Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPada 15 hingga 17 April 2025, satu tarikh yang pastinya meninggalkan catatan sejarah buat Malaysia apabila Presiden Republik Rakyat China, Xi Jinping membuat kunjungan rasmi ke Kuala Lumpur. Detik penting dan bermakna ini membawa signifikan tersendiri buat negara kita sebagai lambang hubungan diplomatik antara kedua-dua negara sejak tahun 1974.
Melatari peristiwa kunjungan Xi Jinping itu, termeterailah pelbagai kesefahaman antara kedua-dua buah negara yang berkaitan dengan isu ekonomi, diplomasi mahupun kebudayaan. Lebih jauh daripada itu, timbul hasrat untuk kedua-dua negara saling menterjemahkan karya ilmiah dan kesusasteraan masing-masing sebagai lanjutan daripada hubungan baik sedia ada. Sudah pasti perkara ini mendapat liputan yang turut dikongsi oleh Menteri Pendidikan Malaysia, Yang Berhormat (YB) Fadhlina Sidek apabila beliau memuat naik kenyataan tersebut di media sosialnya, lalu perkara ini disambut baik oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).
Walau bagaimanapun, kita perlu tahu dan wajar untuk menelusuri kembali tawarikh penterjemahan karya dari Tanah Besar China yang telah diusahakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sebelum Xi Jinping tiba ke Malaysia lagi.
Cerminan Peradaban China dalam Bahasa Melayu
Jika disebutkan dengan dua patah perkataan, iaitu peradaban China, sudah pasti frasa tersebut membawa makna yang lebih daripada ukuran geografi serta isi manusia sebagai taburan demografi. Segalanya turut membawa kita ke mesin masa untuk menerokai garis waktu yang lebih dari 2000 tahun dahulu. Tentunya akan hadir pelbagai soalan, apakah pengisian tersebut? Mengapakah perlu untuk kita ketahui? Sejauh manakah perkara ini penting buat generasi baharu untuk masyarakat di Malaysia hari ini?
Kesemua pertanyaan terbabit dapat diungkap dan dijawab berdasarkan siri terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang menggagas isu penting peradaban China termasuklah penggantian dinasti, pusingan wangsa, falsafah oleh para pemikir, selain cakupan yang bersifat metafizik terutamanya konsep Yin dan Yang.
Dalam tahun 2001, Abdul Rahman Haji Ismail, iaitu mantan pensyarah Sejarah di Bahagian Sejarah Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia telah memulakan evolusi perbincangan peradaban China di Malaysia. Dengan karyanya China: Pensejarahan dan Pembinaan Tamadun, jatuh bangun dan pasang surut tamadun yang terkenal dengan tembok besar serta Sungai Hwang Ho itu telah diolah dalam bentuk yang lebih objektif melalui disiplin bidang sejarah. Perihal Dinasti Hsia, Dinasti Shang, Dinasti Zhou, Dinasti Qin (Chin), Dinasti Han, Dinasti Sui, Dinasti Tang, Dinasti Song, Dinasti Yuan, Dinasti Ming hingga Dinasti Qing (Manchu) telah diperjelas bagi menghidupkan wacana sejarah di Malaysia yang seharusnya bersifat rentas geografi dalam satu kronologi garis masa. Bak kata pepatah, jauh perjalanan luas pemandangan. Selepas itu, muncul generasi baharu dalam kajian sejarah moden China dari Dinasti Manchu hingga era semikolonial British dan zaman Mao Tze-tung seperti yang diusahakan oleh Dr. Suffian Mansor (kini berkhidmat di Universiti Kebangsaan Malaysia).
Selain itu, DBP turut menghidupkan maklumat yang berteraskan ilmu pengetahuan peradaban China melalui karya-karya falsafah. Sejarah Ringkas Falsafah Cina oleh Fung Yu-Lan merupakan satu contoh karya terbaik yang telah diterjemahkan oleh Lim Kim Hui ke dalam bahasa Melayu pada tahun 2006. Asalnya karya ini telah diterbitkan di Amerika Syarikat oleh Simon and Schuster Inc. Pada tahun 1948 dan kini sudah melebihi usia penubuhan Republik Rakyat China itu sendiri. Keberhasilan usaha akademik ini ternyata telah memperkayakan bahasa kita dengan perbendaharaan pemikiran individu seperti Confusius, Tao, Mencius, Lau Tzu, Chuang Tzu, Hsün Tzu dan Han Fei Tzu. Tidak cukup setakat itu, karya falsafah Meng Zi telahpun diterjemah ke dalam bahasa Melayu oleh Obaidellah Haji Mohamad pada tahun 1994 yang ketika itu menyaksikan munculnya polemik peradaban di pentas global. Masyarakat wajar mengetahui tentang identiti dan corak budaya lain pada waktu itu seiring dengan provokasi dalam dunia pengetahuan angkara tulisan oleh Samuel P. Huntington, iaitu Clash of Civilizations.
Rangkuman karya yang disebutkan tadi memperlihatkan kesungguhan oleh sarjana di Malaysia termasuklah individu tempatan dalam mengetengahkan ilmu pengetahuan tentang peradaban China. Sepatutnya perkara ini dapat mengintegrasikan pemikiran masyarakat tempatan di Malaysia yang berbilang kaum terhadap negara Republik tersebut. Paling tidak, melalui usaha ilmiah oleh DBP ini kita tidak hanya memandang Republik Rakyat China sebagai pendukung ideologi komunis semata-mata. Penting untuk diperakui bahawa iklim dunia hari ini menuntut satu ekosistem masyarakat yang saling berhubungan antara satu sama lain yang pastinya merentas soal ideologi dan lingkungan kebudayaan tanpa menafikan identiti keperibadian masing-masing.
Nada Kesusasteraan China dalam Suara DBP
Tidak terhad setakat karya yang berorientasikan sejarah dan falsafah, DBP aktif sebagai wadah bagi dendangan hasil kesusasteraan dari peradaban China. Sama ada karya bersifat teknikal mahupun berbentuk hikayat, kedua-duanya mendapat tempat di DBP sejak tahun 1990-an sehingga suku pertama kurun ke-21 ini. Teori Kesusasteraan Cina oleh James J. Y. Liu turut diterjemahkan untuk manfaat pembaca, peminat dan penyelidik sastera China di bumi Malaysia tercinta. Naskhah setebal 256 halaman ini menawarkan kita informasi untuk melihat kesusasteraan Cina dalam kerangka metafizik, determinisme dan ekspresif, teori teknikal, teori estetik, teori pragmatik, serta interaksi dan sintesis. Koleksi Cerita Klasik China yang mempunyai teladan dan nilai etika turut dibawa ke dalam bahasa Melayu melalui saluran penterjemahan yang dilakukan penuh cermat oleh Wang Jin pada tahun 2020. Hal ini memberikan isyarat bahawa karya seumpama itu wajar dibaca supaya kita lebih mengenal dunia luar agar tidak terkurung di bawah tempurung fikiran di tempat kita berada.
Lain padang lain belalang, itulah peribahasa Melayu yang boleh kita renungi sebagai kata-kata yang dapat mencuit kesedaran tentang kepelbagaian manusia di lokasi yang berbeza. Ekoran daripada itu, perlu untuk kita ketahui tentang kejayaan DBP membawa terjemahan karya bercorak hikayat dari tamadun China yang pastinya relevan untuk diisi di rak buku di perpustakaan ataupun milik persendirian. Berjilid-jilid naskhah yang mengandungi informasi rentas dinasti telah tersedia khususnya dalam tempoh 10 tahun terakhir ini. Marilah kita perhatikan barisan karya yang telah diterjemahkan seperti dalam rangkuman jadual di bawah:
| No. | Tajuk | Tahun | Jumlah Jilid |
| 1. | Hikayat Tiga Negara | 2012 | 4 |
| 2. | Hikayat Jelajah ke Barat | 2015 | 4 |
| 3. | Hikayat Pinggir Air | 2016 | 4 |
| 4. | Hikayat Mimpi Rumah Agam | 2018 | 4 |
| 5. | Di Mana Ranting Dipatah | 2023 | 3 |
Berdasarkan senarai tersebut, jelaslah bahawa DBP sememangnya serius dalam menerbitkan karya agung yang pada dasarnya sudah pun berusia ratusan tahun. Hal ini sekali gus menyerlahkan bahawa keberadaan karya berkenaan telah membuktikan kegiatan membawa masuk karya dari China sudah pun bermula sebelum kedatangan Xi Jinping. Sebagai contoh, Hikayat Pinggir Air telah membawa olahan perbincangan yang berpaksikan gerak hidup masyarakat dalam sebuah kemandirian sosial dengan ikatan kekeluargaan, ekonomi pertanian, serta kehidupan yang penuh beradat.
Perkara ini serupa juga dengan karya Hikayat Jelajah ke Barat dan Hikayat Mimpi Rumah Agam yang memberikan kita satu sudut pandangan alam yang unik serta berbeza untuk sama-sama difikirkan dalam realiti dunia kini. Ketinggian nilai politik yang terkandung dalam Hikayat Tiga Negara seharusnya menjadikan kita memahami seni, rentak, tingkah laku dan sepak terajang dalam siasah manusia untuk meraih kuasa. Jika kita memahami maksud yang tersirat di sebalik coretan yang tersurat dalam hikayat-hikayat tersebut, pastinya banyak pengajaran untuk sama-sama dimanfaatkan.
Mengenang pula rangkaian kata yang bersusur galur nukilan aksara-aksara dari novel, buah tangan daripada Ba Jin dan Wang Anyi turut dipersembahkan ke ruang bacaan bahasa Melayu pada tahun 1995. Keluarga (terjemahan Choo Puay Hin) dan Baotown (terjemahan Ainon Abu Bakar) merupakan dua buah roman daripada penulis tersebut yang merupakan contoh terbaik untuk kita menyelami lautan kehidupan masyarakat China yang masih berbayang dengan elemen feudalisme bahkan tambah kritikal apabila mereka cuba untuk melepaskan diri daripada realiti sosial semasa.
Susunan kata-kata yang indah berkesan untuk mengubah, menggugah serta menyanggah belenggu tradisi yang merantai fikiran. DBP juga tidak ketinggalan menerbitkan karya Pu Songling pada tahun 1997 bertajuk, Pilihan Cerita Aneh dari Balai Pustaka Liau Zai (terjemahan Liang Hong). 51 buah cerpen yang digubah pada zaman Dinasti Qing (1640-1715) telah disajikan untuk pembaca agar dapat menyingkap tirai yang memaparkan adegan sosial penuh suka dan duka. Jika kita membaca karya-karya dari China ini, seolah-olah kita berada di hadapan pentas opera persis lirik lagu kumpulan Wings, iaitu Opera Hidup (1988):
Hidup bagaikan pentas opera
Tirai hidup dibuka
Cerita pun bermula
Hidup bagaikan pentas opera
Muzik hidup bergema
Aksi insan bermula
Tampak jelas betapa kesemua usaha ini tidak akan berjaya tanpa budi dan bakti para pengkaji dan penterjemah yang hadir sebelum artikel ringkas ini ditulis. Mereka telah meninggalkan jutaan aksara berfaedah di samping ribuan helaian bermanfaat untuk dibaca mahupun difikirkan. Seperti yang selalu didengarkan, tuntutlah ilmu sampai ke negeri China. Janganlah kata-kata itu hanya dijadikan bebelan kosong tanpa sebarang pengisian kerana ada hikmah di sebalik lafaz tersebut.
Sebagai contoh, pada tahun 2021, hadir usaha untuk menyuburkan perbincangan interaksi budaya Melayu dengan China yang dibuktikan dengan lahirnya karya Arena Bahasa, Sastera dan Budaya: Melayu-China di bawah selenggaraan Profesor Dr. Goh Sang Seong dari Universiti Sains Malaysia. Barangkali ada kekangan kewangan untuk mendapatkan karya dinyatakan tadi, tetapi percayalah naskhah-naskhah tersebut boleh dibaca dengan percuma sekiranya kita mempunyai kehendak untuk membaca di perpustakaan sedia ada.
Kesimpulannya, hubungan diplomatik antara Malaysia dengan Republik Rakyat China berupaya untuk menyalurkan dapatan dari segi pengetahuan. Dari kaca mata retrospektif, masyarakat Malaysia wajar merenungi kenyataan ini sebagai satu nilai yang positif untuk manfaat kita bersama-sama. Keberadaan maklumat berkaitan dengan peradaban China yang telah disebutkan di sini setidak-tidaknya beriringan dengan himpunan informasi, peradaban lain baik dari dunia Islam, Eropah, Amerika Latin, Afrika dan India.
Tahniah kepada DBP untuk usaha sejauh ini yang memastikan bahasa Melayu terus bertenaga dan bernafas dalam ruang ilmu pengetahuan untuk memandaikan masyarakat. Berkemungkinan, selepas ini dapatlah kita saksikan lebih banyak karya yang bermanfaat diterjemahkan daripada bahasa Cina ke dalam bahasa Melayu dan dalam masa yang sama turut memberikan tempat untuk karya bahasa Melayu diterjemahkan ke bahasa Cina bagi peluasan pengetahuan di China. Setidak-tidaknya kita tidak bertepuk sebelah tangan dalam usaha menghidupkan hasil kesusasteraan pasca kunjungan Presiden Xi Jinping ini.