Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPada 15 Julai 2024, Malaysia dan Alam Melayu kehilangan tokoh luar biasa yang selama lebih 60 tahun mengasaskan dan mengembangkan bahasa Melayu di negara China. Tokoh tersebut ialah Profesor Wu Zong Yu yang meninggal dunia pada usia 85 tahun kerana mengalami penyakit Parkinson. Ketika penulis pulang ke Malaysia sesudah tamat amanah sebagai Penyandang Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di Beijing pada bulan Mac 2018, beliau memang sudah uzur, tetapi tetap bersemangat meneruskan usaha memartabatkan bahasa Melayu di negara leluhurnya, Republik Rakyat China.
Kenangan penulis sebagai seorang sahabat akrab beliau sejak hujung tahun 1980-an dengan segera mengimbas peristiwa penting dalam pemartabatan bahasa Melayu di luar negara apabila kerajaan Malaysia menghargai usaha beliau dengan pengurniaan Anugerah Tokoh Pejuang Bahasa Melayu Peringkat Antarabangsa pada 13 Oktober 2011, semasa majlis pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2011 di Melaka.
Anugerah yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Mohd. Yassin bukan sahaja menyaksikan ketekalan usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu pada peringkat negara, bahkan turut membuka lembaran penting perkembangan bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa. Pengurniaan Anugerah Tokoh Pejuang Bahasa Melayu Antarabangsa kepada Profesor Wu Zong Yu dalam majlis itu menandai pengiktirafan kerajaan Malaysia terhadap usaha mengantarabangsakan bahasa dan persuratan Melayu.
Hingga akhir hayatnya, Profesor Wu Zong Yu menjadi Pengarah Pusat Pengajian Melayu China di Universiti Pengajian Asing Beijing (BFSU), Republik Rakyat China. Beliau merupakan satu-satunya tokoh akademik yang tidak pernah bersara dan dibersarakan oleh majikannya kerana peranan besar beliau menjadi duta ilmu dan budaya antara negaranya dengan Malaysia dan negara di Alam Melayu. Profesor Wu Zong Yu yang mesra dengan panggilan Profesor Wu dilahirkan di Shanghai, China pada tahun 1939. Beliau mempelajari bahasa Indonesia di Universiti Peking pada tahun 1956 dan mendapat ijazah sarjana muda sastera dalam jurusan bahasa Indonesia pada tahun 1961.
Pada tahun itu juga, Profesor Wu telah diberikan tugas oleh pemerintah untuk menubuhkan Jurusan Bahasa Melayu di BFSU, iaitu Jurusan Bahasa Melayu varian Tanah Melayu (ketika itu belum terbentuk Persekutuan Melayu Malaysia) yang pertama di negara China. Dalam keadaan yang amat susah, terutama disebabkan kekurangan buku dan tenaga pengajar, beliau telah menyusun bahan pengajaran dan telah mula menerima pelajar bahasa Melayu angkatan pertama di China pada tahun 1962.
Sejak itu, Profesor Wu terus-menerus mengembangkan pengajaran bahasa Melayu dan telah menghasilkan sarjana pelapis serta hampir seribu orang anak didik yang bertugas sebagai pegawai diplomatik, jurubahasa, penterjemah, penyiar dan ahli korporat. Pada tahun 2011, iaitu tahun beliau diberikan anugerah oleh kerajaan Malaysia, menandai genapnya setengah abad atau 50 tahun beliau mengupayakan pengembangan bahasa dan persuratan Melayu di negara China. Hal ini bertepatan pula dengan sambutan ulang tahun ke-70 penubuhan BFSU, tempat beliau bertugas sejak awal kerjayanya.
Kisah Profesor Wu menyediakan bahan pengajaran bahasa Melayu dalam keadaan tiada sumber dan komuniti pengguna bahasa itu cukup menarik meskipun perit pada diri beliau. Buku dan majalah dari Tanah Melayu tidak mungkin dibawa masuk ke negara itu, disebabkan tiadanya hubungan diplomatik. Beliau mengagak-agak cara pertuturan dan struktur bahasa Melayu berdasarkan pengetahuannya tentang bahasa Indonesia dan hampir setiap malam mendengar dan merakam siaran radio “Suara Malaya” yang menampilkan beberapa orang Melayu yang ada di negara itu.
Apabila Malaysia menjalinkan hubungan diplomatik dengan Republik Rakyat China pada tahun 1974, barulah terbuka kemudahan untuk Profesor Wu memperoleh bahan bahasa dan persuratan Melayu. Pada tahun 1987, Profesor Wu mendapat peluang untuk melawat Malaysia sebagai jurubahasa Rombongan Akrobatik China. Kelancaran bahasa Melayu Profesor Wu mendapat sambutan yang begitu meriah baik daripada rakyat mahupun kerajaan Malaysia. Hal ini telah membuatkan hatinya menjadi tabah untuk meningkatkan kemajuan hubungan muhibah antara China dengan Malaysia.
Pada tahun 1989, Profesor Wu diundang menghadiri Kongres Bahasa Melayu Sedunia di Kuala Lumpur. Kertas kerja Profesor Wu yang berjudul “Pengajian Bahasa Melayu Tanpa Komuniti Bahasa” disambut baik, dan selepas itu beliau telah diundang oleh Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan Malaysia untuk melawat semua negeri di Malaysia dan memberikan 20 ceramah dalam jerayawara itu. Pada tahun itu juga, Profesor Wu telah berbincang dengan Dato’ Usman Awang dan Encik Tan Kai Hee untuk menubuhkan Persatuan Persahabatan China-Malaysia (PPCM) dan Persatuan Persahabatan Malaysia-China (PPMC). Di bawah usaha giat mereka, PPCM dan PPMC akhirnya berjaya ditubuhkan.
Pada tahun 1990-an, dengan hubungan China dan Malaysia semakin akrab, Profesor Wu telah berusaha mendorong jalinan hubungan antara Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dengan Lembaga Persahabatan Rakyat China dengan Luar Negeri. Tan Sri Dato’ Profesor Emeritus Dr. Ismail Hussein, Ketua Satu GAPENA pernah memberikan penilaian kepada Profesor Wu dengan berkata, “Dari zaman negara China yang agak tertutup, beliaulah merupakan jendela dan pintunya bagi kita. Sebagai intelektual yang cukup terbuka dan jujur, serta sangat sederhana gaya hidupnya, beliau menjadi satu daripada lambang mempelopori China baharu sebenarnya.”
Dalam usaha mendorong kemajuan hubungan China-Malaysia, Profesor Wu berpendapat bahawa untuk merapatkan hubungan kedua-dua buah negara itu, masyarakat Cina mestilah menumpukan perhatian untuk merapatkan hubungan negara China dengan masyarakat Melayu Malaysia, kerana beliau memahami kedudukan orang Melayu sebagai penduduk asal dan majoriti di Malaysia. Beliau pernah menegur Kedutaan Besar China di Malaysia yang mengundang wakil masyarakat Cina, tetapi amat kurang wakil masyarakat Melayu dalam majlis rasmi kerana keadaan itu tidak memenuhi gagasannya bahawa hubungan antara kedua-dua buah negara hendaklah berteraskan hubungan dengan penduduk majoriti. Untuk menjalinkan hubungan perniagaan China dan masyarakat Melayu Malaysia, Profesor Wu pernah dilantik sebagai penasihat bagi Persatuan Peniaga Melayu Melaka dan pernah dua kali membawa mereka melawat China untuk mencari peluang perdagangan dengan China.
Dalam bidang pendidikan, usaha Profesor Wu menjalinkan kerjasama yang amat ketara. Untuk membantu pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM), ketika itu Institut Teknologi MARA mempelajari bahasa Mandarin, Profesor Wu telah berusaha supaya BFSU menghantar guru Mandarin ke UiTM pada tahun 1990-an. Perkembangan yang paling pesat berlaku pada tahun 2007 apabila usaha Profesor Wu sejak sekian lama membuahkan hasil apabila Kementerian Pendidikan Malaysia mula menghantar 10 orang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mengikuti kursus ijazah pertama pengajian Mandarin sebagai persiapan menjadi guru Mandarin yang terlatih.
Jumlah itu meningkat pada tahun berikutnya dengan penghantaran lebih banyak pelajar. Selain Kementerian Pelajaran Malaysia, Majlis Amanah Rakyat (MARA) turut menyertai program tersebut sehingga pada tahun 2009, terdapat 119 orang pelajar Malaysia di BFSU, iaitu 84 orang pelajar tajaan Kementerian Pelajaran Malaysia dan 35 orang pelajar tajaan MARA yang dilatih selama lima tahun untuk menjadi guru Mandarin di sekolah-sekolah di Malaysia. Pada tahun 2011, jumlah itu telah meningkat melebihi 200 orang.
Di bawah kegiatan Profesor Wu dan Datuk Ho Kuo Chong yang bertungkus-lumus selama tiga tahun, Universiti Malaya telah menubuhkan Institut Kong Zi (Confusius Institute) untuk pengajaran bahasa Mandarin pada bulan Julai 2009.
Untuk memperluas pengaruh budaya Melayu di negara China, Profesor Wu telah berusaha mengadakan Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu Beijing pada tahun 1996 di BFSU dan persidangan ini telah mencapai hasil yang gemilang. Seratus orang lebih sarjana Melayu dari Malaysia dan 13 buah negara lain hadir sebagai pembentang kertas kerja.
Pada tahun 1997, Profesor Wu telah berusaha menubuhkan Pusat Pengajaran Melayu China di BFSU. Usaha Profesor Wu ini mendapat sokongan kuat daripada kerajaan kedua-dua buah negara China dan Malaysia. Encik Zhu Kaixuan, Menteri Pendidikan China dan Dato’ Sri Mohd. Najib, Menteri Pendidikan Malaysia ketika itu, bersama-sama merasmikan upacara penubuhan pusat tersebut. Dalam pertemuan Menteri China dengan Malaysia itu, usaha Profesor Wu telah dipuji oleh Dato’ Sri Mohd. Najib dengan menganggap bahawa Profesor Wu ialah “duta besar dalam kalangan rakyat”.
Pada bulan Mei 2004, Profesor Wu telah berjaya mengadakan Seminar Persahabatan China-Malaysia. Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Abdullah Badawi sendiri telah merasmikan seminar itu dan mengetuai satu rombongan besar, termasuk sembilan orang menteri dan tiga orang ketua menteri ke BFSU. Dalam upacara perasmian seminar tersebut, Profesor Wu telah dianugerahi gelaran Tokoh Persahabatan Malaysia-China. Dengan usaha gigih beliau, pada tahun 2006, Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak telah datang ke BFSU untuk merasmikan penubuhan Pusat Pengajian Melayu China (PPMC) dan dengan usul beliau, Dato’ Seri Najib telah bersetuju menjadi penaung PPMC hingga kini.
Usaha gigih Profesor Wu mengembangkan pengajian Melayu di negara China mencapai kemuncak apabila Kerajaan Malaysia bersetuju menubuhkan Kursi Pengajian Melayu di negara tersebut pada tahun 2007, berpangkalan di universiti tempat beliau menjadi Pengarah Pusat Pengajian Melayu China, iaitu Universiti Pengajian Asing Beijing. Kursi itu telah mula diisi dan digerakkan dengan aktif sejak awal tahun 2008 apabila Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia melantik penulis sebagai penyandang pertamanya.
Antara kegiatan penting Kursi Pengajian Melayu di China termasuklah peningkatan program ilmiah dengan pengenalan beberapa kursus baharu, penubuhan program pengajian Melayu peringkat sarjana, penyelidikan, penerbitan siri monograf pengajian Melayu dan kamus dwibahasa Melayu-Mandarin, serta pengembangan pengajian Melayu di universiti lain di China (kuliah intensif seperti di Universiti Pengajian Asing Guangdong di Guangzhou, di Universiti Komunikasi China di Beijing serta di Radio Antarabangsa China).
Pada tahun 2009, Profesor Wu dan penulis telah menggerakkan penyelenggaraan Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu di BFSU dengan penyertaan kira-kira 200 orang pemakalah dan peserta, antaranya termasuklah dari Malaysia, Singapura, Brunei Darussalam, Korea, Thailand dan Rusia. Dalam persidangan itu, BFSU telah menganugerahkan Ijazah Doktor Kehormat kepada Dato’ Seri Najib yang pada masa yang sama merasmikan persidangan tersebut.
Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Dalam usaha untuk membantu pelajar China mendalami pengetahuan tentang Malaysia, Profesor Wu telah lima kali membawa rombongan pelajar China untuk melawat Malaysia. Sekarang sebilangan daripada mereka telah bekerja di Kementerian Luar China, Kementerian Kebudayaan China dan News Xinhua, Radio Beijing. Profesor Wu yakin bahawa mereka akan berusaha untuk memainkan peranan penting dalam usaha mendorong maju hubungan muhibah antara China dengan Malaysia.
Dalam bidang akademik, Profesor Wu mempunyai pengalaman pengajaran bahasa Melayu selama lebih 50 tahun dan telah dilantik sebagai profesor madya pada tahun 1985. Jawatan profesor penuh diterimanya daripada BFSU pada tahun 1995. Antara buku yang telah diusahakannya termasuklah Buku Pidato Pilihan Dr. Mahathir (Mandarin), Buku Cerita Rakyat Malaysia yang Terpilih (Mandarin), Kajian terhadap Kamus Melayu yang Terawal-Ma La Ka Yi Yu (bahasa Melayu), Buku Teks Pelajaran Bahasa Melayu untuk Pelajar China, Lagu Persahabatan China-Malaysia (terjemahan karya Dato’ Osman Awang dan Chen Haosu), Buku Bergambar Persahabatan China-Malaysia (Inggeris, Melayu, Mandarin), Brunei dalam Sejarah China (bahasa Melayu) dan buku Hubungan China dan Brunei.
Atas jasa baktinya dalam bidang ilmiah, khususnya dalam pengembangan pengajian Melayu di negara China, Universiti Malaya telah menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan kepada beliau pada Majlis Konvokesyen pada 3 Oktober 2011. Beliau telah sampai di garis penamat lariannya dalam usaha mengangkat bahasa, persuratan dan tamadun Melayu. Semoga usaha beliau dapat disambung oleh anak didiknya, khususnya untuk memenuhi jalinan persefahaman antara dua tamadun besar, iaitu tamadun Melayu dan tamadun China. Sebelum menutup mata, beliau pasti berbangga menyaksikan adanya 17 buah institusi pendidikan tinggi di negaranya yang menawarkan kursus bahasa Melayu pada peringkat ijazah dan diploma serta kursus khas bahasa Melayu untuk perdagangan. Itulah bukti keberhasilan upaya beliau selama lebih 60 tahun.