Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPendekatan sintagmatik dan paradigmatik merupakan dua pendekatan dikotomi yang dikemukakan oleh Ferdinand de Saussure (1857 – 1913), bapa linguistik moden dalam bukunya Course de Linguistique Generale (A course in General Lingusitics). John R. Firth, seorang ahli linguistik Inggeris, kemudiannya menyebut kedua-dua konsep itu sebagai sistem dan struktur. Pendekatan sintagmatik dan paradigmatik dapat digunakan untuk mengkaji aspek bahasa termasuklah fonologi, morfologi, dan sintaksis.
Menurut Ferdinand de Saussure, hubungan sintagmatik merupakan hubungan konkrit (in presentia) antara unit bahasa, manakala hubungan paradigmatik merupakan hubungan secara abstrak (in absentia) antara unit bahasa. Dalam hal ini, hubungan sintagmatik sering disebut sebagai hubungan linear atau mendatar (horizontal) dan hubungan paradigmatik (associative) disebut sebagai hubungan menegak (vertical).
Hubungan sintagmatik ialah hubungan mendatar secara berturutan (linear sequence) antara unit bahasa. Sebagai contoh, dalam bidang fonologi, hubungan antara bunyi yang membina kata cara secara mendatar, iaitu bunyi c+a+r+a, ialah hubungan sintagmatik. Dari segi paradigmatik pula, bunyi yang dapat bertukar ganti secara menegak dengan kedudukan bunyi c, a, r dan a untuk menghasilkan kata yang bermakna (makna yang berbeza) adalah seperti yang berikut:
| Bunyi Asal Kata Cara | Bunyi Pengganti | Contoh Kata |
| c | b, d, l, m, p,s,t | bara, dara, lara, mara, para, sara, tara |
| a | e pepet, u | cera, cura |
| r | c, k, l, n, p | caca, caka, cala, cana, capa |
| a | i | cari |
Dari segi morfologi pula, hubungan antara morfem terikat (awalan) meN-dengan morfem bebas kunci untuk membina kata mengunci secara mendatar, iaitu meN- + kunci, merupakan hubungan sintagmatik, Sebaliknya, dalam hubungan paradigmatik, morfem terikat (awalan) yang dapat mengganti imbuhan meN-, dan morfem bebas yang dapat mengganti morfem bebas kunci untuk menghasilkan kata yang bermakna (makna yang berbeza) adalah seperti yang berikut:
meN-
Morfem terikat pengganti:
beR-, di-, teR, peN-
Contoh kata terbitan
berkunci, dikunci, terkunci, pengunci
kunci
Morfem bebas pengganti:
ambil, beri, dapat, fitnah, garu dan sebagainya
Contoh kata terbitan
mengambil, memberi, mendapat, memfitnah, menggaru dan sebagainya
Dari segi sintaksis pula, terdapat hubungan sintagmatik dan paradigmatik dalam frasa, klausa dan ayat. Contohnya ialah frasa nama (FN) baju sukan, frasa kerja (FK) sedang belajar, frasa adjektif (FA) sangat cantik dan frasa sendi nama (FS) ke kampung.
Dari segi sintagmatik, terdapat hubungan mendatar antara kata pembina frasa tersebut, iaitu seluar + trek (inti + penerang), sedang + belajar (kata bantu + kata kerja), sangat + cantik (kata penguat + kata adjektif) dan ke + kampung (sendi nama + kata nama). Dari segi paradigmatik pula, terdapat hubungan penggantian kata secara menegak berdasarkan paradigma (golongan dan fungsi kata) yang sama seperti yang berikut:
| Jenis frasa | Contoh frasa | Contoh kata pengganti 1 | Contoh kata pengganti 2 | Contoh kata pengganti |
| Frasa nama | seluar trek | baju | hujan | baju hujan |
| Frasa kerja | sedang belajar | masih | bermain | masih bermain |
| Frasa adjektif | sangat cantik | amat | pintar | amat pintar |
| Frasa sendi nama | di kampung | ke | bandar | ke bandar |
Sesuatu klausa atau ayat dapat juga dianalisis dari segi hubungan sintagmatik dan paradigmatik. Sila lihat contoh yang berikut:
1a. Baju itu cantik.
baju itu (subjek) + cantik (predikat)
baju itu – subjek frasa nama (FN)
cantik – predikat frasa adjektif (FA)
2. Hubungan Paradigmatik
Contoh pengganti FN baju itu – kasut itu, rumah itu, kereta ini, dll
Contoh pengganti FA cantik – mahal, baharu, bersih, kotor, dll
1b. Dia membeli kain.
orang itu (subjek) + membeli baju (predikat)
orang itu – subjek frasa nama (FN)
membeli kain – predikat frasa kerja (FK)
membeli – kata kerja transitif
kain – objek kata nama
Contoh pengganti frasa FN orang itu – wanita itu, budak itu, petani itu dan
sebagainya
Contoh pengganti frasa FK membeli kain – menjual ikan, menebang pokok,
menikam musuhnya dan sebagainya
Tuntasnya, pemahaman tentang hubungan sintagmatik dan paradigmatik membolehkan seseorang memahami binaan bahasa dari segi fonologi, morfologi, sintaksis dan sebagainya dengan lebih tepat dan jelas.