Diterbitkan pada 6 Oktober 2024, 12:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

 

Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa berucap merasmikan Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen Ipoh, pagi ini.

Ipoh – Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat terutamanya oleh sekolah dan sektor swasta dalam perebutan rencah ekonomi yang bersaing sengit pada masa ini perlu diberikan penekanan.

“Dalam apa-apa jurusan persekolahan, tidak sama sekali perlu dikurangkan penekanan terhadap penguasaan bahasa (Melayu) yang baik.

“(Perkara) ini sudah disepakati dan termaktub dalam perlembagaan, dan kita harus teruskan dengan komitmen yang lebih,” katanya ketika berucap merasmikan Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2024 di Pusat Konvensyen Ipoh, pagi ini.

“Kita sebagai ibu bapa mempunyai tanggungjawab untuk memastikan anak-anak pada masa depan ini lebih serasi, berpaut dan bersatu, dan hal ini memerlukan persiapan awal dari segi pemerkasaan bahasa, sastera dan budaya negara,” tambahnya.

Beliau juga menegaskan bahawa terdapat sesetengah golongan yang terlalu ghairah terhadap penguasaan bahasa lain seperti bahasa Inggeris.

Menurutnya, “Saya antara yang menekankan keperluan penguasaan bahasa Inggeris dalam dunia mencabar, serta penguasaan bahasa Cina, bahasa Tamil, bahasa Arab dan bahasa lain juga akan membantu supaya tidak ada negara meningkat maju yang akan menyisihkan mana-mana bahasa utama dunia.”

“Namun begitu, ini bukan bermakna kita boleh meminggirkan atau mengurangkan penekanan terhadap penguasaan bahasa Melayu yang baik kerana bahasa ini merupakan bahasa kebangsaan dan bahasa negara,” jelasnya.

Tidak ada timbul sedikit pun kekeliruan terhadap hal ini. Tugas membina bangsa dan negara ini ialah tugas bersama, bukan tugas Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atau Kerajaan semata-mata.

Menurut YAB Dato’ Seri Anwar lagi, “Saya tidak mewakili pendapat yang mengurangkan atau meremehkan pandangan terhadap kepentingan bahasa Inggeris, tetapi saya tidak mendukung sikap yang mempunyai fobia terhadap bahasa sendiri dan mengagungkan bahasa lain seolah-olah hidup dan kepintaran kita hanya melalui penguasaan bahasa Inggeris.”

Apakah tidak mungkin? Kita, sebagai seluruh rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum dan dari seluruh negeri, sudah-sudahlah dengan pertelingkahan lalu. Tunjukkan iltizam dan komitmen kita untuk memperkasakan bahasa Melayu.

Tambahnya, “Jika perkara ini disepakati dan tidak dipertikaikan, mudah untuk kita kembangkan dan beri tumpuan terhadap bahasa lain kerana yang menjadi pertikaian adalah apabila kita membicarakan soal bahasa lain dengan mengurangkan keutamaan atau menyamakannya dengan bahasa Melayu.”

Perdana Menteri pada masa yang sama menekankan keperluan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan penggiat sektor swasta.

“Sementara kita menekankan mutu penguasaan bahasa Inggeris pada zaman digital, zaman transisi tenaga, dan zaman kecerdasan buatan (AI), kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan harus diberikan penekanan yang sama,” ujarnya.

YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa menyempurnakan Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2024, dengan disaksikan oleh dif kehormat yang hadir.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Besar Perak; YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad; Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan, YBhg. Dato’ Mohammad Zahir Abdul Khalid; para Ketua Setiausaha Kementerian; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan, YB Dato’ Ahmad Suadi Abdul Rahim; dan Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari.

Kredit Foto: Mohd Farid Janudin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi