melayu dan kearifan tempatan, serta acara berbentuk pertandingan seperti deklamasi sajak, dendangan syair, penulisan cerpen, resensi buku dan penciptaan poster bertemakan “Restu Jiwa Pahlawan”.

Majlis perasmian FESTIARA 2026 telah disempurnakan oleh YBhg. Sasterawan Negara (SN), Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP. Dalam ucapan perasmiannya, SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan menegaskan kepentingan program seumpama FESTIARA yang mendukung usaha memartabatkan warisan kebudayaan bangsa supaya terus mekar dalam jiwa generasi muda.

Para peserta dan urus setia yang menjayakan program Festival Bitara Melayu 2026

“Seni warisan seperti syair, pantun dan lagu irama tradisional bukan sekadar hiburan, tetapi lambang jati diri yang perlu dipertahankan. Jangan sampai kita kehilangan akal budi yang menjadi kekuatan dan kebijaksanaan bangsa kita. Saya yakin, melalui program FESTIARA secara tidak langsung dapat menanam rasa cinta terhadap bahasa dan budaya dalam jiwa anak bangsa Melayu,” demikian ujar beliau.

Sebelum itu, YBhg. SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan berkongsi pengalaman sebagai pengarang dan penyunting buku yang membawa beliau meraih gelaran Sasterawan Negara melalui Wacana Bitara Melayu bertajuk “Sastera Menyulam Kebitaraan: Suara Seorang Sasterawan Negara”.

SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan semasa sesi Wacana Bitara Melayu bertajuk “Sastera Menyulam Kebitaraan: Suara Seorang Sasterawan Negara”.

Dari sudut pandangan sebagai seorang pengarang, SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan memulakan wacana dengan naratif beliau sebagai penulis sejak zaman beliau bersekolah. Kegemaran beliau dengan aktiviti membaca secara langsung mempengaruhi beliau untuk menulis karya kreatif, terutama cerpen. Beliau turut menulis puisi, namun merasakan penulisan puisi agak sukar berbanding dengan penulisan skrip drama, cerpen atau novel.

Dari sudut pandang seorang penyunting pula, SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan mengakui beliau terbawa-bawa tabiat menulis dalam kerjanya sebagai editor. Bermakna, dalam proses menyunting karya orang lain, beliau juga seolah-olah menulis karya tersebut dan menyuntingnya seperti karya itu hasil tulisan beliau. Hal inilah yang berlaku semasa beliau menyunting karya SN Arena Wati. Oleh sebab itulah, sebelum menghantar karya untuk peraduan atau sayembara,  SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan akan menyemak karyanya sebanyak 13 kali sebelum diserahkan kepada urus setia peraduan menulis novel.

Pengarah DBP Wilayah Tengah, YBrs. Puan Nurul Julia Alani Henry menunjukkan hasil karya yang diterbitkan DBP di reruai sekitar FESTIARA 2026.

Yang turut hadir dalam majlis perasmian FESTIARA 2026 termasuklah Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM, YBrs. Prof. Dr. Kadaruddin Aiyub; Pengerusi Pusat Kajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, UKM, YBrs. Dr. Maslida Yusof dan Pengarah DBP Wilayah Tengah, YBrs. Puan Nurul Julia Alani Henry, serta pensyarah Pusat Kajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu seperti YBrs. Dr. Mawar Safei, penerima SEA Write Award 2018, YBrs. Dr. Nur Afifah Vanitha Abdullah, YBrs. Dr. Zubir Idris dan YBrs. Dr. Wan Robiah Meor Osman.

 

Kredit Foto: Hanafi Mohd Yusof
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi