Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Sistem pendidikan negara perlu menyediakan ruang yang lebih luas kepada murid untuk menguasai pelbagai bahasa sebagai persediaan menghadapi persaingan pada peringkat global, kata Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bahasa Melayu akan terus kita junjung sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu. Pada masa yang sama, penguasaan bahasa Inggeris perlu diperkasakan agar generasi muda mampu meneroka dunia dan bersaing pada peringkat global.
YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian dalam pertemuan bersama-sama dengan warga Kementerian Pendidikan (KPM), hari ini.
Tambah beliau,
Usaha membangunkan sebuah negara yang hebat memerlukan rakyat menguasai ilmu, teknologi dan bahasa. Bahasa Melayu akan terus dijunjung sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu yang menjadi asas bagi pembinaan negara bangsa.
Pada masa sama, penguasaan bahasa Inggeris perlu terus diperkasakan bagi membolehkan generasi muda meneroka dunia, mencapai pelbagai sumber ilmu dan bersaing dengan yakin di pentas antarabangsa.
Beliau turut menegaskan bahawa sistem pendidikan negara perlu lebih inklusif dan berpandangan jauh dengan membuka peluang kepada murid mempelajari bahasa ketiga. Antara bahasa yang boleh diberi perhatian termasuklah bahasa Cina, bahasa Tamil, bahasa Arab dan bahasa Perancis berdasarkan minat serta keperluan murid.
Menurut beliau, kebolehan menguasai pelbagai bahasa bukan sekadar meningkatkan kemahiran berkomunikasi, malah memberikan nilai tambah kepada seseorang dalam dunia pekerjaan. Kemahiran itu juga mampu membuka lebih banyak peluang dalam bidang perdagangan, pelaburan, diplomasi dan pengurusan perniagaan antarabangsa.
YAB Perdana Menteri turut menegaskan bahawa penguasaan pelbagai bahasa merupakan bekalan penting bagi melahirkan generasi Malaysia yang berdaya saing dan berwibawa. Generasi muda yang mempunyai pengetahuan luas, mahir menggunakan teknologi dan mampu berkomunikasi dalam pelbagai bahasa akan berada pada kedudukan yang lebih baik untuk memacu kemajuan negara.