Diterbitkan pada 1 Jun 2026, 15:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Penggunaan bahasa Melayu yang betul dan gramatis perlu dijadikan amalan dalam kehidupan seharian bagi memastikan bahasa kebangsaan terus dipelihara dan dimartabatkan. 

Perkara tersebut ditekankan oleh Munsyi Dewan (Bahasa), Encik Mohd Rosle Said, menerusi program Betulkan yang Biasa, Biasakan yang Betul Bersama-sama Munsyi Dewan (Bahasa) anjuran Akademi DBP yang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026, hari ini.

Dalam sesi perkongsian tersebut, beliau membincangkan pelbagai isu berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu yang sering menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat, khususnya dari aspek ejaan, pembentukan kata, penggunaan imbuhan serta struktur ayat yang gramatis.

Menurut beliau, terdapat banyak kesalahan bahasa yang berlaku apabila pengguna tidak memahami konsep asas pembentukan kata dalam bahasa Melayu, terutamanya yang melibatkan kata majmuk dan kata ganda.

Hari ini saya akan menekankan penggunaan kata majmuk dan kata ganda yang selalu kita gunakan dan kadangkala kita keliru untuk menentukan penggunaannya dengan betul,” ujar beliau.

Beliau menjelaskan bahawa kata majmuk seperti “ibu bapa”, “ambil alih” dan “berkuat kuasa” perlu dieja secara berasingan, manakala hanya sebilangan kecil kata majmuk mantap seperti “kerjasama”, “suruhanjaya”, “bumiputera” dan “tandatangan” perlu dieja secara rapat.

Selain itu, beliau turut menerangkan bahawa tidak semua perkataan yang kelihatan seperti kata ganda sebenarnya tergolong dalam kategori tersebut. Sebagai contoh, perkataan seperti “sampah sarap” dan “bukit bukau” merupakan rangkai kata yang mempunyai makna tersendiri dan bukannya kata ganda seperti yang sering disangkakan oleh masyarakat.

Munsyi Dewan (Bahasa), Encik Mohd Rosle Said semasa menyampaikan perkongsiannya kepada pengunjung PBAKL di reruai DBP.

Pada masa yang sama, Encik Mohd Rosle Said turut mengemukakan pelbagai contoh ayat dan meminta hadirin mengenal pasti kesalahan bahasa yang terdapat dalam ayat berkenaan. 

Pendekatan interaktif ini berjaya menarik perhatian peserta yang terdiri daripada pengunjung PBAKL dan pencinta bahasa.

Beliau turut menghuraikan penggunaan imbuhan pinjaman seperti pra-, anti-, pro- dan dwi- yang perlu dieja secara rapat dengan kata dasar, kecuali apabila melibatkan kata nama khas yang memerlukan penggunaan sempang dan penggunaan huruf besar pada awal perkataan seperti pro-Amerika.

Menurut beliau, masyarakat juga sering melakukan kesilapan dalam penggunaan kata kerja transitif dan kata kerja tak transitif, termasuk penggunaan frasa seperti “membincangkan tentang” dan “menanyakan tentang”, yang tidak menepati tatabahasa bahasa Melayu standard.

Para pengunjung yang menyertai sesi perkongsian Betulkan yang Biasa, Biasakan yang Betul Bersama-sama Munsyi Dewan (Bahasa) di reruai DBP hari ini.

Mengakhiri perkongsiannya, beliau mengingatkan bahawa masyarakat perlu sentiasa berusaha membetulkan penggunaan bahasa agar kesilapan yang dilakukan tidak berulang sehingga dianggap sebagai bentuk yang betul.

“Dalam bahasa Melayu kita harus mengelakkan kesilapan. Terdapat perbezaan antara kesilapan dengan kesalahan. Kesilapan ini berlaku dalam konteks tidak disengajakan kerana kita tidak tahu, tetapi apabila perkara yang salah digunakan secara berulang kali sehingga dianggap betul, maka itu sudah menjadi kesalahan,” ujarnya.

Beliau turut menasihatkan masyarakat supaya sentiasa menggunakan bahasa Melayu dengan betul dan gramatis demi memartabatkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu, bahasa komunikasi dan bahasa perpaduan negara.

Program kemudiannya diteruskan dengan sesi kuiz didik hibur menggunakan platform Kahoot yang dikendalikan oleh moderator, Puan Nur Syamiera Zahid yang merupakan Penolong Editor majalah Dewan Sastera.

Aktiviti ini dilaksanakan sebagai satu pendekatan pembelajaran interaktif yang bukan sahaja menyeronokkan, malah dapat menguji tahap kefahaman peserta secara spontan.

Para peserta menyertai sesi kuiz didik hibur menerusi Kahoot menggunakan telefon bimbit masing-masing.

Kuiz tersebut dibina berdasarkan aspek bahasa yang merangkumi konsep utama serta fakta penting yang disampaikan oleh Encik Mohd Rosle Said sepanjang berlangsungnya sesi tersebut.

Kredit Foto: Syafiq Selamat
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi